Selasa, 8 Jun 2021

Cerpen: AMARAH

Bendera Labuan yang aku gantung di pintu gril rumah sengaja digunting di hadapan mata aku oleh lelaki itu.

Perasaan aku ketika itu bercampur baur. Air mata aku bergenang, terasa kepalaku seperti akan meledak. Mataku menjeling tajam ke arah si pelaku yang tidak menunjukkan rasa bersalah.

Aku menjerit meluahkan amarah. Tiba-tiba dia mengangkat tangannya kemudian menyakiti tubuhku, membuatkan perasaan benci aku terhadapnya semakin membuak-buak.

Aku yang menggenggam kemas penumbuk di kedua-dua belah tangan tidak lagi mampu mengawal emosi. Beberapa kali penumbuk dari tanganku hampir mengenai wajahnya, namun tersasar. Pergerakan tanganku seakan lambat dan berat.

Dia juga bertindak melawan dengan tangan kasarnya yang hampir dua kali ganda besar dari tanganku. Lenganku terasa sakit setiap kali menangkis serangannya. Aku cuba untuk membaca pergerakan lawan, mencari celah untuk menumpaskannya.

Bertarung berpandukan emosi tidak memberikan sebarang keuntungan untukku. Lagi pula pergerakan aku agak terbatas dan kurang pantas, seperti tanganku diberati oleh sesuatu.

Segera aku mengatur strategi baharu. Menumpukan serangan menggunakan tangan kanan, manakala tangan kiri digunakan untuk menangkis serangan lawan. Ia berhasil apabila salah satu serangan aku mengenai sisi kiri wajahnya.

Dia terkesima. Aku mengambil kesempatan itu untuk menambah serangan di kanan wajahnya. Dia cuba menyerang balas, namun pergerakan kaki aku yang pantas menghentam perutnya menggunakan lututku membuatkan dia tertunduk menahan kesakitan.

Aku menyerangnya bertubi-tubi sehingga akhirnya dia hilang kesedaran. Pengsan.

Aku melangkah perlahan ke arah bendera Labuan milikku yang telah rosak. Dadaku terasa berombak kuat. Seluruh tubuhku terasa lemah bagai hendak luruh semuanya, terduduk, tidak lagi mampu berdiri.

Aku menangis semahu-mahunya. Perasaan kecewa, sedih, marah, bersatu semua. Namun begitu, tangisanku itu tanpa suara, juga tanpa air mata. Sebuah perasaan yang tidak terluah.

Mataku terpejam. Perlahan-lahan suasana sekelilingku berubah. Setelah itu aku menyedari tubuhku sedang terbaring di atas katil di dalam bilikku.

Aku masih diselubungi perasaan duka. Mindaku berada dalam keadaan separuh sedar. Aku tidak mampu untuk bangun, hanya mampu melayani perasaan sedih yang belum hilang.

Aku kembali menangis walaupun suaraku tidak mampu terluah. Berterusan, sehingga sedikit demi sedikit suaraku kedengaran secara realiti, beserta air mata yang mengalir tanpa henti.

Tangisan sayu bergema di pagi hari yang masih gelap sehingga mengejutkan suamiku dari tidur. Tangannya menggoncang bahuku sambil memanggil namaku.

"Kenapa menangis ni?"

Aku tersedar, segera tanganku menyapu air mata yang membasahi wajah sambil menggelengkan kepala.

"Mimpi." Jawabku ringkas.

Tidak lama selepas itu, azan subuh dari surau pangsapuri berkumandang.

Pada akhirnya, watak yang dengan kejam menggunting bendera pulau kelahiranku itulah orang yang membangunkan aku dari mimpi yang menjengkelkan.

_________

Ya, mimpi sahaja. Haha. Terlampau ba juga mimpi tu.

Mujurlah kejadian itu tidak benar-benar berlaku, dan bendera Labuan aku masih berada dalam keadaan baik.

Terlampau rindu akan Labuan, rindukan keluarga di Labuan, dan juga risau dengan keadaan Labuan, hinggalah terbawa-bawa ke mimpi. Ahaha.

#nathirah
N Athirah Al-Labuani



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...