N Athirah @ Siti Puteri Rawija: Cerpen
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan

Isnin, 16 Ogos 2021

Cerpen: GANGGUAN

Jam sepuluh malam, anak-anak sudah berada di bilik masing-masing untuk tidur. Telefon rumah tiba-tiba berdering, segera Ahmad menjawab panggilan.

“Mad, ada orang di sebelah rumah kamu.” Suara Murni, kakak Ahmad di hujung talian.

Tanpa menamatkan panggilan, Ahmad keluar rumah meninjau kelibat siapa yang berada di sekitar rumahnya lewat malam itu. Namun tidak kelihatan sesiapa.

“Lari sudah dia.” Beritahu Murni ketika Ahmad kembali ke talian.

“Biarlah dulu. Kalau ada nampak apa-apa, lekas beritahu ya.” Jawab Ahmad.

Rumah Murni hanya jarak beberapa meter di hadapan rumah Ahmad. Sebentar tadi Murni terlihat kelibat seorang lelaki jalan terhendap-hendap di tepi rumah Ahmad. 

Kerana khuatir, dia segera menelefon Ahmad. Malangnya kelibat itu seperti terkejut ketika telefon rumah Ahmad berdering. Murni menyaksikan kelibat itu berundur beberapa langkah ke belakang, kemudian hilang dalam kegelapan malam. 

Belakang, kiri, dan kanan rumah Ahmad ialah hutan. Tidak diketahui kelibat itu manusia atau bukan, tetapi yang pastinya kelibat tersebut telah lari ke hutan. 

Namun yang menjadi kemusykilan pada Ahmad dan isterinya, Naura, tiada sebarang bunyi orang berjalan atau berlari pada waktu kejadian. 

Sedangkan selama ini derap langkah kucing berjalan juga boleh kedengaran kerana kawasan kelibat itu muncul dipenuhi dengan daun-daun kering yang berguguran.

Hari terus berlalu, dan peristiwa kemunculan kelibat misteri tersebut tidak lagi dihiraukan. Naura bersendirian di dalam bilik petang itu, suaminya masih di tempat kerja, anak-anak pula masih di sekolah menengah menghadiri aktiviti petang. Selepas solat Asar, Naura duduk di katil sambil membaca buku yang baharu dibelinya.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi aneh dari jendela biliknya yang terbuka. Naura menoleh, terpandang olehnya susuk tubuh lelaki berdiri di jendela bilik sedang berusaha untuk masuk. Mujur jeriji besi terpasang pada jendela menyukarkan usaha tersebut.

“Siapa?” Tanya Naura. Tetapi tiada sahutan dari lelaki itu. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana ditutupi sebahagian rambutnya.

Naura panik. Dicapainya penyapu untuk menghalau lelaki itu pergi. Entah manusia atau bukan, fikirnya. Jeriji besi digegar sekuatnya oleh lelaki itu membuatkan ketakutan di hati Naura semakin memuncak.

“Pergi!” Jerit Naura sekuat hati sambil menghempas jeriji besi jendela biliknya menggunakan penyapu berulang kali dengan harapan makhluk yang tidak diketahui manusia atau bukan itu menjauh. 

Risau susuk tubuh itu berjaya masuk ke rumahnya. Telinganya seakan terdengar bunyi berdengung bising menyebabkan Naura bertambah panik tidak mampu berfikir dengan tenang. 

Dia terundur ke belakang sehingga terduduk di atas katil. Bunyi berdengung itu benar-benar menganggu mindanya.

“Ibu.” Suara Azura, anaknya kedengaran. Naura menoleh ke pintu bilik, Azura berdiri dengan wajah terpinga-pinga.

Bunyi berdengung di telinga Naura serta merta hilang. Suasana yang dirasa kelam-kabut tadi beransur sepi. Susuk tubuh lelaki di jendela biliknya juga lesap entah ke mana.

Naura mengawal pernafasannya. “Kamu semua sudah balik?” Tanya Naura, merujuk kepada semua anak-anaknya yang pulang dari sekolah.

“Ya. Kakak sudah masuk bilik.” Jawab Azura. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri katil ibunya. “Azura dengar bunyi bising tadi di bilik ibu. Kenapa?” Soalnya.

Naura tersenyum, sekadar ingin menyedapkan hati anaknya. “Penyapu terhempas ke jeriji jendela tadi.” Jawab Naura, lantas dia menyambung, “pergilah mandi.” Azura mengangguk akur dan berlalu meninggalkan ibunya walau fikirannya penuh tanda tanya.

Setelah Ahmad pulang dari bekerja, segera Naura adukan kejadian menakutkan itu kepada suaminya. Dia pasti lelaki yang datang mengganggu tadi bukan manusia.

“Barangkali gangguan makhluk halus dari keturunan yang lepas.” Tutur Ahmad lewat petang itu selepas memeriksa jeriji besi jendela bilik mereka. Tiada sebarang kesan dari luar rumah. Hanya ada kesan calar akibat hempasan batang penyapu.

“Mudah-mudahan nanti dapat diusir pergi,” sahut Naura.

Itu bukan kejadian aneh pertama yang berlaku. Sejak anak-anak mereka masih kecil, sudah pelbagai kejadian berlaku di rumahnya itu. 

Setiap kali itu juga suaminya berikhtiar memulihkan rumah dan keluarga mereka. Akan tetapi, makhluk halus seperti jin itu tetap akan mencari ruang dan peluang untuk mengusik manusia.

Perlahan-lahan Naura bangun menuju ke penjuru bilik berhampiran jendela. Diambilnya gelas kaca yang terletak di situ lalu dibawanya ke dapur. 

Dibuangnya isi gelas tersebut, dicucinya hingga bersih, kemudian digantikan isian yang baharu sebelum meletakkan semula di penjuru bilik tadi. Itulah rutinnya setiap hari.

Beberapa minggu berlalu, ketika Naura leka mengemas biliknya, kedengaran bunyi geseran pada jeriji besi tingkapnya. Pantas Naura menoleh. Entah bila dan bagaimana, lelaki misteri tempoh hari sudah berada di dalam biliknya.

“Allahu akbar!” Laung Naura.

Akalnya pantas memacu pergerakan untuk segera menuju ke almari tempat penyimpanan peralatan suaminya di bilik itu. Dicapai sebilah parang sebagai pertahanan diri.

“Apa kau nak? Keluar!” Tengking Naura.

Tiada sahutan daripada lelaki misteri itu membuatkan jantung Naura semakin berdebar. Wajah yang ditutupi rambut itu hanya menampakkan senyuman sinis di bibirnya. Tiada sesiapa di rumah pada petang itu melainkan Naura bersendirian, sama seperti kejadian yang lepas.

Tiba-tiba lelaki itu hendak menerkam Naura dengan wajahnya yang menyeringai. Naura terundur beberapa langkah menyebabkan terkaman lelaki itu tersasar. 

Lelaki itu berterusan membuat lompatan untuk menerkam, Naura hanya mengelak semampunya ke kiri, ke kanan, atau ke belakang untuk menghindar. 

Pandangan mata Naura sedikit berpinar. Mindanya bagai tidak mampu berfikir secara teratur, lidahnya turut kelu tanpa kata. Situasinya kini antara hidup atau mati, selamat atau tewas. 

Dia hampir lupa parang yang masih kemas dalam genggaman tangannya. Pantas Naura melibas parang di tangannya ketika lelaki misteri itu kian hampir mencapainya, lantas libasan tersebut terkena pada lengan lelaki itu. 

Lengan yang putus bertukar menjadi asap hitam dan menghilang. Perlahan-lahan susuk lelaki misteri itu menghilang di hadapan mata Naura bersama suara jeritan nyaring.

Naura memerhatikan sekeliling, tiada sebarang kesan yang tinggal. Segera dia menjenguk isi gelas di penjuru bilik. 

Garam di dalam gelas itu melekat memenuhi dinding gelas melepasi garisan air, hampir meluah keluar melepasi bibir gelas. 

Setiap kali Naura mencuci gelas itu, isinya akan diganti dengan garam kasar baharu, kemudian diisi dengan air bersih yang tingginya melebihi ketinggian garam. 

Isi gelas yang garamnya melekat di dinding gelas naik melepasi ketinggian air memberi petanda ada aura gangguan makhluk halus di ruang itu.

Malam itu Naura tidur awal, kepenatan. Namun tidurnya terganggu akibat bunyi bising di jendela biliknya. Naura duduk sambil menggosok matanya bagi mengurangkan rasa mengantuk. 

Dilihatnya jendela biliknya terbuka luas. Dia yakin sudah menutup rapat jendela itu selepas kejadian petang tadi.

Naura menggoncang badan Ahmad yang tidur di sebelahnya. “Abang, tengok jendela tu kenapa terbuka?”

Ahmad tidak beri sebarang respons. Naura terus menggoncang tubuh Ahmad untuk membangunkannya dari tidur. 

Ketika hatinya dalam keadaan gundah itu, Naura terdengar seperti orang berjalan melintasi pintu biliknya. 

