N Athirah @ Siti Puteri Rawija: 1/12/20 - 1/01/21

Khamis, 31 Disember 2020

Coretan Kisah Tahun 2020

Tahun 2020 merupakan tahun cabaran buat aku. Sangat mencabar dan aku masih terus harungi dalam kembara kehidupan ini. Pada asalnya aku menjangkakan tahun ini menjadi tahun yang penuh keterujaan. Namun jangkaan aku agak sedikit meleset. Hahahaha...

Tahun 2020 anak sulungku Muhammad Hafiz Syakirin diterima masuk ke Tabika Perpaduan. Aku sangat berharap kemasukan ke tabika mampu membantu menambah-baik masalah kelewatan pertuturannya. Tahun pertama masuk sekolah ketika berumur empat tahun, dan Syakirin seronok sejak hari pertama dia masuk kelas. Aku rasa bersyukur sangat. Cikgu-cikgu juga banyak membantu dalam perkembangan pertuturan dan motor skills Syakirin.

Syakirin mula panggil aku dengan gelaran 'bonda' juga selepas dia masuk tabika. Terharu sangat. Nak menangis aku dengar dia cuba biasakan sebut 'bonda'. Sebelum tu dia panggil aku 'afu', hahahahhaa... Mana datang pun aku tak tahu. Sebutan Syakirin semakin jelas dan bermakna. Kalau sebelum tu Syakirin banyak sebut perkataan dalam bahasa inggeris, sekarang Syakirin mula faham perkataan yang sama tu dalam bahasa melayu. Aku nampak makin banyak pandainya. Alhamdulillah.

Sayangnya dugaan pandemik covid-19 tahun ini, persekolahan terasa singkat. Banyak kena buat pembelajaran dari rumah. Struggle juga untuk aku yang ada masalah tak mampu mengajar dalam keadaan tenang untuk tempoh masa yang lama. Aku tak suka jadi pengajar sebab aku cepat marah. Dengan masalah kecelaruan emosi aku lagi. Kasihan sebenarnya Syakirin.

Sebelum bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, sempat juga lah ibu dan adik aku Atikah datang melawat kami. Sempatlah kami bawa ibu dan Atikah jalan-jalan sekejap di Cameron Highlands. Cuma sahaja tak sangka waktu kami bercuti tu tiba-tiba Syakirin dan Atikah demam serentak. Dah sampai Cameron pun waktu tu, bermalam. Tengah malam tu lah kedua-duanya demam. Dua-dua pula memang rapat. Melekat sajalah Syakirin dengan Auntie Tiey dia.

Tahun ini buat pertama kali aku tak berkesempatan langsung untuk balik ke Labuan. Waima sambut Hari Raya juga di rumah sendiri dengan keluarga kecil kami. Buat kuih raya dan kek batik sendiri. Sedih gila tahun ni. Dengan aku yang berusaha nampak kuat depan semua orang, Syakirin lagi yang menanggung rindu nak balik Labuan jumpa nenda, nenek, dan auntie-auntie dia.

Jauh-jauh keluarga zauji pun, cuma di Johor. Masih kami boleh sampai, setanah semenanjung sahaja. Kami yang anak cucu pulau ni, sarat menanggung rindu. Safiyyah pula masih terlalu kecil, Labuan memang tempat kelahirannya, tapi dia belum begitu faham. Dia cuma tahu rumah teratak ini rumahnya. Bonda, abi, dan Abang Asyi (Syakirin) ialah keluarganya. Dia tak suka berlama-lama di rumah orang lain, tak suka berada di tengah keramaian orang lain. Jadi, aku kurang pasti reaksinya terhadap Labuan.

Zauji mula bekerja sendiri selepas majikannya tamatkan perkhidmatan zauji berakhir pada Julai lalu disebabkan syarikat semakin tidak stabil dengan kemerosotan ekonomi sepanjang tempoh PKP. Sememangnya aku dah minta zauji bersedia awal dan aku beri cadangan plan backup selepas dia diberhentikan kerja. Zauji pun memang dah mula buat part time Lalamove hantar barang dengan motor bermula bulan Ramadan untuk tambah pendapatan ketika gaji bulanan dipotong separuh sebab PKP. Bertabahlah kami dengan rezeki secukupnya. InsyaAllah.

Awal Oktober lepas sekali lagi ibu dan Atikah datang KL sebelum prosedur keluar masuk Labuan semakin ketat, dan sebelum Kuala Lumpur dan Selangor berhadapan dengan PKP Bersyarat (PKPB). Terkesan apabila Syakirin minta aku bawa dia ke rumah nendanya ketika kami video call. Menangis kami sama-sama sebab aku tak dapat tunaikan permintaan Syakirin tu. Tak mampu untuk beli tiket kapal terbang pulang ke Labuan untuk kami sekeluarga.

