N Athirah @ Siti Puteri Rawija: 1/06/21 - 1/07/21

Ahad, 27 Jun 2021

Pertukaran Topik Secara Tiba-tiba

Sebelum makan malam tadi.

Zauji: Biey, nanti tolong buatkan, sunquick.

Aku: Okay.

Zauji: Sebenarnya ada lagi jenama yang lagi murah dari ni.

Aku: Apa?

Zauji: Macam jenama mega juga. Abang tak nak beli.

Aku: Apa dia?

Zauji: Ni, minyak hitam.

Aku: Oohhh... minyak hitam.

Ha'ah. Laki aku memang selalu tukar topik tanpa pemberitahuan.

Aku tadi membayangkan air sunquick tu ada jenama lain. Aku dah standby nak kata, tak payah beli jenama lain, takut tak sedap. Aku telan semula kata-kata tu.

Ni ha aku share minyak hitam motor yang zauji order di Shopee.

Tengok sini: https://invol.co/cl5o925

Minyak hitam pun kitorang dah malas cari di kedai. Order online ja tiap bulan.

Pasal sunquick tadi, dah nak hidang makan malam tiba-tiba zauji kata tak payah buat air. Alasannya, dia malas nak layan anak-anak berebut air.

#nathirah

Baca penuh >>

Sabtu, 26 Jun 2021

Bunyi Kambing

Ketika aku menyediakan makanan untuk dihidang makan malam tadi.

___

Syakirin: Kambing. Quack quack.

Bonda: Eh, mana ada kambing quack quack! Betul-betul la.

Abi: Syakirin ni kenapa? Kambing kan buu.

Bonda: HEI!

Abi: Eehhh! Mbek lah. Bu tu lembu.

___

Aku kawal ja pernafasan aku. Menahan sabar dengan karenah dorang dua beranak tu.

Dari dulu aku kena ambil tahu apa yang abi dorang ajar. Pandai sesat ajarannya. Haha.

#nathirah

Baca penuh >>

Jumaat, 25 Jun 2021

Amalan Laporan Yang Berhemah

Kebelakangan ni banyak berita bunuh diri tersebar. Dari satu berita, ke satu berita, berantai.

Setiap kali orang share berkaitan bunuh diri, aku akan scroll laju-laju. Tak sanggup nak baca. Aku tak tahu isi cerita tu bakal trigger aku atau tidak.

Laporan berita bunuh diri sepatutnya tidak boleh disebarkan secara terperinci.

Tambahan lagi, zaman sekarang ni ramai yang tertekan, fikiran bercelaru. Tapi tidak ramai yang ada idea untuk menamatkan hidup. Jika ada sekalipun, mungkin mereka tidak tahu cara untuk melakukannya.

Pendedahan butiran cara membunuh diri boleh mengakibatkan jumlah kes bunuh diri meningkat. Ia memberi idea kepada orang lain untuk melakukan kaedah yang diceritakan.

Mental Health issue is real guys.

Setiap ujian dan dugaan manusia itu berbeza. Tahap ketahanan tubuh dan mental manusia juga berbeza.

Elakkan menghukum. Jadilah masyarakat yang peduli.

Sini aku kongsikan poster Amalan Laporan Yang Berhemah untuk kes bunuh diri.




Amalan Laporan Yang Berhemah

  1. Elakkan daripada melaporkan kaedah bunuh diri secara terperinci.
  2. Elakkan pelaporan yang mensensasikan dan membawa stigma.
  3. Elakkan pelaporan yang mencerminkan hanya satu punca yang menyebabkan mangsa bunuh diri.
  4. Elakkan pelaporan yang memaparkan bunuh diri sebagai penyelesaian kepada masalah hidup.
  5. Jangan mendedahkan identiti mangsa.
  6. Elakkan daripada menggunakan gambar atau video yang memilukan.
  7. Elakkan daripada menyebarkan nota bunuh diri mangsa.
  8. Elakkan pengulangan berita bunuh diri yang sama terutamanya selebriti.
  9. Elakkn daripada meletakkan berita bunuh diri di muka depan ataupun tajuk utama (headlines).

#nathirah
Bipolar Survivor

Baca penuh >>

Khamis, 24 Jun 2021

Sikap Jiran Tingkat Atas

Aku dah lama cuba bersabar.