Dia mengangkat kepalanya memandang pintu bilik yang terbuka, kelihatan Ahmad melintasi pintu bilik dari ruang tamu menuju ke dapur.

Apa yang dilihat itu sungguh membuatkan jantung Naura berdegup kencang. Segera Naura menoleh semula tubuh yang terbaring di sebelahnya. 

Tangan kanannya masih memegang bahu makhluk yang menyerupai Ahmad itu. Tanpa diduga, mata makhluk itu terbeliak memandangnya. 

Wajah menyerupai suaminya itu tiba-tiba membuka mulut seluas-luasnya sehingga terkoyak di kedua-dua pipi, wajahnya berubah menjadi sangat buruk dan menyeramkan. Makhluk itu pantas menerkam serta menggigit tangan kanan Naura.

Sakit yang teramat dirasainya sehingga Naura menjerit. Terasa gigi makhluk itu menembusi pergelangan tangannya. Matanya dipejam kuat menahan kesakitan.

“Ayang, kenapa ni?” Suara Ahmad cemas kedengaran di sebelah Naura. Bahu Naura turut digoncang sedikit oleh suaminya.

Naura membuka matanya, peluh membasahi raut wajahnya. Terasa kebas meremang seluruh badannya. Dilihatnya makhluk yang tadi terbaring di sebelahnya telah ghaib. 

Dia memeriksa tangannya, tiada kesan luka walaupun sakitnya masih terasa. Dia menoleh ke arah gelas kaca di penjuru bilik. Kelihatan garam di dalam gelas itu sudah naik melepasi garisan air. 

Jarum jam belum melepasi angka 12, tetapi aura yang mengusik isian garam dan air di dalam gelas kaca telah bereaksi lebih awal.

Naura memandang suaminya dengan pandangan kosong. Dia meraup wajahnya. Entah sampai bila keadaan ini akan berterusan. 

“Gangguan itu masih ada,” tutur Naura.


Oleh: N Athirah Al-Labuani 

#nathirah

Cerpen Misteri
Penyertaan Lumba Cerpen Mac 2021
Arkib Angker Negara

Baca penuh >>

Jumaat, 9 Julai 2021

Cerpen: SENSOR

"Hai, selamat datang!"

Begitulah bunyi dari loceng sensor setiap kali ada sesiapa melalui alat tersebut.

Haba yang dikesan akan memberi signal kepada sensor menandakan ada orang di situ. Memudahkan sesiapa yang berada di dalam rumah mengetahui kehadiran seseorang yang memasuki pintu rumah.

Ayah beli dua biji sensor. Salah satunya diletakkan di bahagian dalam rumah sebelah pintu utama, manakala satu lagi di garaj sisi rumah. Sensor di garaj itu ayah letak rendah, paras betis, mungkin untuk mengesan dan menakutkan kucing atau monyet yang datang.

Namun begitu, pernahkah terfikir, tatkala sensor itu berbunyi tanpa henti mengucapkan selamat datang, tetapi tidak kelihatan sesiapa pun berada berhampiran sensor tersebut.

Pada malam hari, setelah semua penghuni rumah berada di dalam bilik masing-masing untuk tidur, ibu memeriksa ruang tamu. Lampu dan kipas masih terpasang, segera ibu tutup.

Ketika ibu berlalu hendak ke bilik, tiba-tiba sensor yang sejak awal senyap, berbunyi. "Hai, selamat datang!"

Ibu menoleh, mata ibu melilau ke sekitar ruang tamu. Tiada angin. Putaran kipas mulai berhenti. Gelap. Tiada sesiapa melainkan ibu.

Pintu rumah bertutup. Kedudukan ibu berjarak tiga meter dari pintu rumah dan loceng sensor. Mustahil sensor itu mampu mengesan kehadiran ibu dengan jarak itu.

Malah, kedudukan suis kipas dan lampu juga tidak jauh dari pintu rumah. Sensor itu tidak berbunyi ketika ibu memetik suis, kerana sensor hanya mengesan kehadiran orang yang benar-benar berdiri atau melalui bingkai pintu rumah.

"Hai, selamat datang!"

Ibu memutarkan badan, tidak menghiraukan bunyi sensor yang berulang. Segera meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilik.

Pada waktu yang lain, di petang hari. Adik bongsu yang berusia tujuh tahun bermain di ruang tamu, sendirian. Pintu rumah dibiar terbuka, agar angin yang masuk dapat mengurangkan rasa bahang di dalam rumah.

"Hai, selamat datang!" Loceng sensor berbunyi lagi. Berulang kali, tidak berhenti. 

Tiada sesiapa yang berada di pintu rumah. Adik masih bermain di ruang tamu tanpa menghiraukan bunyi sensor itu. Dia mulai bermain lari-lari seorang diri.

Entah kali yang ke berapa sensor itu berbunyi, adik berlari ke pintu rumah dengan tangan kanannya membuat aksi seperti menangkap sesuatu.

Sensor yang bising sejak tadi tiba-tiba berhenti. Adik terus menyambung larian kecilnya menuju ke bilik ibu bersama genggaman tangan yang tidak dilepas.

"Kenapa ni tangan begini?" Soal ibu setelah melihat tangan kanan adik yang digenggam erat.

"Sshhh... jangan bising. Ada hantu," bisik adik.

Ibu yang terkejut mendengar jawapan adik segera bertanya, "Ada rasa apa di tangan?"

"Rasa sejuk-sejuk."

"Dah. Pergi buang cepat. Jangan pegang lama-lama."

Mendengar gesaan ibu, adik segera berlari ke pintu ruang tamu, melepaskan genggamannya ke luar rumah.

Pada waktu cuti semester universiti, aku pulang ke rumah. Itulah kali pertama aku disapa oleh loceng sensor di garaj. Aku terlompat hampir jatuh kerana terkejut.

"Eh, lama sudah tidak berbunyi ni! Kena sangka sudah habis bateri." Tegur ibu.

Aku malas memikirkan segala kemungkinan. Mungkin sahaja selama ini sensor itu tersumbat, fikirku.

Ketika kami duduk di ruang tamu rancak bersembang anak-beranak, sensor di garaj berbunyi lagi. Aku tidak hiraukan kerana menyangka ada kucing di sana. Namun, kali ketiga suara sensor itu kedengaran, ibu berdiri meninjau ke luar tingkap.

"Ha, main-main lagi kamu! Ada karang kena marah lagi. Pergi sana jauh-jauh, jangan datang sini." Bebel ibu.

"Apa tu?" Tanyaku.

"Tiada apa-apa di sana. Adalah tu yang datang bermain."

"Oh, kakak sangka kucing!" 

"Bukan. Ada yang halus. Sebelum ni sensor tu selalu bising macam ada yang melintas, tapi tiada apa-apa. Lama sudah senyap selepas ayah marah-marah hari tu. Ini selepas kakak balik, tiba-tiba ada lagi."

Aku tersentak. Ibu bercerita mengenai gangguan pada loceng sensor yang telah berlaku sebelum itu. Aku mendengar dalam keadaan mindaku menerawang memikirkan gangguan yang datang kembali setelah aku pulang bercuti.

. 

Oleh: N Athirah Al-Labuani 

#nathirah

Cerpen Misteri

Baca penuh >>

Selasa, 6 Julai 2021

Cerpen: BERTEMPUR

"Malam ini kami kena repeat, perlu hapuskan mereka semua."

Aku termenung mendengar kata-kata suami aku. Malam tadi dia dan kawan-kawannya bertempur dengan musuh. Kakinya luka teruk terkena tetakan parang lawan dan semburan api.

Jika bukan kerana aku terbaca perbualan dia dengan kawannya di media sosial mengenai kejadian malam itu, aku tidak tahu keadaan lukanya yang sebegitu parah.

Betis terbelah menampakkan isi kakinya. Lukanya turut ada kesan terbakar. Tersembunyi di dalam seluar panjangnya, agar aku tidak nampak. Aku hampir muntah melihat luka pada kakinya.

"Kenapa abang pergi tempat tu semalam? Kan Biey suruh tunggu depan panggung sahaja sampai Biey siap." Aku membebel.

"Abang lepak dengan kawan-kawan. Tiba-tiba kami kena serang. Abang join la lawan."

Aku menghembuskan nafas berat. Semalam sepatutnya dia teman aku tengok wayang terbuka, tanpa perlu tiket. Kami sudah masuk dalam panggung, namun tiba-tiba pengunjung semakin ramai.

Disebabkan ada pengunjung yang berkeras ingin masuk walau panggung sudah sesak, suami aku tawarkan diri untuk keluar dari panggung kerana genre yang ditayangkan itu hanya aku yang minat, bukan dia.

Selepas wayang tamat, aku keluar dari panggung dan terlihat dia sedang menunggu di atas motosikalnya. Kakinya berdarah, tapi aku tidak tahu di sebalik seluarnya, ada luka yang mengerikan.

Katanya ada pergaduhan sedikit. Sengaja berahsia dengan aku, mungkin bimbang emosi aku terganggu. Namun akhirnya aku tetap dapat tahu juga.

