Khamis, 24 Jun 2021

Sikap Jiran Tingkat Atas

Aku dah lama cuba bersabar.

Perkara bukan baru sekali terjadi. Dah terlalu berulang kali dia buat. Makin lama, makin kerap. Menjadi-jadi pula perangainya.

Aku tak tahu apa masalah sampai nak buat perangai begitu. Apa langsung dah tak boleh fikir ke? Atau memang dah mengalami kecelaruan hingga tak tahu mana yang betul dan salah.

Tadi aku berada di sinki, betul-betul menghadap tingkap. Tiba-tiba ada bunyi benda jatuh di depan aku. Sedikit terkedu.

Aku tarik nafas dalam-dalam secukupnya.

"HOI! DAH TAK RETI BUANG SAMPAH ELOK-ELOK KE?"

Yah, aku jerit kuat. Aku terdengar ada suara lelaki turut melaung orang buang sampah.

"BUANG SAMPAH DALAM TONG SAMPAH. BUKAN BUANG DI KORIDOR."

Harapnya dia dengar jelaslah dua kali aku menjerit.

Kadang-kadang buang sampah kena pada tingkap rumah aku, berlaga bunyi kaca tingkap. Mujur tidak pecah.

Kadang-kadang dia simbah air yang banyak, basah tingkap dan koridor depan pintu rumah aku.

Pernah aku jumpa sisa makanan yang banyak bertaburan di pasu bunga depan rumah aku. Terkena juga di pagar dan lantai. Sisa nasi, kuah, kotor depan rumah aku.

Pernah juga berlaku di tingkap belakang. Aku dan Syakirin sedang melihat ke luar, tiba-tiba ada sambal terpercik di kaca tingkap depan kami. Mujur tidak masuk kena mata.

Sampah ringan, sampah berat, dia macam tak kisah.

Aku tahu di bawah tempat dia buang tu jarang orang lalu. Tapi tak mustahil kadang-kadang ada orang melintas di situ. Tempat tu di tepi tangga.

Tak kan nak tunggu ada mangsa yang kena, baru nak serik, baru nak menyesal.

Tahun lepas aku dah pernah jerit sekali. Dia berhenti. Setelah lama berlalu, ada lagi berlaku. Tak tahulah orang yang sama atau tidak. Pelakunya pun aku tidak tahu siapa dan dari tingkat mana.

#nathirah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...