Perkara bukan baru sekali terjadi. Dah terlalu berulang kali dia buat. Makin lama, makin kerap. Menjadi-jadi pula perangainya.

Aku tak tahu apa masalah sampai nak buat perangai begitu. Apa langsung dah tak boleh fikir ke? Atau memang dah mengalami kecelaruan hingga tak tahu mana yang betul dan salah.

Tadi aku berada di sinki, betul-betul menghadap tingkap. Tiba-tiba ada bunyi benda jatuh di depan aku. Sedikit terkedu.

Aku tarik nafas dalam-dalam secukupnya.

"HOI! DAH TAK RETI BUANG SAMPAH ELOK-ELOK KE?"

Yah, aku jerit kuat. Aku terdengar ada suara lelaki turut melaung orang buang sampah.

"BUANG SAMPAH DALAM TONG SAMPAH. BUKAN BUANG DI KORIDOR."

Harapnya dia dengar jelaslah dua kali aku menjerit.

Kadang-kadang buang sampah kena pada tingkap rumah aku, berlaga bunyi kaca tingkap. Mujur tidak pecah.

Kadang-kadang dia simbah air yang banyak, basah tingkap dan koridor depan pintu rumah aku.

Pernah aku jumpa sisa makanan yang banyak bertaburan di pasu bunga depan rumah aku. Terkena juga di pagar dan lantai. Sisa nasi, kuah, kotor depan rumah aku.

Pernah juga berlaku di tingkap belakang. Aku dan Syakirin sedang melihat ke luar, tiba-tiba ada sambal terpercik di kaca tingkap depan kami. Mujur tidak masuk kena mata.

Sampah ringan, sampah berat, dia macam tak kisah.

Aku tahu di bawah tempat dia buang tu jarang orang lalu. Tapi tak mustahil kadang-kadang ada orang melintas di situ. Tempat tu di tepi tangga.

Tak kan nak tunggu ada mangsa yang kena, baru nak serik, baru nak menyesal.

Tahun lepas aku dah pernah jerit sekali. Dia berhenti. Setelah lama berlalu, ada lagi berlaku. Tak tahulah orang yang sama atau tidak. Pelakunya pun aku tidak tahu siapa dan dari tingkat mana.

#nathirah

Baca penuh >>

Syakirin Tersalah Sebut Umur

Perbualan dengan Syakirin semalam di bilik.

Syakirin: Abang Asyi boy.

Bonda: Ye.

Safiyyah: Eh, eh, eh. (sambil tunjuk diri sendiri)

Bonda: Awak girl.

Syakirin: Abang Asyi lima tahun.

Bonda: Ye. Pandai.

Abi: Abi berapa tahun?

Syakirin pandang abi dia.

Syakirin: Lima puloh tujoh.

Bonda: Hahahahhahahaha.

Abi: Hisy. Kuang asam. Bonda lagi. Bonda berapa tahun?

Syakirin: Twenty eight.

Bonda: Betullah. Hahaha.

Abi: Dia sebut tu nombor thirty eight la.

Bonda: Mana ada. Kat kertas atas meja tu tak ada nombor thirty eight la.

Abi: Merajuklah. Ada ke patut lima puluh tujuh.

Lepas aku keluar dari bilik diikuti Syakirin, aku bagitahu Syakirin perlahan-lahan, umur abi dia 30 tahun.

Mana entah dia dapat 57 tu.

#nathirah

Baca penuh >>

Selasa, 22 Jun 2021

Sekadar Meluah Rasa

Sebelum PKP Raya hari tu, di bulan puasa, aku sempat la ajak zauji pergi taman. Aku kata nak shoot produk untuk jualan. Kat taman boleh dapatkan natural lighting.

Lokasi aku shoot produk memang jauh dari rumah aku. Lokasi di Bandar Baru Bangi, rumah kami di Kuala Lumpur. Kami pilih lokasi tu sebab sebelum tu kami singgah pusara arwah ibu zauji tidak jauh dari KTM UKM.

Berpanas aku sana time puasa tu untuk ambil gambar semua produk yang aku bawa. Cuaca lagi main-main, kejap redup kejap panas. Kemudiannya memang aku pasrah saja, ambil gambar dengan cuaca berubah-ubah tu.