"Jangan risau. Abang pergi dengan kawan-kawan, ramai. Biey tunggu je abang balik." Dia cuba menenangkan aku.

Kalau ikutkan hati, aku nak ikut. Aku nak turut bertempur walau hanya aku seorang perempuan. Aku risau membiarkan suami aku pergi dalam keadaan lukanya yang masih belum sembuh.

Namun memikirkan anak-anak yang tiada penjaga malam ini, aku terpaksa menunggu. Malam ini aku dan anak-anak akan berkumpul di rumah penginapan bersama warga lain. Menunggu khabar mereka di medan pertempuran.

"Abang balik awal ya," hanya itu pesan aku kepada suami sebelum dia pergi.

Aku duduk termenung di rumah penginapan, membiarkan anak-anak bermain dengan kanak-kanak lain. Fikiranku terasa kosong.

"Kak, maafkan saya." Sapa seorang gadis, sambil menggenggam tangan kanan aku.

Aku menoleh ke wajahnya. "Kenapa?" Tanyaku.

"Kalau saya tidak memaksa nak masuk panggung, suami akak tak pergi, kan."

Aku terdiam. Teringat semula kejadian malam itu. Pasti cerita mengenai kecederaan kakinya sudah tersebar ke beberapa orang. Sudut mulutku sedikit terangkat, cuba menenangkan orang lain, juga hatiku sendiri. 

"Tak apalah. Doakan saja dia pulang dengan selamat."

Waktu berlalu terasa agak lambat. Dan perkhabaran dari medan pertempuran masih tidak kunjung tiba.

#nathirah
N Athirah Al-Labuani

Nota: Olahan kisah berdasarkan mimpi aku.

Baca penuh >>

Selasa, 8 Jun 2021

Cerpen: AMARAH

Bendera Labuan yang aku gantung di pintu gril rumah sengaja digunting di hadapan mata aku oleh lelaki itu.

Perasaan aku ketika itu bercampur baur. Air mata aku bergenang, terasa kepalaku seperti akan meledak. Mataku menjeling tajam ke arah si pelaku yang tidak menunjukkan rasa bersalah.

Aku menjerit meluahkan amarah. Tiba-tiba dia mengangkat tangannya kemudian menyakiti tubuhku, membuatkan perasaan benci aku terhadapnya semakin membuak-buak.

Aku yang menggenggam kemas penumbuk di kedua-dua belah tangan tidak lagi mampu mengawal emosi. Beberapa kali penumbuk dari tanganku hampir mengenai wajahnya, namun tersasar. Pergerakan tanganku seakan lambat dan berat.

Dia juga bertindak melawan dengan tangan kasarnya yang hampir dua kali ganda besar dari tanganku. Lenganku terasa sakit setiap kali menangkis serangannya. Aku cuba untuk membaca pergerakan lawan, mencari celah untuk menumpaskannya.

Bertarung berpandukan emosi tidak memberikan sebarang keuntungan untukku. Lagi pula pergerakan aku agak terbatas dan kurang pantas, seperti tanganku diberati oleh sesuatu.

Segera aku mengatur strategi baharu. Menumpukan serangan menggunakan tangan kanan, manakala tangan kiri digunakan untuk menangkis serangan lawan. Ia berhasil apabila salah satu serangan aku mengenai sisi kiri wajahnya.

Dia terkesima. Aku mengambil kesempatan itu untuk menambah serangan di kanan wajahnya. Dia cuba menyerang balas, namun pergerakan kaki aku yang pantas menghentam perutnya menggunakan lututku membuatkan dia tertunduk menahan kesakitan.

Aku menyerangnya bertubi-tubi sehingga akhirnya dia hilang kesedaran. Pengsan.

Aku melangkah perlahan ke arah bendera Labuan milikku yang telah rosak. Dadaku terasa berombak kuat. Seluruh tubuhku terasa lemah bagai hendak luruh semuanya, terduduk, tidak lagi mampu berdiri.

Aku menangis semahu-mahunya. Perasaan kecewa, sedih, marah, bersatu semua. Namun begitu, tangisanku itu tanpa suara, juga tanpa air mata. Sebuah perasaan yang tidak terluah.

Mataku terpejam. Perlahan-lahan suasana sekelilingku berubah. Setelah itu aku menyedari tubuhku sedang terbaring di atas katil di dalam bilikku.

Aku masih diselubungi perasaan duka. Mindaku berada dalam keadaan separuh sedar. Aku tidak mampu untuk bangun, hanya mampu melayani perasaan sedih yang belum hilang.

Aku kembali menangis walaupun suaraku tidak mampu terluah. Berterusan, sehingga sedikit demi sedikit suaraku kedengaran secara realiti, beserta air mata yang mengalir tanpa henti.

Tangisan sayu bergema di pagi hari yang masih gelap sehingga mengejutkan suamiku dari tidur. Tangannya menggoncang bahuku sambil memanggil namaku.

"Kenapa menangis ni?"

Aku tersedar, segera tanganku menyapu air mata yang membasahi wajah sambil menggelengkan kepala.

"Mimpi." Jawabku ringkas.

Tidak lama selepas itu, azan subuh dari surau pangsapuri berkumandang.

Pada akhirnya, watak yang dengan kejam menggunting bendera pulau kelahiranku itulah orang yang membangunkan aku dari mimpi yang menjengkelkan.

_________

Ya, mimpi sahaja. Haha. Terlampau ba juga mimpi tu.

Mujurlah kejadian itu tidak benar-benar berlaku, dan bendera Labuan aku masih berada dalam keadaan baik.

Terlampau rindu akan Labuan, rindukan keluarga di Labuan, dan juga risau dengan keadaan Labuan, hinggalah terbawa-bawa ke mimpi. Ahaha.

#nathirah
N Athirah Al-Labuani



Baca penuh >>

Ahad, 19 Disember 2010

CONTEST CERPEN SESEDAP RASA



Hari yang cerah. Gadis comel bertudung itu sedang menikmati hidangan nasi ayam dan air coke di sebuah restoran yang terletak di tengah bandar. Kekusyukannya menikmati hidangan tersebut membuatkan dia tidak menghiraukan manusia-manusia di sekelilingnya. “Best makan kat sini waktu-waktu bosan begini. Makanannya pun sedap,” gadis itu bermonolog.

Ain Zulaikha. Itulah nama gadis comel tersebut. Hari cuti sekolah merupakan hari yang membosankan baginya. Oleh yang demikian, dia keluar bersiar-siar di bandar seorang diri memandangkan kedua-dua ibu bapanya sedang sibuk bekerja. “Huh! Lepas makan ni nak pergi mana ya?” Fikirnya. Dia memerhatikan pakaiannya, memastikan tiada sebarang kekotoran pada pakaian tersebut. Hari itu adalah hari Jumaat, dia mengenakan baju kurung berwarna kuning dengan tudung merah jambu untuk keluar berjalan.

Selepas membayar makanannya, Ain keluar dari restoran tersebut. Dia berjalan-jalan dan singgah di kedai-kedai yang dilintasinya bagi melihat mana-mana barang yang boleh menarik perhatiannya. Ketika dia baru lepas menyeberangi jalan, tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta yang kuat. Ain segera menoleh…

“Hoi, budak! Kau nak mati ke ha?! Kalau nak lintas jalan tu, tengok kiri kanan lah dulu?!!!” Jerit pemandu teksi yang membunyikan hon tadi lalu memandu pergi.

“Aik?! Apa kena dengan orang tu? Kenapa aku pula yang dimarah? Aku dah habis seberang jalan baru dia datang, tiba-tiba aku pula dimarah. Bengangnya!” Ain mengomel sendirian.

“Manusia tu ada masalah mental kot nak marah-marah. Huhuhuhu…” monolog seekor kucing yang berada tidak jauh daripada Ain. (Hahahahahaha…)

Dengan wajah bengangnya, Ain berjalan laju menuju ke arah yang dia sendiri tidak pasti. Ke mana kakinya melangkah, ke situ lah yang dia tuju. Tanpa diduga, tiba-tiba…

GEDEBUB!!!! “Aduh!” Ain terjerit kecil. Dengan wajah merah padam dia bangun kembali.

“Aduuiii… malunya. Macammana aku boleh terjatuh ni…” gumamnya sambil menyapu debu-debu yang melekat pada bajunya.

Sedang menyapu kotoran degil pada baju kesayangannya itu sambil menoleh ke serata arah, Ain terpandang seorang lelaki yang agak kacak tidak jauh di hadapannya. “Waaah! Tu kan mamat yang aku admire sangat tu. Dia ada kat sini la…” bisik hatinya. Matanya tidak lepas memandang lelaki tersebut.

Love-love pelbagai saiz mula berterbangan di sekeliling Ain yang sedang melihat gelagat lelaki yang diminatinya itu, “aisyeehhhhMAN! Cutenya dia senyum. Aaaahhh! Terpikat hatiku.”

