N Athirah @ Siti Puteri Rawija: Berita
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Februari 2015

Perginya Sebutir Mutiara Islam #PerginyaTokGuru


Malam tadi kita dikhabarkan akan pemergian Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA). Perginya secara tiba-tiba yang tiada kembali. Sukar untuk dipercaya, namun, mati itu pasti, hidup insyaAllah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 2015, pukul 9.45 malam, di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Kelantan dibawa pulang ke rumahnya di Pulau Melaka kira-kira 8.55 malam tadi selepas berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 19 Januari lalu kerana kanser prostat.

Beliau dilihat diusung dengan menggunakan katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bantuan oksigen.

Difahamkan TGNA keluar daripada wad di HUSM Kubang Kerian kira-kira 8.40 malam.

Kelihatan orang ramai mula membanjiri perkarangan kediaman sejak 8 malam tadi.

-sumber berita

Pemergian seorang ulama yang ditangisi oleh ramai manusia. Perginya pada malam Jumaat yang penuh berkat. Semoga perjalanannya tenang menemui Ilahi yang dirindu. Redhakan pemergiannya, redhakan perjalanannya. Biarkan dia berehat dengan tenang dari perjuangan ini. Ramai yang tidak sempat menemui beliau, termasuk diri ini. Semoga kita bakal bertemu di Syurga kelak. Aamiin...

Awan Terlebih Dahulu Menangis Kerana Mengetahui Akan Hilangnya Seorang Ulama Hebat...
Bumi Pula Menerima Air Bagi Membersikan Dirinya Untuk Menerima Jasad Seorang Ulama Hebat...
Moga Tenang Roh Beliau Di Sana...

Dari DIA kita datang... Dan kepada-NYA kita kembali...

"Hidupmu berbakti... Pergimu ditangisi"

Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Semoga ALLAH mencucuri Rahmat-NYA ke atas roh Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta tempatkan rohnya di Syurga bersama golongan para Anbiya... Amin Allahuma Amin...

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz... Semoga diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian dari-NYA ini...
Nota: Tarikh pemergian Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sama tarikhnya dengan hari Syahidnya Imam Hassan Al-Banna.
☆Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hassan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin.
☆Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.
☆Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut.
☆Walaupun terkena tujuh tembakan, Hassan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam’iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.
☆Setibanya di hospital Qasral ‘Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hassan al-Banna.
☆Pada pukul 12.50 tengah malam, Hassan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.
☆Peristiwa itu berlaku pada tanggal 12 Februari 1949 dan ia telah meninggalkan sejarah hitam serta pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama.
☆Pada tarikh itulah, dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya.
☆Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik pemerintah Mesir pada ketika itu.
Harga sebuah perjuangan...

Jika belum mengenali siapa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.


Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama: Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 10.1.1931
Tempat lahir: Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Pengajian:
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan:
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik:
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah:
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan:
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan:
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan:
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited:
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh:
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mantan Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.
Baca penuh >>

Khamis, 26 Julai 2012

Lanjutan Kes Letupan Kapal Bunga Alphinia di jeti PETRONAS Methanol Labuan

Kes letupan kapal milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad - Kapal Bunga Alphinia - yang musnah di jeti PETRONAS Methanol berhampiran kawasan Pulau Eno, Labuan masih hangat dibincangkan.

Kemalangan tersebut melibatkan 29 anak kapal (23 rakyat Malaysia, enam rakyat Filipina).
 
Berita televisyen melaporkan seorang maut dan empat lagi masih hilang. Usaha mencari di kawasan sekitar masih dilaksanakan namun pencarian di kapal yang terbakar belum dijalankan lagi.

Berita terbaru melaporkan;
Anak kapal yang terbunuh dalam kejadian kebakaran Kapal Bunga Alpinia dihantar ke Hospital Labuan untuk siasatan lanjut. Mangsa yang dikenali sebagai Shahril Azmi Baharudin, 28 tahun berasal dari Melaka.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Saiman Kasran berkata, empat lagi mangsa yang masih hilang iaitu Muhammad Nazrin Khamsani 20, Mohd. Hanafi Khalil 24, Zahari Hassim 46, dan warganegara Filipina Colanggoy Errol Calaloan, 22.

Usaha mencari mangsa yang hilang masih lagi giat dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat, APMM dan Polis Marin.

Katanya, punca kejadian masih belum dapat disahkan tetapi maklumat saksi kejadian kebakaran berlaku sejurus dentuman guruh dan cuaca hujan.

Seramai 29 anak kapal Bunga Alpinia milik MISC, 19 daripadanya masih terselamat dan 5 lagi sedang bercuti.
Analisis penulis mengenai kejadian ini mengesyaki letupan Kapal Bunga Alphinia ketika dalam proses mengisi minyak berpunca daripada kilat yang berkemungkinan menyambar ketika dentuman guruh dan hujan lebat kira-kira pukul 2.30 pagi itu.