Dugaan juga ketika nak check-in tiket penerbangan, tiba-tiba penerbangan dari KL balik ke Labuan dibatalkan. Semasa kami booking tiket, kes di KL agak terkawal, tak merisaukan sangat. Tapi hujung September tu kes mendadak teruk menyebabkan penerbangan dikurangkan. Kami terpaksa tukar tiket balik Labuan untuk ibu dan Atikah tu lebih awal. Namun sempat jugalah bawa ibu dan Atikah jalan-jalan di Kuala Lumpur dan naik Bukit Tinggi sekejap. Lepas tu Syakirin susah nak lepaskan nenda dan Auntie Tiey dia balik. Huhuhu...

Sekarang ni temujanji anak-anak dengan klinik dan hospital pun agak susah juga. Dah tak boleh anak beranak menunggu sama-sama di dalam. Sepanjang PKPB ni nak masuk ruang hospital untuk menunggu juga tidak boleh dah. Setiap kali temujanji, bonda dorang sahaja teman masuk, abi dorang pula jaga anak seorang lagi di luar klinik atau hospital. Dalam apa-apa keadaan pun, tetap aku juga yang akan teman anak untuk sesi temujanji sebab aku yang lebih banyak tahu progress perkembangan anak-anak.

Tahun ini juga aku bincang dengan pakar pediatrik berkenaan sikap Syakirin yang makin tidak terkawal. Pertuturan dia dah semakin membaik, tapi perangai dia yang agak berlebihan dan tidak ambil perhatian itu yang merisaukan. Pediatrik rujuk kes Syakirin ni ke Terapi Carakerja. Therapist nampak Syakirin ni ada pelbagai masalah dalam diri dia. Mungkin akibat perkembangan dia yang delay sebelum ini menyebabkan dia macam kelam kabut nak capai semua yang lain sehingga tak mampu nak tapis mana yang perlu atau tidak.

Sepatutnya 17 Disember hari tu dapat berbincang dengan doktor mengenai diagnosis Syakirin yang berkemungkinan ada ADHD. Tapi temujanji ditunda pula sebab doktor pakar pergi Sabah bulan ni. Tunggulah tahun depan apa kisahnya.

Semoga tahun 2021 akan lebih membaik untuk kami sekeluarga. Aku redha dan bersyukur dengan kehidupan kami sekarang. Aku cuba harungi cabaran ni. Aku cuba kuat walau aku tahu aku sedang rapuh. InsyaAllah nanti aku sambung semula rawatan psikiatri aku yang tertangguh sebelum ni. Buat masa ni aku perlu tumpukan pada anak-anak dahulu.

Oh, ya! Aku tak tahu kenapa aku tiba-tiba mula minat nak melukis. Aku tiada bakat pun, seriously. Tapi aku tetap nak cuba-cuba juga. Hahaha... Seronok juga apabila ada lukisan yang nampak menjadi.

Entah macam mana aku yang asalnya menulis puisi dan cerpen tiba-tiba ter-melukis pula. Hahahaha... Ketika sekolah rendah dahulu aku pernah la minat melukis. Tapi rasa tiada bakat, aku berhenti. Sejak tu aku cuma fokus dalam penulisan. Sayangnya menulis pun aku terhenti, cuma sesekali aku menulis puisi dalam keadaan yang aku rasa sukar. Aku masih cuba menulis, sebab tu aku kembali menulis di blog ini. Tapi ada masanya aku tewas, dan luahan itu hanya bermain di minda tanpa mampu diolah.

Okayh, aku rindu segalanya. Sekian sahaja coretan aku di penghujung tahun 2020 ini. Sampai berjumpa lagi di coretan akan datang pada tahun hadapan. Terima kasih buat yang sudi membaca, dan terima kasih buat follower yang masih setia mengikuti coretan kembara aku ini.


#nathirah
Siti Puteri Rawija

Baca penuh >>

Cinta Sekali Lagi di Elmina


Penangan menonton drama TV3 slot Akasia, CINTA SEKALI LAGI tanpa missed. Setiap kali tengok pembukaan dan penutup drama, selalu perhatikan latar tempat montage cantik sangat.


Tiba-tiba ada satu hari tu zauji beritahu dia tahu kat mana tempat tu. Dia ada lalu masa buat penghantaran Lalamove. Katanya nak bawa kami semua ambil gambar di situ. Setengah jam sahaja dari rumah kami ke tempat tu.