Sedang kusyuk berkhayal sambil memerhatikan jejaka idamannya itu. Tiba-tiba yang ke sekian kalinya…
“Embun pun takkan mampu menyubur sekuntum
Bunga yang layu pada musim luruh
Yang dulunya mekar disinar suria
Bila sudah kering pasti akan gugur
Seperti cinta kita…” lagu chorus Kebahagiaan Dalam Perpisahan nyanyian Shahir AF8 berkumandang dari telefon bimbit Ain Zulaikha menandakan sms masuk.

“Adoi! Siapa pula kacau daun ni!” Ain membebel sendirian sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket baju kurungnya.

“Hek eleh! Ada juga manusia misteri minta kredit dengan aku. Dia ingat aku ni taukeh kredit ke apa?” Ain membebel lagi.

Kemudian dia menoleh kembali ke arah dia melihat jejaka idamannya tadi. Namun, lelaki tersebut telah hilang dari pandangannya. "Alah! Sms minta kredit ni punya pasallah kacau aku tengok mamat tadi. Kan dah hilang!" Ain membebel untuk ke sekian kalinya.

“Huh! Daripada aku bagi macam tu saja kredit kat orang, lebih baik aku anjurkan contest dan hadiahkan pemenangnya wang tunai atau topup.” Kata Ain sambil tersenyum.

Ain berpaling ke arah kamera video yang merakamkan lakonan kisah Ain Zulaikha, kemudian dia berkata, “kepada para penonton, kalau nak dapat hadiah topup atau tunai, sertailah Contest Sesedap Rasa anjuran Ain Zulaikha. Kepada para pembaca blog, anda boleh click banner kat bawah...”

"Cara penyertaannya mudah sahaja..."



“Hadiah-hadiahnya seperti yang tertera…” sambung Ain lagi.



"Cepat-cepat hantar penyertaan sebelum contest tamat! Norgadis Labuan, Iera Afzu, Anda di-tag!"

Sekian... Cerita tamat...
Baca penuh >>

Selasa, 31 Ogos 2010

Kalimah Cinta: CiNtA BuLaN

Karya: N Athirah
Rawija Nur Mardhiah, itulah nama gadis remaja comel yang sedang berjalan menuju ke rumahnya. Dia berpakaian seragam sekolah warna biru menandakan dia seorang pengawas sekolah dan sedang berjalan pulang selepas waktu persekolahan. Cuaca panas hari itu menyebabkan gadis tersebut kurang bertenaga. Namun digagahinya juga untuk berjalan agar dia cepat dapat berehat setelah pulang ke rumah. Peluh di dahi disapu menggunakan belakang tangannya. Sesampai di rumah, dia segera menukar pakaian seragamnya kemudian berbaring di atas katil di biliknya. Solat Zohor sudah ditunaikannya ketika di sekolah tadi.

“Panasnya hari ini,” keluh Rawija. “Ya, sesuailah dengan bulan Ramadhan ni sebab maksud perkataan Ramadhan ialah panas.” Katanya kepada dirinya sendiri.

Sedang dia berehat sambil melayan perasaannya sendiri, tiba-tiba lagu Kalimah Cinta nyanyian kumpulan nasyid In-Team kedengaran dari telefon bimbitnya menandakan ada panggilan masuk. Tanpa bangun dari pembaringan, dia mencapai telefon bimbit di sebelahnya itu. Tertera nama abang angkatnya, Muhammad Saifullah. Segera dia menjawab panggilan tersebut, “hello!”

“Adik, tolong abang. Abang dah tak tau nak buat apa sekarang,” kedengaran suara abangnya di hujung talian.

“Apa yang berlaku ni? Abang bertenang dulu, beritahu adik apa yang terjadi,” kata Rawija.

“Abang dah putus dengan teman wanita abang. Keluarga dia dah tunangkan dia dengan lelaki lain. Abang dah tak dapat miliki dia,” kedengaran suara tangisan. Rawija turut sedih mendengar luahan abangnya itu. Sebelum ini, jika berlaku apa-apa masalah antara Saiful dengan teman wanitanya, Rawija lah tempat dia mengadu.

“Sabarlah, abang. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Abang sabar ya,” nasihat Rawija.

“Abang sedih sangat. Rasa macam nak mati saja,” keluh Saiful.

“Abang, jangan begini. Berdosa kalau kita tidak redha dengan takdir Tuhan,” tegur Rawija.

“Adik jadi pengganti kekasih abang, boleh?” Pinta Saiful tiba-tiba.

“Apa abang cakap ni? Jangan buat keputusan terburu-buru. Abang tenangkan diri abang dulu, barulah buat keputusan.”

“Abang dah kehilangan semangat abang. Adik tolonglah rawat luka hati abang ni.”

“Adik tak nak abang menyesal dengan keputusan abang ni. Abang fikirlah dulu elok-elok.”

“Adik, tolonglah abang. Abang yakin dengan keputusan abang. Muktamad. Abang tahu selama ini adik lebih memahami diri abang. Kita sama-sama telah dikecewakan.”

Rawija terdiam. Dia keliru untuk membuat keputusan. Tidak dinafikan sebelum ini dia mempunyai perasaan terhadap abang angkatnya sendiri terutamanya setelah dia ditipu oleh teman lelakinya. Tetapi, dia tidak mahu merosakkan hubungan Saiful dengan kekasihnya ketika itu. Perasaan tersebut hanya dipendamnya sehingga kini.

“Adik tak sudikah?” Suara abangnya menyebabkan Rawija tersedar dari lamunannya.

“Hm… abang tak menyesal nanti?” Tanya Rawija.

“Tidak, ini keputusan abang.” Suara Saiful kedengaran yakin.

“Baiklah,” kata Rawija.

“Adik terima abang?” Tanya Saiful.

“Ya,” jawab Rawija. Dia pasti dengan jawapannya.

“Terima kasih, adik. Syukur, ya Allah!” Kata Saiful. Rawija tersenyum mendengarnya.

Sejak hari itu, Saiful mula memanggil Rawija dengan panggilan ‘sayang’, manakala Rawija kekal memanggil Saiful dengan panggilan ‘abang’. Mereka kerap berhubung melalui laman sosial telefon bimbit, Moko.mobi. Hubungan mereka bagaikan sepasang kekasih yang tidak boleh dipisahkan walau seketika. Perasaan cinta mereka semakin hari semakin mekar bagaikan pohon yang merimbun. Masing-masing mencintai kekasih mereka sepenuh hati.

“Rawija semenjak dah ada boyfriend ni, dah tak boleh berpisah dengan handphone. Wajahnya pula nampak gembira sentiasa,” tegur sahabat Rawija, Azam suatu pagi di dalam kelas. Benar seperti yang diperkatakan oleh Azam itu. Perwatakan Rawija jelas berubah semenjak mempunyai teman lelaki. Dia kelihatan ceria bersama rakan-rakan sekelasnya dan jarang duduk bersendirian.

"Maklumlah, Ija dah dapat kekasih hati yang romantik. Aku baca chat dia dengan teman lelakinya kat Moko tu, aku pun cemburu. Romantik sangat,” kata Umairah, rakan yang duduk di sebelah Rawija di dalam kelas. Rawija pula hanya tersenyum mendengar telahan rakan-rakan sekelasnya itu.

Rona wajah Azam kelihatan berubah setelah mendengar kata-kata Umairah itu. Dalam diam, perasaan cemburu menjalar di hatinya. Namun dia segera beristighfar, “sesungguhnya, rasa cinta itu tidak boleh dipaksa dan tidak boleh diabaikan,” desis hatinya.

“Kau bahagia dengan dia?” Tanya Azam kepada Rawija.

“Tentulah. Dia sentiasa prihatin dan ambil berat terhadap aku,” jawab Rawija.

Azam tersenyum. Dia bukan lelaki yang suka merosakkan hubungan dan kebahagiaan orang lain demi keinginan hatinya. “Apa-apapun, jangan lupa SPM semakin hampir,” nasihatnya. Rawija tersenyum mengangguk.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tanpa diduga, telefon bimbit Saiful rosak. Akibatnya, mereka sukar untuk kerap berhubung seperti biasa. Dengan menggunakan telefon abangnya, Saiful menghubungi kekasih hatinya, Rawija. “Sayang, handphone abang rosak. Macam mana ni?”

“Abang guna handphone siapa sekarang?” Tanya Rawija.

“Handphone abang abang. Eh, abang punya abang! Hehehe… banyak perkataan abang,” jawab Saiful. “Tapi, susah nak guna selalu. Maaflah sayang, abang dah tak dapat temankan sayang selalu,” sambungnya lagi.

“Hm… tak apalah. Kita tak boleh paksa keadaan. Apa-apapun, cinta sayang terhadap abang tak akan berubah,” jawab Rawija.

“Sayang, tunggulah abang dah dapat beli handphone baru nanti, barulah kita dapat berhubung macam selalu. Maaf ya. Harap sayang dapat bersabar,” kata Saiful.

“Insya-Allah, sayang tetap tunggu abang.”

“Tunggu abang pun, pelajaran jangan abaikan. Tahun ni sayang SPM.”