Sementara aku sibuk tu, anak-anak bermain di sekitar dengan pengawasan zauji. Bukan senang dapat berjalan tempat lapang. Selalu berkurung di rumah saja.



Aku ingat, balik aku dari shoot produk tu aku akan ke proses editing dan upload. Aku dah pindah semua gambar ke dropbox, tinggal buka laptop dan fokus buat kerja ketika anak tak datang mengganggu.

Tapi tak lama tu, pengumuman PKP menjelang raya. Start tu, aku mulai remuk.

Aku dah sedia rapuh sejak PKP tahun 2020. Aku cuba cipta semangat sedikit demi sedikit, cuba menapak teguh. Aku tak nak orang tengok aku lemah.

Apabila rentas negeri ditutup awal tahun 2021, ketika itu aku mengharap itu peluang untuk perbaiki keadaan negara, agar aku boleh balik ke Labuan penghujung Mei 2021.

Harapan tu aku terus genggam sehingga bulan puasa. Ya, aku masih mengharap ketika itu. Menunggu SOP Raya dengan harapan masih ada peluang untuk rentas negeri hujung Mei.

Masa tu aku fikir, swab test pun swab test lah. Aku nak juga bawa jasad aku dan anak-anak jumpa keluarga melepas rindu.

Namun, apabila keluar pengumuman PKP menjelang raya, genggaman harapan tu terlepas, berkecai. Aku tahu tiada harapan. Biarlah aku lepaskan.

Selepas raya, kes di Labuan yang sebelumnya aman, berubah menjadi membimbangkan. Terus PKPD.

Penghujung Mei, negara total lockdown PKP.

Produk yang aku shoot, terbengkalai lagi. Aku tiada semangat nak buat apa-apa. Kalau dipaksakan sekalipun, hasilnya akan berantakan.

Ada masanya akan muncul perasaan, 'aku ni tidak berguna' kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Tak mengapa. Aku okay. Insya-Allah akan sentiasa okay. Sekadar meluah rasa.

#nathirah

Baca penuh >>

Ahad, 20 Jun 2021

Bakunyanyang a.k.a Membebel

Bahasa kedayannya, bakunyanyang aku tadi di dapur.

Bahasa melayunya, aku membebel di dapur tadi.

Panjang. Meluahkan macam-macam sendirian. Ada Syakirin bermain tidak jauh dari aku, bukan dia faham pun. Safiyyah tidur di bilik. Zauji di bilik, tak tahu la tengok apa di telefonnya.

Ada sesuatu yang buat aku terganggu, terus cetuskan kemarahan ketika itu juga. Begitulah aku waktu rasa terabai. Suara aku bukan kecil. Seisi rumah ni boleh dengar. Tapi aku sendirian.

Kemarahan aku masih cuba dikawal. Tiada hempas apa-apa. Mulut saja inda berhenti bakunyanyang.

Aku duduk sambung buat kerja aku. Terasa sunyi ... sesunyi hatiku.

Rasa tidak senang dengan kekosongan yang aku rasa, aku ambil telefon, pasang lagu nasyid di playlist music aku. Kebetulan lagu Tiada Duka Yang Abadi nyanyian Opick yang terpasang. Terus aku set repeat one, dan layan.

Zauji keluar dari bilik pandang aku. Aku hanya pandang dia dengan tatapan kosong, terus mengerjakan apa yang aku perbuat.

"Biey ada marah abang ke?"

Aku menggeleng. Aku sendiri ragu, apakah wajar kemarahan aku tadi?

"Abang minta maaf kalau ada buat bby marah tadi," ungkap zauji.

Aku mengangguk. Mungkin aku jadi perempuan yang bersikap complicated. Tapi aku memilih untuk tidak menambah beban emosi aku. Biarlah yang tadi berlalu.

#nathirah

Baca penuh >>

Rabu, 16 Jun 2021

Ceritera Suamiku Rider

Zauji: Abang ni malas. Dulu pukul 9 abang dah keluar cari order. Sekarang tak dah. Kenapa ek?

Aku: Sebab abang malas.

Zauji: Eeiiii. Kenapa jujur sangat.

Aku: Abang yang kata tadi abang malas.

Zauji: Eeeiiii.

Aku dan Safiyyah ketawa.