Maka, pada 13 Disember 2020, Sabtu ketika aku buat perancangan nak ambil gambar Syakirin untuk pertandingan fotografi kelas tabika dia, zauji terus bawa kami ke Elmina Shah Alam. Aku tak berapa larat nak berjalan sebenarnya, dan tak berkenan ke tempat yang ada orang ramai. Tapi, aku layankan sahaja walaupun tiada buat persediaan pemilihan baju yang kami pakai. Hahaha...


Sekali sekala bergambar macam ni dengan anak. Adakalanya aku mengharapkan Syakirin cepat matang. Banyak hal dah kami lalui berdua dengan masalah masing-masing. Aku dengan trauma aku, dan dia dengan trauma dia.


Berempat. Dapat idea bergambar begini sebab aku tertarik tengok Syakirin asyik pandang sana. Makanya aku ajak semua bergambar begini. Cuma saja Safiyyah ni baru umur setahun lebih, bukan senang nak atur. Dia toleh pula bonda dia yang tengah count timing camera. Hahahaha...


Pada asalnya kami bergambar begini, Safiyyah dalam dukungan. Tapi apabila membelakang, terus tidak kelihatan kewujudan Safiyyah. Kahkahkah... Awal-awal bergambar, aku dan Syakirin pakai face mask lagi. Selepas tu aku cabut saja sebab tak seronok pula dalam gambar tu kami berdua sahaja pakai pelitup muka. Lagi pula kami berjarak dengan orang lain. Aku rimas berada di tempat yang ramai.


Bonda layan si abang, abi layan si adik.


Dah habis satu tempat, cari lokasi lain pula nak bergambar.


Kami sampai lokasi yang tular ni dah tengah hari. Panas terik. Tak larat berlama-lama. Lepas puas ambil gambar, terus balik rumah. Penat.


 

Nak ambil gambar dengan anak ni, bonda tak boleh nak diam sekadar kira one, two, three. Habis kena jerit suruh anak fokus, tengok kamera, senyum. Yang abang ke, yang adik ke, sama saja tidak mudah diatur. Tapi alhamdulillah puas hati juga ada gambar kenangan.

#nathirah
Baca penuh >>

Selasa, 15 Disember 2020

Berat Nak Bangkit

Aku ada draf hantaran baru, tapi belum siap. Aku tak tahu kenapa badan aku rasa berat sangat nak ke laptop. Ini pun aku tulis hantaran ni menggunakan telefon pintar.

Siang macam biasa uruskan anak-anak, menghadap tingkah laku anak-anak, pergaduhan anak-anak. Nak masak lagi. Waktu malam ada bantuan dari zauji, cuma untuk tidurkan si bongsu perlu juga aku susukan.

Bermula ketika menyusukan anak itulah badan aku rasa berat sangat, macam nak melekat sahaja di tilam. Entahlah. Aku rasa penat yang aku sendiri tak tahu apa. Rasa lemah, rasa tak bermaya, rasa tak larat segala-galanya.

Aku perasan kebelakangan ini dah ada tanda-tanda aku nak masuk fasa depress. Aku cuba elak, tapi hakikatnya aku sendiri perlu juga validate perasaan tu. Menghadap la fasa ini buat sementara waktu. Cuma harapannya aku terus kuat untuk melaksanakan beberapa hal berkaitan anak.

Mencoret melalui tinta digital ini sekadar ingin meluahkan rasa, dengan harapan berkuranglah beban tanggungan yang memberat.

#nathirah
Bipolar Survivor
Baca penuh >>

Jumaat, 11 Disember 2020

Ulang Tahun Kelahiran ke 27 Tahun

9 Disember 2020. Alhamdulillah usia meningkat ke 27 tahun. Dah jadi bonda kepada sepasang anak. Tahun lepas tak terasa sangat hari lahir sebab menjaga orang sakit di rumah. Sampai tahap terlupa tarikh lahir sendiri. Hahahaha... Tahun ni rancang sambut biasa-biasa sahaja, beli kek makan dengan anak-anak di rumah. Tambahan pula musim pandemik Covid-19 ini, seeloknya makan di rumah berbanding makan di kedai.

Pagi-pagi dah dapat ucapan hari lahir dari ibu yang buat aku terharu.

Sempena hari lahir aku ni, zauji buat kejutan tempahan kek dengan warna kegemaran aku kuning, dan ada anime kegemaran aku Detective Conan. Aku tahu dia tempah kek, tapi aku tak tahu dia tempah kek apa, sebab dia nak rahsiakan. Siap delete conversation dengan pembuat kek lagi. Katanya nak aku surprise, tapi aku rasa macam, kurang la surprise-nya lepas dia dah cakap macam tu. Kahkahkah...