“Hehehe… ya, insya-Allah.”

“Sayang ada tengok bulan malam tadi?” Tanya Saiful tiba-tiba.

“Tidak. Kenapa?” Tanya Rawija pula.

“Abang nampak sayang kat bulan tu. Cantik sangat-sangat. Abang selalu rindukan sayang,” Saiful meluahkan perasaannya sepenuh hati.

“Eh! Sayang bukannya cantik sangat pun. Janganlah puji lebih-lebih pula,” jawab Rawija dalam keadaan malu.

“Abang ikhlas puji sayang. Bagi abang, sayang cantik sangat seperti bulan. Sayang tengoklah bulan malam ni. Malam ni 15 Ramadhan, bulan penuh,” beritahu Saiful.

“Ok. Kalau macam tu, kita tandakan percintaan kita dengan bulan, abang nak?” Cadang Rawija.

“Bagus juga cadangan sayang tu. Abang setuju. Cinta Bulan untuk kita berdua. Kalau sayang rindu abang, sayang tengoklah bulan. Begitu juga abang. Kasih abang tidak akan berubah. Cinta abang umpama cahaya bulan yang menerangi kegelapan.”

“Baiklah kekasih hatiku.” Rawija tersenyum sendirian mendengar kata-kata Saiful itu.


Namun begitu, walaupun perjanjian antara mereka sudah termeterai, wajah mereka tetap kelihatan sedih, lebih-lebih lagi Saiful. Kawan rapat Saiful sendiri mengkhabarkan kepada Rawija akan keadaan Saiful yang sering kelihatan tidak keruan dan selalu bersedih akibat rindunya yang terpendam terhadap kekasih hatinya. “Kalau senja tu dia masih gembira lepak dengan kami, naik saja bulan di langit, dia terus jadi pendiam. Lepas tu terus pulang rumah,” itulah yang diberitahu oleh sahabat Saiful kepada Rawija melalui chat Moko.mobi.

“Ya, Allah! Risaunya aku akan dirinya,” bisik hati Rawija. Ketika ada peluang berhubung dengan Saiful, Rawija sering meminta agar Saiful tidak selalu bersedih. Tetapi perasaan itu sukar untuk dihalang. Saiful selalu merindui Rawija. Dia merasakan bahawa dia tidak boleh terpisah dengan Rawija walau seketika. Kasih sayangnya terhadap Rawija tersangatlah mendalam.

“Ija, kenapa kau dah tak ceria sekarang ni?” Pertanyaan Umairah itu menarik perhatian Azam.

“Susah dah aku nak berhubung dengan Saiful. Handphone dia rosak,” jawab Rawija.

“Oh! Kau rindu dia lah sekarang ni?” Sampuk Azam. Rawija hanya mengangguk.

“Kau sabar sajalah. Bercinta banyak rintangannya,” kata Umairah.

Mengingatkan keadaan Saiful waktu itu, Rawija bertekad belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya menyambung pelajarannya ke Selangor, tempat tinggal kekasihnya. Dia tidak mampu bertahan dengan perpisahan yang terlalu lama itu. “Abang, apa-apapun berlaku, kita kembali kepada Maha Pencipta. Cinta sejati ada pada-NYA. Kerinduan bermakna ada pada Rasul-NYA. Di sanalah kita temukan keindahan bercinta,” kata Rawija kepada Saiful suatu hari. Kata-kata itulah yang menjadi pembakar semangat kepada Rawija untuk mencapai kejayaannya.

Cinta itu memiliki keindahannya. Ianya mendakap erat di dalam jiwa. Sebagaimana Adam dan Hawa yang bercinta ketika di Syurga, namun angkara tipu daya Iblis mereka terpisah ketika diturunkan ke dunia. Kerana kuatnya perasaan cinta mereka, kuatnya simpulan kasih sayang mereka, akhirnya mereka bertemu jua di dunia. Begitulah juga kisah percintaan Rawija dan Saiful yang ditandakan dengan ‘Cinta Bulan’. Usaha Rawija tidak sia-sia apabila dia ditawarkan melanjutkan pelajarannya ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya, Selangor. Segalanya menjadikan hubungan Rawija dengan Saiful bertambah teguh.

“Syukur, ya Allah! Sayang, semua ini abang rasa bagaikan mimpi. Abang tak dapat bayangkan macam mana keadaan abang seandainya kehilangan cinta ini. Syukur alhamdulillah,” tidak henti-henti Saiful bersyukur setelah selesai majlis pertunangan dia dengan Rawija. Kedua-dua buah keluarga pasangan tersebut telah bersetuju untuk menyimpul ikatan pertunangan di antara Saiful dan Rawija ketika Rawija telah berada di tahun kedua pengajiannya.

“Inilah tanda kesucian kasih Allah dan betapa agungnya kebesaran-NYA. Sebagai hamba-NYA, wajiblah kita teguhkan lagi rasa cinta taqwa kita terhadap-NYA. Kerana hanya DIA yang kita sembah dan hanyalah DIA tempat kita memohon pertolongan,” balas Rawija sambil tersenyum.

Cinta itu ada di dalam hati, carilah ia di situ. Jika kamu telah peroleh cinta itu, jagalah cinta itu dengan baik. Tidak ada manusia yang sempurna sepenuhnya. Sebagai insan, sesiapa juga punya kekurangan. Oleh itu, jangan melihat seseorang itu dengan kecantikan atau ketampanan wajahnya, ketinggian darjatnya, harta kekayaannya, tetapi lihatlah dirinya dari hati budinya, agamanya, serta ketaqwaannya.

Sesungguhnya, apabila kamu menemui cinta kamu itu, janganlah kamu cari lagi yang lebih baik daripada itu. Terimalah ia tanpa sekalipun menoleh kembali di belakang kamu. Kamu tidak mungkin akan peroleh cinta yang lebih baik dari yang kamu temui kerana cinta yang sempurna itu hanyalah cinta kepada Tuhan Yang Maha Esa.



..............................................................................................................


KALIMAH CINTA by In-Team'04

Pepohon cintaku kian merimbun
Semakin dicantas makin bertunas
Tidak mampu mendustai hatiku
Rasa cinta fitrah manusia

Siapalah aku menolak cinta
Yang hadir di jiwa tanpa dipaksa
Hidup ini tidak akan sempurna
Tanpa cinta dari Tuhan Yang Esa

Adam Hawa bercinta di Syurga
Angkara iblis terpisah menderita
Kerana cinta mereka setia
Bertemu di dunia

Dengan cinta kenal Pencipta
Dengan cinta kenal RasulNya
Kerana cinta kenal saudara
Bahagia keluarga
Oh indahnya cinta
(Huu... indahnya cinta...)

Adam Hawa bercinta di Syurga (cinta yang suci)
Angkara iblis terpisah menderita (hoo...)
Kerana cinta mereka setia
Bertemu di dunia (setia... cintanya... kerna Yang Maha Esa)

Dengan cinta kenal Pencipta
Dengan cinta kenal RasulNya
Kerana cinta kenal saudara
Bahagia keluarga

Dengan cinta (dengan cinta) kenal Pencipta (hidup bahagia)
Dengan cinta kenal RasulNya (hooo...)
Kerana cinta (kerana cinta) kenal saudara
Bahagia keluarga

Hidup tanpa cinta
Sengsaralah jiwa
Sengketa dan dusta
yang merajai jiwa

Di batasan cinta syariat terjaga
Tanpa keraguan tanpa kesangsian

Betapa sucinya kasihMu Tuhan
Betapa agungnya kebesaranMu
Diri ini mengharapkan cintaMu
Kekalkanlah rasa kehambaanku
Kekalkanlah rasa kehambaanku


............................................................................................................

Cerpen ini dihasilkan adalah untuk menyertai:
Baca penuh >>

Isnin, 28 Disember 2009

Mrdaha End Year Contest: KERANA SI HITAM

Contest lagi? Mrdaha End Year 2009 Contest! ini aku dapat dari blog Mrdaha. Contest ni akan berakhir pada 30 Disember 2009. So, sesiapa yang rajin nak join contest ni, cepat-cepatlah join. Click saja pada link yang aku dah sediakan tu. :-)


Cerpen santai: KERANA SI HITAM
Karya: N Athirah

Aku duduk di beranda rumah. Fikiranku berserabut. Aku baru sahaja lepas bertengkar dengan sahabatku tiga malam yang lepas melalui sms. Terasa tertekan apabila terkenang kembali pertengkaran kami itu. Sejak pertengkaran kami itu, aku langsung tidak melayan mesej yang dihantarnya. Perasaan marahku masih lagi bersisa di dalam diri.

Waktu petang ini aku berasa bosan. Telefon bimbitku sentiasa berada bersamaku. Untuk apa aku membawa telefon bimbit ini ke sana ke mari walaupun berada di rumah? Mesej daripada siapa aku tunggu? Panggilan daripada siapa aku nantikan? Pada waktu petang begini, biasanya aku akan setia menunggu mesej daripada sahabatku. Kami kerap berbalas sms. Tetapi, semenjak pertengkaran itu, kami tidak lagi saling berhubung. Aku kini sudah tidak punya teman. Terasa kesunyian.