___

Zauji: Abang nak beli Ysuku. SYM ke. Pulas-pulas, sampai.

Aku: Ha'ah. Dari rumah sampai ke rumah.

Zauji: Sekarang Kriss ni sampai juga. Tapi slow la.

Aku: Sampai juga kan. Tujuan dia nak apa? Nak sampai kan.

Zauji tarik muka, tak puas hati. 

___

Zauji: Hari ni abang tak nak balik tengah hari. Abang nak pulun kaw-kaw.

Aku: Hari tu pun kata tak nak balik, lepas tu balik juga.

Zauji: Eiii. Tu abang nak jimat duit makan tengah hari.

Aku: Tadi abang yang kata tak nak balik kan.

Zauji: Yela. Abang nak pulun, bby yang suruh abang balik. Bby cakap, "Bang jangan la gitu. Rehat la. Balik makan tengah hari."

Aku: Mana ada bby cakap macam tu. Bby dah cakap dah, "Kalau tak sempat balik, beli la makanan, nanti claim." Lepas tu, abang sampai juga rumah, belum makan pula tu.

Masing-masing ketawa.

Lalamove menyediakan perkhidmatan delivery on-demand di sekitar Lembah Klang.

Boleh install aplikasi di sini: https://invol.co/cl5la67

#nathirah
Isteri rider delivery

Baca penuh >>

Selasa, 15 Jun 2021

Silent Treatment daripada Safiyyah

Safiyyah jerit-jerit nangis.

Tak ada apa sangat pun, dia tak nak abi dia kacau ja. Nangis tu berlakon ja.

Aku pun ajuk dia buat suara jerit nangis. Haha.

Dia diam.

DIAM

DIAM

DIAM

"Kenapa Safiyyah?"

DIAM

"Marah bonda ka?"

Masih DIAM pandang aku. Mulutnya terkatup rapat.

Dia buat SILENT TREATMENT kat aku. Weyh.

Aduhai, ini anak!

Kemudian barulah Safiyyah bagi isyarat nak minta susu.

Fuh!

#nathirah

Baca penuh >>

Sabtu, 12 Jun 2021

Perbualan Dengan Syakirin Kerana Telah Lama Tidak Balik Kampung

Perbualan yang agak panjang dengan Syakirin tadi. Perbualan yang jarang berlaku, mungkin kerana masing-masing menyimpan perasaan itu sendirian.

Syakirin: Macamne Ti-Tiey dan nenda datang?

Ti-Tiey ni panggilan untuk adik aku Atikah, dari nama Aunt Ti. Nenda pula panggilan untuk ibu aku.

Bonda: Tak boleh. Ada virus. Ti-Tiey dan nenda tak dapat datang.

Syakirin: Nanti demam ke?

Bonda: Ye. Tak boleh keluar jalan-jalan. Nanti demam.

Syakirin: Ada seseme ke?

Dia maksudkan selesema.

Bonda: Ya, ada selsema juga.

Syakirin: Macamne nenda naik kete putih?

Syakirin ingat lagi kereta di Labuan warna putih, walaupun kali terakhir di Labuan tahun 2019.

Bonda: Tak dapat. Kereta tak boleh sampai sini.

Syakirin: Nenek?

Panggilan 'nenek' ni untuk ayah aku. Kat Labuan kami panggil 'nenek lelaki', bukan 'datuk'.

Bonda: Nenek pun tak dapat datang. Jauh.

Syakirin: Nenek jauh ke?

Bonda: Ye. Kena naik aeroplane pergi sini.

Syakirin: Boleh laa.

Bonda: Sekarang aeroplane pun tak boleh hantar. Nanti aeroplane dah boleh hantar, bonda bawa Syakirin pergi Labuan jumpa nenda ye.

Syakirin: Ooh. Pigi jumpa nenda la.

Bonda: Belum lagi. Kita tak dapat pergi. Kan masih ada virus. Syakirin pun tak dapat sekolah kan. Naa. Macam mana mau pergi Labuan tu, sekolah pun tak dapat.

Kemudian Syakirin termenung tengok handphone aku.

Syakirin: Call nenda laa.

Bonda: Nanti je la call nenda. Sekarang tak boleh. Nanti bonda tanya nenda dulu.