Menerusi pencarian maklumat di salah sebuah kumpulan yang diciptakan di Laman Facebook, We Love Labuan (WELL), salah seorang warga mengkhabarkan bahawa seorang rakannya memberitahu terlihat ada orang berlari meminta pertolongan sambil menggunakan walkie talkie. Selepas tiga saat, kapal tersebut meletup dan orang tersebut hilang dalam letupan.

Adik penulis turut menyampaikan khabar bahawa kapal yang meletup itu masih terbakar sehingga kini. Semoga seluruh warga Labuan berada dalam keadaan selamat.

Takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat... Al-Fatihah...

Sumber: Facebook dan khabar warga Labuan

Laporan dari Anak Labuan yang jauh diperantauan,
N Athirah Al-Labuani,
Bandar Seri Putra, Bangi,
Selangor Darul Ehsan.
Baca penuh >>

Kapal Bunga Alphinia di jeti PETRONAS Mega Methanol di Labuan MELETUP


26 Julai 2012 | 6 Ramadhan 1433 Hijrah
Berita melaporkan Kapal Bunga Alphina yang dalam proses mengisi minyak di jeti PETRONAS Mega Methanol berdekatan kawasan Pulau Eno di Labuan meletup pada pukul 2.30 pagi tadi. Enam orang dikhuatiri mati berikutan kehilangan mangsa.


Menurut warga yang berada di Labuan, satu letupan kuat kedengaran lagi pada pukul 7 pagi tadi menyebabkan gegaran dirasai pada bangunan yang mereka duduki bagi sesiapa yang berada tidak jauh dari kawasan kejadian.

Kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran oleh pasukan Bomba dan Penyelamat giat dijalankan. Kapal yang meletup dan apinya masih lagi marak dalam usaha ditarik ke tengah laut.

Terbaru, RTM Labuan melaporkan, terdapat 1 maut, 3 cedera, dan 5 lagi masih hilang. Penduduk berdekatan diminta bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan tidak terkawal.

Semoga segalanya berjalan dengan lancar, dan semoga berkat Ramadhan pada kali ini dapat menghindarkan Pulau Labuan (W.P Labuan) dari sebarang bencana yang lebih dahsyat lagi.

Takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat... Al-Fatihah...

Sumber: Facebook dan berita serta khabar warga Labuan carian Google

Laporan dari Anak Labuan yang jauh diperantauan,
N Athirah Al-Labuani,
Bandar Seri Putra, Bangi,
Selangor Darul Ehsan.

Baca penuh >>

Sabtu, 14 April 2012

Amerika Syarikat menahan pembawa nama Islam

AS tahan Shah Rukh Khan, India marah
Shah Rukh Khan ditahan di Lapangan Terbang

NEW YORK - India melahirkan rasa marah dengan tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan aktor popular Bollywood, Shah Rukh Khan kira-kira 90 minit di lapangan terbang White Plains dekat sini, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Luar India, SM Krishna berkata, dasar menahan dan kemudian meminta maaf di pihak berkuasa AS tidak harus berterusan.


Aktor itu tiba di lapangan terbang White Plains dengan menaiki pesawat peribadi untuk menghadiri satu majlis di Universiti Yale.

Pihak berkuasa kastam dan perlindungan sempadan memohon maaf atas insiden itu.

Jurucakap Kedutaan AS di Delhi, Peter Vrooman juga memohon maaf  "jika Shah Rukh Khan berhadapan dengan situasi yang tidak selesa atau sebarang kelewatan."

Tidak jelas sebab aktor itu ditahan di lapangan itu.

Pada 2009, Shah Rukh Khan ditahan selama dua jam di lapangan terbang Newark dan kemudian dibebaskan selepas campur tangan India di AS.

Ketika itu, Shah Rukh Khan berkata dia ditahan sebab membawa nama Islam.

Pegawai-pegawai AS menafikan Shah Rukh Khan ditahan, tetapi menekankan bahawa dia hanya disoal siasat.

"Permohonan maaf Amerika menjadi sesuatu yang mekanikal," kata Krishna hari ini.

Krishna juga telah meminta Duta India di AS, Nirupama Rao mengemukakan protes kepada kerajaan negara itu.


Sumber: Sinar Harian
Baca penuh >>

Jumaat, 29 Januari 2010

Berita Buat Pejuang Bahasa ~ Penulis Malaysia

Berita express dari blog RESENSI SEMASA LIPUTAN RASA:

Kepada karyawan dan penyair budiman, kami memerlukan puisi2 tentang bahasa untuk diantologikan sempena HARI PEJUANG BAHASA. Tarikh akhir menghantar puisi berkenaan pada 30 Januari 2010. Sila emelkan karya tuan/puan ke smzakir90@gmail.com atau jfar@dbp.gov.my
Harap maklum
 
Terbuka kepada semua karyawan di Malaysia. Mungkin pembaca-pembaca sekalian boleh tolong canangkan kepada rakan-rakan penulis yang lain. Berita ini mungkin agak terlambat alias express. Penulis sendiri tengah mengarang-ngarang idea untuk menulis puisi yang bersesuaian.

Sama-samalah kita berusaha memperjuangkan bahasa kita...
Baca penuh >>

Sabtu, 12 September 2009

Semoga Perkasa Didampingi Rahmat Allah Di Sana...