Ketika aku dalam kebosanan itulah aku terpandang seekor anak kucing berbulu kelabu-kelabu hitam persis anak kucingku yang telah mati dilanggar kereta lebih kurang enam atau tujuh tahun yang lalu. Anak kucing itu bermain-main sendirian di taman berhadapan dengan rumah aku. Anak kucing siapakah itu? Bukan juga anak kucing jiran aku. Aku berjalan menghampiri anak kucing itu. Betul-betul mirip dengan anak kucing aku yang dulu. Anak kucing jantan juga. Rindunya aku dengan anak kucing ku yang dulu tu.

Aku angkat anak kucing itu, jinak. Tengah leka bermain-main dengan anak kucing itu, tanpa kusedari ada seseorang datang menghampiriku. Aku menoleh, berdiri seorang remaja lelaki lebih kurang sebaya denganku. Siapa lelaki ni? "Err... nak panggil apa ae?" Dia menggarukan kepalanya.

Peliklah dengan lelaki ni. Nak menguratkah dia? "Awak ada nak minta tolongkah?" Tanyaku.

"Awak? Eh, aku tak biasa la guna perkataan tu. Hehehe... Guna 'aku kau' boleh tak?" Katanya.

Erk! Tadi susah sangat nak bercakap. Peliklah budak ni. "Err... ada yang nak aku tolong?" Tanyaku lagi.

"Sebenarnya saja nak berkenalan. Aku tengok kau asyik sangat main dengan kucing ni tadi. Kau jumpa kucing ni kat mana?" Katanya.

Aik? Dia ni peramah juga rupanya. Tadi susah-susah nak bersuara. "Aku nampak kucing ni main sendirian kat taman ni. Kucing ni jinak, jadi aku suka main-main dengan kucing ni," beritahuku.

"Kucing ni sebenarnya kucing aku. Tadi kucing ni terlepas keluar dari pagar. Aku risau kucing ni kena makan anjing. Nasib baik kucing ni selamat," katanya.

Kucing dia rupanya. Tak ada harapan aku nak pelihara kucing ni. "Aku Hazim. Selamat berkenalan," dia senyum kepadaku. Aku membalas senyuman itu.

"Panggil aku Ira," jawabku.

"Kucing ni namanya Si Hitam. Kalau kau suka, kau boleh pelihara. Nanti aku bolehlah sekali-sekala jenguk kucing ni sambil jumpa kau," dia tersengih. Macam dia tahu saja apa yang sedang aku fikirkan waktu ni. Dah diberi lampu hijau tu, tentulah aku setuju.

Sejak petang itu, kami mulai akrab sehinggakan aku hampir terlupa dengan pertengkaran aku dengan sahabatku tempoh hari. "Ira, teman lelaki kau kah ni? Patutlah kau tak layan aku lagi sekarang, dah ada teman lelaki rupanya." Tersembur keluar air yang baru kuminum dari botol airku sebentar tadi. Tepat-tepat mengenai Kamal yang berada di hadapan aku waktu itu.

"Hei, basah baju aku!" Alamak, dahlah Kamal ni pemarah, air ni tersembur kat dia pula. Hazim kat sebelah aku ni pula asyik nak ketawakan orang saja. Si Hairul ni pun satu, kalau nak serbu aku tu, janganlah waktu aku tengah minum.

"Sorry Kamal, aku tak sengaja," lebih baik aku minta maaf dulu sebelum aku bercakap dengan Hairul tu.

"Kenapa dengan kau ni Hairul? Kau sendiri juga yang minta kat aku hari tu supaya tak balas mesej kau lagi. Senang-senang saja kau nak tinggalkan aku dengan masalah aku sendirian. Kau tak bantu aku pun. Sekarang bila aku dapat kawan lain, kau marah-marah pula," aku membentak.

"Dah kau hari tu nak marah-marah. Aku bukannya suka kau marah-marah tu," balasnya.

"Aku sekadar tegur kau sajalah. Kau tu yang selalu salah sangka. Selama ni, betapa pedih sekali pun teguran kau kat aku, aku tak pernah kisah pun. Kenapa bila aku tegur kau sikit, kau buat aku sedih pula? Tertekan aku hanya kerana hal itu tau," kataku.

Hazim yang melihat pertengkaran kami itu segera menyampuk. Sebelum ini aku sememangnya pernah menceritakan apa yang berlaku di antara aku dan Hairul. Cuma waktu tu Hazim tidak mengenali siapa Hairul. "Hairul, Ira, kamu berdua ni kawan karib. Kan tak elok bertengkar macam ni. Selesaikanlah elok-elok," kata Hazim. "Hairul, aku dengan Ira cuma kawan. Dan aku tidak pernah terfikir untuk memutuskan tali persahabatan kamu. Kau masih boleh berkawan dengan dia. Tapi, janganlah biar pertengkaran kamu ini berlanjutan," katanya lagi. "Ira, kau janganlah ikutkan perasaan kau tu. Aku dah berulang-kali beritahu kau, sahabat yang telah ditemui itu jangan disia-siakan. Jika sahabat itu melakukan kesalahan, maafkanlah dia. Jika kamu bertengkar dengan sahabat itu, segeralah selesaikannya. Bukannya terus-terusan bergaduh macam ni," giliran aku pula ditegur oleh Hazim. Hazim begitu memahami. Dia tidak pernah mementingkan dirinya sendiri. Sebarang silap aku pasti akan ditegurnya. Selama ini, dia selalu menasihati aku agar aku tidak lagi membiarkan pergaduhan antara aku dan Hairul berterusan. Cuma aku sahaja yang berdegil.

Akhirnya aku dan Hairul akur. Kami saling meminta maaf. Memang salah aku juga yang hanya memikirkan tentang diri sendiri tanpa mengendahkan sahabatku itu.

"Kamu berdua baguslah, happy ending. Aku pula, kena sembur air," kata Kamal. Berderai suara ketawa kami mendengar kata-katanya itu.

Aku dan Hairul telah lama mengenali Kamal. Tidak pula kusangka Hazim pun kawan Kamal juga. Aku mengetahui akan hal itu pun setelah aku dan Hazim akrab. Kamal dan Hazim setahun lebih tua daripada aku dan Hairul. Aku dan Hazim sering bertemu di taman ini, tempat kali pertama kami bertemu dan berkenalan. Ketika itu, aku akan membawa Si Hitam bermain bersama. Hazim amat menyayangi Si Hitam. Begitu juga aku. Tetapi Hazim benar-benar bersifat pemurah. Dia memberikan Si Hitam itu kepadaku untuk dipelihara. Kami sama-sama menjaga Si Hitam. Hazim sendiri yang akan membelikan makanan untuk Si Hitam. Dia tidak pernah menyusahkan aku untuk menjaga anak kucing kesayangan kami itu. Setiap kali pertemuan aku dan Hazim di taman itulah akhirnya aku mengetahui persahabatan di antara Kamal dan Hazim. Ini kerana Hazim pernah membawa Kamal untuk menemui aku di taman ini.

Kamal mempunyai sikap mudah marah. Sejak dua tahun yang lalu lagi kami sering bertengkar. Kadang-kala kerana hal kecil pun mudah berlaku pertengkaran di antara kami. Tetapi, semenjak aku dan Hazim akrab, aku dan Kamal jarang bertengkar. Keadaan inilah yang telah sekian lama aku harapkan. Namun, ianya termakbul pada hari-hari yang semakin menghampiri tahun baru. Apabila tahun baru menjelma, aku dan Kamal tidak lagi berada di sekolah yang sama kerana Kamal telah pun menamatkan tingkatan limanya pada tahun ini. Pada tahun baru nanti aku akan menghadapi SPM. Dan pada ketika itu, mungkin aku, Hazim dan Kamal sudah jarang untuk berjumpa seperti sekarang. Dan Si Hitam akan terus berada di bawah jagaanku.

"Hazim, tak sangka kerana Si Hitam kau ni, aku dan Ira jarang bergaduh macam dulu," Kamal tersengih selepas meluahkan kata-katanya itu.

"Aku juga tak sangka kerana Si Hitam ni aku akan berkenalan dengan dia. Kalau aku tak berkenalan dengan Ira, confirm kamu masih selalu bergaduh," kata Hazim.

"Macammana nak selalu bergaduh kalau dah susah nak jumpa," aku berseloroh.

"Kerana Si Hitam rupanya. Maksudnya, aku dan Ira berbaik semula kerana Si Hitam ni jugalah. Bagusnya Si Hitam," kata Hairul pula.

"Semua ini pun ketentuan Allah juga. Si Hitam hanya perantaraan dari-Nya sahaja. Rahmat menjelang tahun baru," kata Hazim.