Syakirin: Macamne dah malam? Macamne siang? Syakirin tidur lah.

Dia maksudkan dia kena tidur. Dah siang baru boleh call nenda.

Bonda: Nantilah tidur. Syakirin makan dulu. Tapi, esok belum call nenda. Esok Syakirin call dengan cikgu, esok Syakirin belajar.

Syakirin senyum tipis.

Bonda: Nanti abi kerja la baru call nenda. Nanti bonda tanya nenda dulu.

Syakirin: Okay.

Perbualan ni panjang. Dari aku sedang memasak di dapur, sehingga aku masuk ke bilik selepas masak. Ada sebahagian aku kurang ingat dah, sebab soalan dia banyak berulang.

#nathirah

Baca penuh >>

Selasa, 8 Jun 2021

Cerpen: AMARAH

Bendera Labuan yang aku gantung di pintu gril rumah sengaja digunting di hadapan mata aku oleh lelaki itu.

Perasaan aku ketika itu bercampur baur. Air mata aku bergenang, terasa kepalaku seperti akan meledak. Mataku menjeling tajam ke arah si pelaku yang tidak menunjukkan rasa bersalah.

Aku menjerit meluahkan amarah. Tiba-tiba dia mengangkat tangannya kemudian menyakiti tubuhku, membuatkan perasaan benci aku terhadapnya semakin membuak-buak.

Aku yang menggenggam kemas penumbuk di kedua-dua belah tangan tidak lagi mampu mengawal emosi. Beberapa kali penumbuk dari tanganku hampir mengenai wajahnya, namun tersasar. Pergerakan tanganku seakan lambat dan berat.

Dia juga bertindak melawan dengan tangan kasarnya yang hampir dua kali ganda besar dari tanganku. Lenganku terasa sakit setiap kali menangkis serangannya. Aku cuba untuk membaca pergerakan lawan, mencari celah untuk menumpaskannya.

Bertarung berpandukan emosi tidak memberikan sebarang keuntungan untukku. Lagi pula pergerakan aku agak terbatas dan kurang pantas, seperti tanganku diberati oleh sesuatu.

Segera aku mengatur strategi baharu. Menumpukan serangan menggunakan tangan kanan, manakala tangan kiri digunakan untuk menangkis serangan lawan. Ia berhasil apabila salah satu serangan aku mengenai sisi kiri wajahnya.

Dia terkesima. Aku mengambil kesempatan itu untuk menambah serangan di kanan wajahnya. Dia cuba menyerang balas, namun pergerakan kaki aku yang pantas menghentam perutnya menggunakan lututku membuatkan dia tertunduk menahan kesakitan.

Aku menyerangnya bertubi-tubi sehingga akhirnya dia hilang kesedaran. Pengsan.

Aku melangkah perlahan ke arah bendera Labuan milikku yang telah rosak. Dadaku terasa berombak kuat. Seluruh tubuhku terasa lemah bagai hendak luruh semuanya, terduduk, tidak lagi mampu berdiri.

Aku menangis semahu-mahunya. Perasaan kecewa, sedih, marah, bersatu semua. Namun begitu, tangisanku itu tanpa suara, juga tanpa air mata. Sebuah perasaan yang tidak terluah.

Mataku terpejam. Perlahan-lahan suasana sekelilingku berubah. Setelah itu aku menyedari tubuhku sedang terbaring di atas katil di dalam bilikku.

Aku masih diselubungi perasaan duka. Mindaku berada dalam keadaan separuh sedar. Aku tidak mampu untuk bangun, hanya mampu melayani perasaan sedih yang belum hilang.

Aku kembali menangis walaupun suaraku tidak mampu terluah. Berterusan, sehingga sedikit demi sedikit suaraku kedengaran secara realiti, beserta air mata yang mengalir tanpa henti.

Tangisan sayu bergema di pagi hari yang masih gelap sehingga mengejutkan suamiku dari tidur. Tangannya menggoncang bahuku sambil memanggil namaku.

"Kenapa menangis ni?"

Aku tersedar, segera tanganku menyapu air mata yang membasahi wajah sambil menggelengkan kepala.

"Mimpi." Jawabku ringkas.

Tidak lama selepas itu, azan subuh dari surau pangsapuri berkumandang.

