N Athirah @ Siti Puteri Rawija: 1/07/21 - 1/08/21

Jumaat, 9 Julai 2021

Cerpen: SENSOR

"Hai, selamat datang!"

Begitulah bunyi dari loceng sensor setiap kali ada sesiapa melalui alat tersebut.

Haba yang dikesan akan memberi signal kepada sensor menandakan ada orang di situ. Memudahkan sesiapa yang berada di dalam rumah mengetahui kehadiran seseorang yang memasuki pintu rumah.

Ayah beli dua biji sensor. Salah satunya diletakkan di bahagian dalam rumah sebelah pintu utama, manakala satu lagi di garaj sisi rumah. Sensor di garaj itu ayah letak rendah, paras betis, mungkin untuk mengesan dan menakutkan kucing atau monyet yang datang.

Namun begitu, pernahkah terfikir, tatkala sensor itu berbunyi tanpa henti mengucapkan selamat datang, tetapi tidak kelihatan sesiapa pun berada berhampiran sensor tersebut.

Pada malam hari, setelah semua penghuni rumah berada di dalam bilik masing-masing untuk tidur, ibu memeriksa ruang tamu. Lampu dan kipas masih terpasang, segera ibu tutup.

Ketika ibu berlalu hendak ke bilik, tiba-tiba sensor yang sejak awal senyap, berbunyi. "Hai, selamat datang!"

Ibu menoleh, mata ibu melilau ke sekitar ruang tamu. Tiada angin. Putaran kipas mulai berhenti. Gelap. Tiada sesiapa melainkan ibu.

Pintu rumah bertutup. Kedudukan ibu berjarak tiga meter dari pintu rumah dan loceng sensor. Mustahil sensor itu mampu mengesan kehadiran ibu dengan jarak itu.

Malah, kedudukan suis kipas dan lampu juga tidak jauh dari pintu rumah. Sensor itu tidak berbunyi ketika ibu memetik suis, kerana sensor hanya mengesan kehadiran orang yang benar-benar berdiri atau melalui bingkai pintu rumah.

"Hai, selamat datang!"

Ibu memutarkan badan, tidak menghiraukan bunyi sensor yang berulang. Segera meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilik.

Pada waktu yang lain, di petang hari. Adik bongsu yang berusia tujuh tahun bermain di ruang tamu, sendirian. Pintu rumah dibiar terbuka, agar angin yang masuk dapat mengurangkan rasa bahang di dalam rumah.

"Hai, selamat datang!" Loceng sensor berbunyi lagi. Berulang kali, tidak berhenti. 

Tiada sesiapa yang berada di pintu rumah. Adik masih bermain di ruang tamu tanpa menghiraukan bunyi sensor itu. Dia mulai bermain lari-lari seorang diri.

Entah kali yang ke berapa sensor itu berbunyi, adik berlari ke pintu rumah dengan tangan kanannya membuat aksi seperti menangkap sesuatu.

Sensor yang bising sejak tadi tiba-tiba berhenti. Adik terus menyambung larian kecilnya menuju ke bilik ibu bersama genggaman tangan yang tidak dilepas.

"Kenapa ni tangan begini?" Soal ibu setelah melihat tangan kanan adik yang digenggam erat.

"Sshhh... jangan bising. Ada hantu," bisik adik.

Ibu yang terkejut mendengar jawapan adik segera bertanya, "Ada rasa apa di tangan?"

"Rasa sejuk-sejuk."

"Dah. Pergi buang cepat. Jangan pegang lama-lama."

Mendengar gesaan ibu, adik segera berlari ke pintu ruang tamu, melepaskan genggamannya ke luar rumah.

Pada waktu cuti semester universiti, aku pulang ke rumah. Itulah kali pertama aku disapa oleh loceng sensor di garaj. Aku terlompat hampir jatuh kerana terkejut.

"Eh, lama sudah tidak berbunyi ni! Kena sangka sudah habis bateri." Tegur ibu.

Aku malas memikirkan segala kemungkinan. Mungkin sahaja selama ini sensor itu tersumbat, fikirku.

Ketika kami duduk di ruang tamu rancak bersembang anak-beranak, sensor di garaj berbunyi lagi. Aku tidak hiraukan kerana menyangka ada kucing di sana. Namun, kali ketiga suara sensor itu kedengaran, ibu berdiri meninjau ke luar tingkap.

"Ha, main-main lagi kamu! Ada karang kena marah lagi. Pergi sana jauh-jauh, jangan datang sini." Bebel ibu.

"Apa tu?" Tanyaku.

"Tiada apa-apa di sana. Adalah tu yang datang bermain."

"Oh, kakak sangka kucing!" 

"Bukan. Ada yang halus. Sebelum ni sensor tu selalu bising macam ada yang melintas, tapi tiada apa-apa. Lama sudah senyap selepas ayah marah-marah hari tu. Ini selepas kakak balik, tiba-tiba ada lagi."

Aku tersentak. Ibu bercerita mengenai gangguan pada loceng sensor yang telah berlaku sebelum itu. Aku mendengar dalam keadaan mindaku menerawang memikirkan gangguan yang datang kembali setelah aku pulang bercuti.