Semalam, 11 September 2009 (Jumaat), aku menerima satu berita sedih daripada seorang rakan... Perkasa Bahadir, 16 tahun, bersekolah di SMK Labuan, W.P Labuan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 September 2009 bersamaan 21 Ramadhan 1430 Hijriah.
Berikut adalah berita daripada blog 3 Kreatif SMK Labuan 2009 pada 11 September 2009:

Takziah kepada warga SMK Labuan

AL-FATIHAH kepada seorang pelajar SMK Labuan, Perkasa dari kelas 4A kerana telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi Jumaat, 11 September 2009 b'samaan 21 Ramadhan 1430 Hijrah.

Arwah mengalami kemalangan jalan raya akibat kena langgar motor yang seterusnya mengakibatkan severe head injury yang memberikan simptom seperti koma. (arwah koma selama dua hari sebelum kembali ke rahmatullah pagi tadi).

Ada sumber yang mengatakan bahawa arwah kemalangan semasa mahu ke masjid untuk berbuka puasa. (tak tau la betul ka tak). Ada juga sumber lain yang cakap lain-lain la. *hanya dia dan Allah yang mengetahui sejauh mana kebenarannya.

Jom ramai-ramai sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa. Ya Allah, peliharalah dia dari seksa kubur, dan jauhkanlah dia dari bahang kepanasan api neraka. AMIN. AL-FATIHAH.



Berikut pula ialah kata-kata guru sekolah arwah:

"Cikgu selalu panggil budak ni sebab tau aja la dia suka sangat berfesyen.. satu hari tu cikgu panggil lagi (cikgu kan guru PDG), tertarik tengok beg sekolah dia... rupanya apa je hiasan yang ada dekat baju, beg, kasut dia tu, dia jahit sendiri!
So, cikgu cakap "kamu ni Perkasa, kreatif.. belajar rajin-rajin nanti jadi Fashion Designer"... Dia seronok sesangat sambil cakap, "terima kasih cikgu... cikgu orang pertama yang puji saya..." (pasal time tu tak larat nak tegur dah sebab sebelum ni banyak kali cikgu tegur pakaian dia tu).. bila dengar ni.. rasa macam ralat* jugak sebab dia cakap dia memang nak jadi fashion designer masa depan.. tapi ajal.. kan.... hmm" - Puan Noritah.

"Paling aku suka tengok semangat seorang anak aku ni si Perkasa Bahadir.. nama Perkasa tu.. power betul haha. Aku nampak dia ikhlas dan berharap nak belajar mengaji.." - Ustazah Jamaliah.



Banyak kenangan yang arwah tinggalkan. Arwah pergi secara mengejut tanpa meninggalkan sebarang pesan. Yang tinggal kini hanyalah kenangan di jiwa insan-insan yang mengenalinya. Semoga arwah Perkasa sentiasa didampingi rahmat Allah di sana...

Berita ini pertama kali aku terima daripada Nurazrinah melalui pesanan ringkas telefon bimbit. Pada mulanya aku hampir tidak percaya. Tetapi, apabila membaca berita sebenar di blog pelajar SMK Labuan, barulah aku percaya. Sesuatu hakikat itu terpaksa juga diterima walaupun ianya pahit.

Walaupun aku melihat wajah Azrinah kelihatan seperti wajah cerianya yang biasa, tetapi, di sebalik wajahnya itu tersembunyi kesedihan. Banyak kenangan dia bersama arwah (yang dipanggilnya dengan panggilan 'Kasa') terutamanya ketika kem Rakan Muda Jiran Muda (RMJM) di Karambunai, Sabah tempoh hari. Azrinah betul-betul shock selepas menerima berita tersebut. Aku sendiri, apabila mendapati kebenaran berita ini, wajah arwah sering terbayang di ruang mata.

Arwah seorang yang memiliki sikap bertanggungjawab. Sepanjang kem RMJM, dialah yang selalu menjaga Azrinah. Azrinah pernah bercerita kepadaku, ketika kem RMJM, Perkasa pernah merajuk kerana tidak dibenarkan melaungkan azan sebelum menunaikan solat. Hal ini disebabkan rambutnya yang diwarnakannya pada ketika itu.

Aku harap Azrinah dapat bersabar setelah menerima berita yang mengejutkan itu. Selain hanya kenangan yang tinggal bersamanya, juga ditinggalkan sebuah beg milik arwah yang arwah berikan kepada Azrinah. Beg itulah yang dibawa oleh Azrinah ke sekolah setiap hari. Hmm... Macam-macam lagi kenangan mereka yang mengenali diri arwah.

Kenangan kini hanya tinggal kenangan. Marilah kita sama-sama mendoakan kebahagiaan arwah di sana. Semoga arwah pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang aman dan tenang...

By: N Athirah
Rujukan: Takziah kepada warga SMK Labuan
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka:
* ralat:
kesal atau tidak sedap hati (kerana tidak dapat menunaikan hajat dll).
Baca penuh >>