Pada akhirnya, watak yang dengan kejam menggunting bendera pulau kelahiranku itulah orang yang membangunkan aku dari mimpi yang menjengkelkan.

_________

Ya, mimpi sahaja. Haha. Terlampau ba juga mimpi tu.

Mujurlah kejadian itu tidak benar-benar berlaku, dan bendera Labuan aku masih berada dalam keadaan baik.

Terlampau rindu akan Labuan, rindukan keluarga di Labuan, dan juga risau dengan keadaan Labuan, hinggalah terbawa-bawa ke mimpi. Ahaha.

#nathirah
N Athirah Al-Labuani



Baca penuh >>

Isnin, 7 Jun 2021

Zauji, Pedal, dan Tongkeng

Alkisahnya zauji nak beli pedal ayam. Tapi dia tersalah ambil tongkeng ayam. Hahaha.

Ketika aku susun barang basah nak masukkan dalam peti ais, aku rasa pelik tengok satu plastik ni dari luar seperti bukan pedal ayam yang zauji suka.

Aku tanyalah, "abang beli tongkeng ke?"

"Pedal la."

Aku segera buka plastik tu dan tunjukkan kepada dia.

"Eh! Alaaaa... Salah la ni. Tak apalah, nasib baik abang makan juga." Katanya sambil garu kepala.

Dia punyalah nak cepat sebab tak nak berlama-lama dalam pasaraya sebelum pengunjung ramai, benda yang biasa beli pun boleh tersalah. Masa timbang dan dilekatkan harga pun zauji tak perasan itu tongkeng.

Banyak pula tu. Aku dan anak-anak tak makan tongkeng dan organ-organ ayam. Dia seorang sahaja yang makan.

"Lain kali abang ingat ya, pedal tak ada kulit. Tongkeng ni ada kulit." Pesan aku sambil ketawa.

#nathirah

Baca penuh >>

Sabtu, 5 Jun 2021

Syakirin dan Komik

Aku sibuk memindahkan buku-buku di rak lama ke rak buku baru. Tiba-tiba Syakirin ternampak la pula komik Doraemon aku. Memang ada satu tu sahaja sebab aku lebih kepada mengumpul komik Detective Conan.

Syakirin ni suka Doraemon. Nak kata dia selalu tengok kartun tu, tidak juga. Tapi kalau dapat mainan, barang, atau selimut yang ada watak Doraemon tu, memang dia suka sangat.

Jadi, tadi dia tak nak lepaskan buku komik ni. Aku tanya lah, "Macam mana Syakirin nak baca? Syakirin kan belum pandai baca lagi."

Syakirin tak endahkan pertanyaan aku ya gaaiiiss. Dia berlalu dengan komik tu, belek-belek sambil berkata dengan penuh semangat, "ada Daemon la".

*Daemon tu bukan typo ya. Memang Syakirin sebut begitu. Dia pelat huruf 'r'. 

Aku pun malas nak hiraukan sangat ketika masih belum siap menyusun buku-buku aku. Aku cuma pesan, "jangan koyak ya".

Setelah itu, Syakirin senyap sahaja. Kusyuk 'membaca' komik bergambar itu. Sesiapa lalu lalang sekitar dia, memang dia tak peduli. Dah la duduk depan pintu rumah, tiada kipas pula tempat tu.

Selesai aku susun buku, baharu aku terperasan yang Syakirin tu sedang kusyuk. Aku ambil gambar pun dia tak perasan. Haha. Kasihan punya pasal, aku panggil dia suruh duduk 'baca' buku di bawah kipas ruang tamu.

Entah dia faham atau tidak cerita dalam komik tu. Mungkin dia faham cerita tu berdasarkan gambar-gambar dalam komik tu. Tak apalah, nanti dah pandai baca, lagi seronok boleh baca dengan faham.

Aku memang dah plan nak beli buku-buku yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Nanti mereka dah pandai membaca, pasti akan ada perasaan hendak baca apa sahaja yang mereka boleh baca. Aku berharap anak-anak aku nanti rajin membaca dan dapat membaca bahan bacaan bermanfaat.

#nathirah

Komik Doraemon tu aku dah beli lama sebelum kilang Tora Aman tutup.

Muhammad Hafiz Syakirin minat Doraemon. Bondanya minat Detective Conan.

Baca penuh >>