Benar kata-katanya itu. Aku tersenyum. Si Hitam kupeluk. Terasa sayang untuk mengabaikannya. Aku berharap persahabatan kami ini berkekalan. Syukran jazilan ya Allah. Terima kasih Si Hitam.
Baca penuh >>

Sabtu, 26 Disember 2009

AKU.. DIA.. & CAMERA

Entri kali ini pula adalah penyertaan untuk Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie. Contest ni dianjurkan bersempena dengan hari lahir empunya blog tu sendiri, Mohd Qardhawi Bin Mohd Yusof pada awal Januari 2010. Nak tahu lebih lanjut mengenai contest ini, click saja pada link kat atas tu, atau pada gambar utama cerpen yang aku sertakan kat bawah ni.


Selamat menghayati cerpen Aku.. Dia.. & Camera ^-^

Karya: N Athirah

Pamandangan di tepi pantai begitu mengasyikkan, terutamanya pada waktu senja sebegini. Seperti biasa aku hanya ditemani camera Nikon D3000 milikku untuk menangkap gambar-gambar pemandangan yang indah ini. Di kawasan sebeginilah tempat aku selalu berada pada setiap waktu senja untuk menyaksikan keindahan mentari yang terbenam di hujung laut sana.

Dalam keasyikkan menyaksikan keindahan senja di tepi pantai itu, tanpa sengaja aku terpandang seseorang yang sedang duduk bersendirian di atas tembok batu di hujung sana. Seorang gadis bertudung. Di dalam hati aku berkira-kira untuk menghampiri gadis itu atau tidak. Kerana perasaan ingin tahu mengapa gadis itu bersendirian di tempat sebegini kala ini, aku nekad menghampirinya. Dia yang menyedari akan kehadiran aku segera menoleh. Aku tersentak, terasa seolah-olah jantungku berhenti berdetak. Gadis di hadapanku ini adalah gadis yang kurindui selama lebih empat tahun setelah kami terputus hubungan ketika melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Kau... kau buat apa kat sini?” Tanyaku, sedikit gementar.

“Dawie?” Aku hanya mengangguk bagi menjawab pertanyaannya itu. “Kau buat apa di sini?” Dia mengembalikan pertanyaanku sebentar tadi.

“Aku sekadar menghayati pemandangan di sini sambil menangkap gambar. Kau pula?”

Dia diam, berpaling ke arah lain. “Sekadar menenangkan fikiran,” jawabnya ringkas.

“Kau menangis? Kau ada masalah?” Tanyaku lagi. Bekas air mata kelihatan di pipinya. Dia hanya menunduk tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

“Kau ada masalah dengan keluarga?” Tanyaku lagi. Dia sekadar menggelengkan kepalanya sahaja. “Dengan kawan-kawan?” Dia menggelengkan kepala lagi. “Di tempat kerja?” Sekali lagi dia menggelengkan kepala. “Kau kecewa kerana lelaki?” Pertanyaanku kali ini menyebabkan dia menoleh ke arahku.

“Aku sudah lama kenal kau. Kau suka pendam kesedihan kau sendiri. Beritahulah aku apa masalah kau sekarang ni. Aku sedia mendengar,” dia tunduk mendengar kata-kataku itu.

“Aku baru lepas putus dengan teman lelaki aku. Alasannya kerana aku tidak menepati ciri-ciri wanita idamannya. Sewaktu bercinta, bersungguh-sungguh dia katakan aku adalah wanita idamannya selama ini. Tapi sekarang, dia mendustai segala kata-katanya itu. Dia kata aku tidak seperti perempuan lain. Dan dia kata aku kelihatan seperti lelaki,” dia menceritakan segala-galanya kepadaku. “Dawie, betulkah aku ni seperti lelaki? Sejak zaman persekolahan lagi ada orang kata aku macam tu. Aku berasa seperti disindir. Betulkah aku ni sebenarnya kelihatan seperti lelaki? Betulkah?” Dia bertanya berulang-ulang kali. Hatiku sedikit terusik.

“Tidak. Kau tidak seperti lelaki. Tidak sama sekali. Kau jangan dengar semua tu. Mata mereka yang berkata sedemikian sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka tidak melihat bahawa kau sebenarnya seorang perempuan. Seorang muslimah yang sentiasa menjaga diri dan auratnya. Mereka tidak pernah nampak semua itu. Mereka hanya menilai kau dari sudut yang tidak benar. Yakinlah padaku, kau adalah seorang perempuan,” aku cuba menyakinkannya.

Ya, sewaktu zaman sekolah menengah dulu, dia pernah beritahu aku bahawa ada orang kata dia tidak seperti perempuan. Mulanya aku berasa hairan. Akhirnya barulah aku tahu kenapa dia dikatakan sebegitu. Sejak kecil lagi dia memiliki lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana kebanyakkan kawan-kawan perempuannya itu hanya berkawan dengannya ketika mereka memerlukan dia sahaja. Dia juga seorang yang bersifat tegas. Sifatnya ini menyebabkan dia tidak mudah terpedaya oleh orang lain. Tetapi di dalam dirinya tetap tersemat kelembutan dan kasih sayang. Mungkin dia dikatakan seperti lelaki kerana dia tidaklah sentiasa bersikap ayu seperti gadis-gadis yang lain, tetapi memang wajar dia bersikap sedemikian. Sebagai muslimah, dia perlu pandai menjaga dirinya dan auratnya sendiri. Menjadi satu dosa baginya jika dia membuat sesuatu yang boleh mendatangkan nafsu lelaki terhadapnya.

“Tetapi, bukan seorang sahaja yang berkata sedemikian...” katanya lagi. Mungkin dia kecewa apabila teman lelakinya sendiri mengatakan sedemikian terhadap dirinya. Sejak zaman persekolahan lagi dia sering dikecewakan sedemikian.

“Aku dah kata jangan dengar apa yang mereka cakap. Walau apa pun yang mereka katakan, kau ingatlah kata-kata aku. Kau tetap seorang gadis di pandangan mataku. Dan kau tetap puteri di hatiku.” Ikhlas aku katakan padanya. Pada mulanya dia masih berasa ragu. Aku terus berusaha menyakinkannya. Tidak lupa juga nasihat berguna untuknya, “selagi kau tak happy, mustahil aku dapat happy,” dia diam mendengar. “Bersabar sajalah. Kau mesti ingat, Allah sentiasa mendampingi orang-orang yang sabar. Ini hanya ujian daripada-NYA untuk menambahkan lagi keimanan di hati manusia,” akhirnya dia tersenyum selepas mendengar kata-kataku itu. Senyuman yang tidak dipaksa-paksa. Itulah senyuman yang aku rindui selama lebih empat tahun ini.

“Dahlah. Tirai malam dah mulai berlabuh ni. Lebih baik kita pulang sekarang,” kata-kataku yang bermadah itu telah membuatkan dia ketawa. Aku tersenyum.

Sejak pertemuan kami senja itu, aku dan dia sudah sering berjumpa. Hubungan kami akrab seperti waktu di sekolah menengah dulu. Dia tidak lagi bersedih seperti waktu aku terserempak dengan dia di tepi pantai senja yang lalu. Walaupun dia mudah mengalirkan air mata tatkala bersedih, tetapi dia juga seorang gadis yang tabah. Sejak dulu lagi dia sentiasa berusaha menyembunyikan kesedihannya di hadapan rakan-rakannya. Ramai yang mengenalinya sebagai gadis yang periang. Namun begitu, tidak kurang juga yang mengatakan dia seorang yang serius. Kadang-kala aku tergelak mendengar orang berkata sedemikian. Dia sememangnya mudah berlaku serius. Dia akan kelihatan ceria tatkala dia benar-benar gembira atau pada masa-masa dia berusaha melupakan kesedihannya.

Aku tidak mahu dia bersedih. Dia sering menyembunyikan kesedihannya sehingga aku mengetahuinya sendiri. Oleh itu, aku ingin sentiasa mengembirakan hatinya. Aku ingin menjaganya, tidak ingin dia dikecewakan lagi oleh orang lain. Keceriaannya adalah kegembiraanku, kedukaannya adalah kesedihanku. Semenjak aku bersama dia, sering bertemu dengannya, dia kerap menemani aku keluar menangkap gambar-gambar pemandangan, tidak kira atas urusan kerja mahupun untuk diri sendiri. Aku senang sering didampinginya.

“Nanti kalau dah siap gambar-gambar tu, macam biasa kau e-mel kat aku ya. Nanti aku edit design gambar terbaru lagi.” Itulah kata-kata yang sering diucapkannya setelah selesai aku membuat tangkapan gambar-gambar yang menarik. Terasa seronok bersama dengannya kerana kami memiliki minat yang sama.

“Kalaulah aku ada DSLR, dapatlah kita ambil gambar sama-sama kan.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya itu. Dia sepertinya telah dapat melupakan kekecewaannya.