Oleh: N Athirah Al-Labuani 

#nathirah

Cerpen Misteri

Baca penuh >>

Selasa, 6 Julai 2021

Cerpen: BERTEMPUR

"Malam ini kami kena repeat, perlu hapuskan mereka semua."

Aku termenung mendengar kata-kata suami aku. Malam tadi dia dan kawan-kawannya bertempur dengan musuh. Kakinya luka teruk terkena tetakan parang lawan dan semburan api.

Jika bukan kerana aku terbaca perbualan dia dengan kawannya di media sosial mengenai kejadian malam itu, aku tidak tahu keadaan lukanya yang sebegitu parah.

Betis terbelah menampakkan isi kakinya. Lukanya turut ada kesan terbakar. Tersembunyi di dalam seluar panjangnya, agar aku tidak nampak. Aku hampir muntah melihat luka pada kakinya.

"Kenapa abang pergi tempat tu semalam? Kan Biey suruh tunggu depan panggung sahaja sampai Biey siap." Aku membebel.

"Abang lepak dengan kawan-kawan. Tiba-tiba kami kena serang. Abang join la lawan."

Aku menghembuskan nafas berat. Semalam sepatutnya dia teman aku tengok wayang terbuka, tanpa perlu tiket. Kami sudah masuk dalam panggung, namun tiba-tiba pengunjung semakin ramai.

Disebabkan ada pengunjung yang berkeras ingin masuk walau panggung sudah sesak, suami aku tawarkan diri untuk keluar dari panggung kerana genre yang ditayangkan itu hanya aku yang minat, bukan dia.

Selepas wayang tamat, aku keluar dari panggung dan terlihat dia sedang menunggu di atas motosikalnya. Kakinya berdarah, tapi aku tidak tahu di sebalik seluarnya, ada luka yang mengerikan.

Katanya ada pergaduhan sedikit. Sengaja berahsia dengan aku, mungkin bimbang emosi aku terganggu. Namun akhirnya aku tetap dapat tahu juga.

"Jangan risau. Abang pergi dengan kawan-kawan, ramai. Biey tunggu je abang balik." Dia cuba menenangkan aku.

Kalau ikutkan hati, aku nak ikut. Aku nak turut bertempur walau hanya aku seorang perempuan. Aku risau membiarkan suami aku pergi dalam keadaan lukanya yang masih belum sembuh.

Namun memikirkan anak-anak yang tiada penjaga malam ini, aku terpaksa menunggu. Malam ini aku dan anak-anak akan berkumpul di rumah penginapan bersama warga lain. Menunggu khabar mereka di medan pertempuran.

"Abang balik awal ya," hanya itu pesan aku kepada suami sebelum dia pergi.

Aku duduk termenung di rumah penginapan, membiarkan anak-anak bermain dengan kanak-kanak lain. Fikiranku terasa kosong.

"Kak, maafkan saya." Sapa seorang gadis, sambil menggenggam tangan kanan aku.

Aku menoleh ke wajahnya. "Kenapa?" Tanyaku.

"Kalau saya tidak memaksa nak masuk panggung, suami akak tak pergi, kan."

Aku terdiam. Teringat semula kejadian malam itu. Pasti cerita mengenai kecederaan kakinya sudah tersebar ke beberapa orang. Sudut mulutku sedikit terangkat, cuba menenangkan orang lain, juga hatiku sendiri. 

"Tak apalah. Doakan saja dia pulang dengan selamat."

Waktu berlalu terasa agak lambat. Dan perkhabaran dari medan pertempuran masih tidak kunjung tiba.

#nathirah
N Athirah Al-Labuani

Nota: Olahan kisah berdasarkan mimpi aku.

Baca penuh >>

Ahad, 4 Julai 2021

Popia Cheese Carbonara

Waktu stress, rasa nak maaakaaaannnn saja.

Maka, terjadilah Popia Cheese Carbonara ini.


Bahan-bahan:

  • Kulit popia
  • Carbonara
  • Mozarella cheese
  • Air
  • Sedikit minyak masak
  • Sosej


Penyediaan inti popia:

  1. Potong sosej kecil-kecil.
  2. Panaskan sedikit minyak masak dalam kuali.
  3. Masukkan sosej, goreng sekejap.
  4. Masukkan carbonara.
  5. Masukkan sedikit air. Gaulkan.
  6. Setelah masak, tutup api dan tunggu sejuk.


Penyediaan popia:

  1. Sediakan kulit popia, mozarella yang dipotong nipis, inti popia yang sudah dimasak, dan sedikit air.
  2. Letak sehelai kulit popia seperti bentuk diamond 🔹 
  3. Letakkan sedikit inti di tengah kulit popia.
  4. Tambahkan mozzarella di atasnya.
  5. Lipatkan bucu bawah kulit popia ke atas. Diikuti bucu kanan dan kiri sehingga tertutup inti popia.
  6. Sapu sedikit air di bucu atas popia.
  7. Gulungkan popia sampai bucu atas. Sapuan air tadi agar gulungan kulit popia terlekat elok.
  8. Goreng dengan api sederhana.
  9. Sedia untuk dimakan.


#nathirah

Baca penuh >>