Apabila sering bersama dengannya, aku berasa terhibur. Aku tidak pernah berasa letih melayan karenahnya kerana dia tidaklah terlalu cerewet. Malah, aku berasa lebih senang apabila bersama dengannya. Dia tidaklah seperti gadis-gadis lain yang lebih suka berpakaian yang menampakkan keanggunan diri mereka dan tidak kurang juga seperti gadis-gadis yang suka menampakkan bentuk tubuh mereka. Dia lebih suka berpakaian simple, berseluar panjang, baju lengan panjang, dan bertudung. Yang penting baginya adalah menutup auratnya. Adakalanya dia akan mengenakan baju kurung apabila kami bertemu. Aku dapat merasakan ketenangan apabila melihat dirinya.

Namun begitu, kebahagiaan itu sepertinya hanya akan datang sementara. Jantungku terasa bagaikan disentap dengan kasar apabila aku mendapat tahu bahawa aku akan ditukarkan tempat kerja untuk kenaikkan pangkat. Aku gelisah memikirkan hal itu kerana aku tidak ingin berpisah lagi dengan dia. Aku tersepit di antara hendak memilih untuk menerima peluang kerjayaku itu atau memilih untuk melepaskannya. Aku bingung hendak memilih camera ataupun dia. Selama ini aku berusaha bersungguh-sungguh demi cameraku, minatku, kerjayaku. Tetapi, aku juga tidak ingin kehilangan dia yang telah lama aku rindui selama ini.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari dalam laci meja kerjaku. Benda yang ada di dalamnya itu baru sahaja aku beli tiga hari yang lalu. Benda yang ingin kuberikan kepada dia. Dapatkah aku memberikannya? Akankah dia terima pemberianku ini? Jawapan itu hanya akan kuperoleh setelah bertemu dengannya. Tetapi aku bimbang akan jawapan yang bakal aku terima.

Petang itu selepas waktu kerja, aku terus menuju ke tepi pantai tempat kali pertama aku dan dia bertemu setelah sekian lama terpisah. Seperti yang dijanjikan, dia sudah pun berada di sana. Kotak kecil yang aku simpan di laci meja kerjaku itu kini telah pun berada di dalam saku seluarku.

“Kenapa tiba-tiba kau nak jumpa aku di sini? Tidak seperti hari kebiasaannya,” dia bertanya.

Aku teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya itu, bimbang melukakan hatinya. “Aku akan ditukarkan tempat kerja ke luar daerah pada bulan hadapan. Mungkin kita tidak lagi dapat bertemu seperti selalu,” jawabku. Aku melihat reaksinya. Pada mulanya air mukanya kelihatan tenang. Tetapi kemudiannya dia memalingkan wajah ke arah lain. Marahkah dia?

“Tahniah!” Ucapnya sepatah. Aku berasa ragu-ragu dengan ucapan itu. Perlahan-lahan aku berjalan menghadap dirinya. Matanya berkaca. “Terima kasih kerana menjadi teman aku selama ini. Aku juga tidak tahu bila dapat menemui kau lagi. Akhirnya kau tetap akan meninggalkan aku juga seperti dulu.” Hatiku terusik mendengar kata-katanya itu.

“Aku tidak terniat untuk meninggalkan kau,” kataku.

Dia tidak bersuara. Aku melihat air matanya mengalir. Kali ni aku nekad untuk meluahkan isi hatiku kepadanya. Aku tidak ingin melihat dia terus-terusan bersedih. “Kau tahu apa itu ‘Syurga Cinta’?” Tanyaku.

“Kau juga menonton filem itu? ‘Syurga Cinta’... Maksud yang tidak pernah aku lupakan,” katanya dalam sebak. Kemudian dia menentang mataku, dan aku membalas tentangannya itu.

“Manusia memiliki tiga cabang cinta. Cabang yang pertama ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, dan kamu saling jatuh cinta. Kamu menjadi kekasihnya, dan berlakulah maksiat di antara kamu. Maka, itulah cinta dari syaitan.” Aku mendengar dengan diam tanpa menggangu penjelasannya itu.

“Cabang yang kedua ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis dan kamu jatuh cinta padanya. Tetapi gadis itu tidak menerima cinta kamu, maka kamu bomohkan dia. Maka, itulah dia cinta dari jin.” Dia masih menatap mataku dan aku tidak mengalihkan pandanganku. Aku terus mendengar tanpa memintas sebarang kata-katanya.

“Cabang yang ketiga pula ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, melihat matanya dan rasa itu turun ke hati, kamu saling jatuh cinta. Kamu melamar dia dan menikahi dia. Maka, itulah dia cinta dari Allah, makna sebenar Syurga Cinta.” Dia menghabiskan kata-kata terakhirnya.

“Aku ingin mendapatkan cinta dari Allah itu,” kataku. Dia diam menunggu aku meneruskan kata-kataku.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari saku seluarku dan menyambung kata-kataku itu, “sekiranya kau sudi menjadi permaisuri hatiku.”

Dia diam memandang wajahku. Kotak kecil itu kuserahkan kepadanya. Perlahan dia membuka kotak kecil itu, di dalamnya tersimpan sebentuk cincin yang kubelikan untuknya. Dia tersenyum dan kembali menatap wajahku. Pipinya mulai kelihatan merah. Malu? Dan aku masih menunggu jawapannya. Dia mengangguk tersipu malu. Hatiku melonjak kegembiraan. Dia menerima lamaranku di hadapan senja yang kemerah-merahan itu. Senja yang indah itu menjadi saksi pengakuanku yang diterima olehnya. Walaupun pada mulanya cincin yang kubelikannya itu agak longgar pada jari manis tangan kirinya dan kami terpaksa pergi ke kedai cincin untuk mengecilkannya, dia tetap gembira dengan pemberianku itu.

Dua minggu kemudian rombongan keluargaku datang ke rumahnya untuk merisik dan meminang dia. Tidak lama selepas itu sebelum aku ditukarkan tempat kerja, kami segera ditunangkan. Dalam tempoh pertunangan itu, kami kerap berhubung. Aku juga selalu menghantar e-mel kepadanya yang disertakan gambar-gambar keindahan yang aku tangkap sendiri menggunakan DSLR milikku itu. Apabila ada kelapangan, aku akan pulang untuk menemuinya. Dia pula sentiasa mengambil-berat akan diriku walau di manapun aku berada. Terasa bahagia apabila merasa diri ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian.

Kata orang tua-tua, perkara yang baik itu sebaiknya dipercepatkan. Tidak elok dilambat-lambatkan, bimbang menjadi maksiat. Genap setahun kami bertunang dan aku ditukarkan tempat kerja, wang simpananku telah cukup untuk mengahwininya. Aku mengambil cuti untuk pulang. Kami diakad nikahkan di masjid dan bersanding di rumah dia, gadis yang menjadi idamanku selama ini untuk menjadi pelamin hidupku, permaisuri hatiku.

Kebahagiaan yang kuimpikan setelah sekian lama merindu itu akhirnya kukecapi jua. Aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia, seorang muslimah dan isteri solehah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami. Kerana camera aku dan dia bertemu kembali, dan kerana camera juga aku meluahkan hasratku kepadanya. Akhirnya, kerana camera jua lah aku dan dia dapat hidup bersama.

TAMAT
21:25 (Sabtu)
26 Disember 2009

Penulis tidak memberi nama untuk watak 'dia' di dalam cerpen ini. Terpulanglah kepada pembaca ingin memberi nama apa sekali pun. Sesungguhnya penulis sendiri menyimpan impian untuk mendapat kebahagiaan seperti yang 'dia' dapat di dalam kisah ini... Cerpen ini tidak ada kena-mengena dengan manusia yang masih hidup mahupun yang telah mati. Cerpen ini hanyalah imaginasi penulis sendiri dalam keinginan untuk mencapai impian dalam mencari kasih yang suci dan abadi...

Pengajaran buat kita bersama:

Sesungguhnya cinta dari Allah itu lambang kebahagian manusia. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha mendapatkan cinta dari Allah itu...



Komen dari anda adalah amat diharapkan oleh penulis. Mohon diberikan sedikit pandangan anda mengenai cerpen di atas.
Syukran jazilan...
Baca penuh >>

Selasa, 14 Julai 2009

Mari kita kongsikan bersama... (Khusus Buat Muslimin dan Muslimat Sekalian...)

Aku baru sahaja membaca blog salah seorang saudari se-Islam yang aku follow.

Salah satu entri terbaru blog tersebut ialah sebuah cerpen. Ingin aku kongsikan cerpen tersebut bersama-sama pembaca dan blogger sekalian...


DARUL SIDDIQ : Moga Segera Suasana Itu Hadir

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot atau purba? begitulah detak hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampaknya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum Warahmatullah, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu sebahagian daripada iman." Kedengaran satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling.

Mudah sahaja untuk membaca cerita tersebut. Anda hanya perlu meng-click tajuk cerpen itu atau hanya click 'Baca selanjutnya'. Sama sahaja seperti info cerpen-cerpenku yang sebelumnya. Cuma bezanya, cerpen ini dikreditkan terus ke blog penulis entri asal.

Hayatilah kisah tersebut...


"Renungkanlah... Fikirkanlah... Huraikanlah hujah anda..." N Athirah.
Baca penuh >>