Cantik. Aku suka sangat. Zauji cerita, dia ada request kat akak pembuat kek tu untuk letakkan gambar Conan Edogawa dan Ai Haibara, sebab dia tahu aku minat dua watak ni. Benda bukan senang nak dapat kan, dapat lah Conan sahaja. Yang tulisan 'My Princess' tu pada asalnya zauji minta tulis 'Selamat Hari Lahir Puteri'. Tapi agaknya akak tu salah faham, tak tahu 'Puteri' yang zauji maksudkan tu nama aku, bukan gelaran ala-ala 'Princess'. Maka tertulislah 'My Princess' selepas kena pacak 'Happy Birthday' tu. Aku tak kisah pun sebab awalnya aku memang tak tahu apa-apa. Selepas habis makan baharulah zauji cerita pada aku. Namun, aku tetap suka kek tu atas usaha zauji nak gembirakan aku.

Ibu pula order dan poskan hadiah terus ke rumah aku, purse hitam, dan keychain Detective Conan juga. Dapat stiker sekali weyh. Hahaha... Aku pula termalu sendiri lepas terima barang. Selama ini beli sendiri sahaja, tak sangka ibu hadiahkan.


Dalam gambar nampak macam besar pula purse tu. Aku letak betul-betul depan kamera semasa bergambar. Yang sebetulnya tidaklah besar sangat. Lebih kurang besar telefon pintar sahaja. Yang ni boleh muat letak telefon pintar di dalam.

Terima kasih pada zauji dan keluarga yang sentiasa berusaha memberi sinar kegembiraan buat Puteri. Terima kasih juga buat semua yang beri ucapan Hari Lahir. Semoga kita semua sentiasa berada dalam keberkatan dan terhindar dari perkara-perkara yang buruk. Aamiin...

Nah, aku kongsi gambar-gambar kami sambut hari lahir aku pada 9 Disember 2020!

Gambar berempat. Dah malas nak susun-susun bagi center.
Panggil dorang lekas-lekas ambil tempat ja nak bergambar

Gambar dengan zauji, gambar dengan anak-anak.

Siapa yang birthday ni? Hahahahaha...


Syakirin yang tak sabar nak potong kek. Layankan saja la.


Zauji tempah kek coklat sebab aku ni tak berapa pandai kek perisa lain.


Malam tu zauji tak nak aku masak. Dia order MarryBrown di GrabFood.


Sekian sahaja perkongsian dari aku mengenai Hari Lahir aku. Terima kasih sudi membaca.

#nathirah
Siti Puteri Rawija
N Athirah Al-Labuani
Baca penuh >>

Isnin, 7 Disember 2020

Selalu Tinggalkan Blog

Dah lama sangat, aku selalu tinggal-tinggalkan blog ni. Kalau blog ni barang, dah berhabuk tebal bersawang-sawang dah. Hahahahhaa...

Kadang-kadang dalam kepala otak ni, banyak saja nak 'meroyan'. Tapi hendak menaip di blog sepertinya tidak menyempat-nyempat. Apa boleh buat kan.

Sesekali aku jengah juga blog ni. Rindu... Kadang-kadang tengok statistik pelawat yang datang ke blog ni. Masih ada yang sudi menjengah. Entah memang pembaca blog ni atau hanya pelawat luar yang singgah berdasarkan hasil carian.

InsyaAllah aku nak susun-susun apa yang perlu di blog ni. Macam-macam bersepah. Ada pula hantaran yang aku dah tak berkenan terpapar dalam blog ni. Kahkahkah. Nantilah bila-bila sempat. 

Sejak jadi bonda, anak pun dah ada dua ni, dah tak senang nak dating dengan komputer riba lama-lama. Nak update post guna telefon pintar ni agak kurang puas. Ruang suntingan terhad. Tunggu anak-anak semua tidur, aku pun turut mengantuk sama. Ini pun menaip guna telefon pintar sebab tiba-tiba rasa nak menaip. Sekejap lagi nak tidur lah ni. Sekadar menambah hantaran baru di blog yang sunyi ini.

Terima kasih buat yang sudi membaca. Aku berharap akan ada hantaran baru di blog ini lagi nanti. Sejak zaman sekolah, blog ini dah jadi tempat aku release segala jenis tekanan. Coping mechanism kot istilahnya. Mungkin sebab itu aku mampu bertahan walau tanda-tanda depresi dah ada sejak zaman sekolah. Sejak sambung pengajian diploma, aku mula berenggang dengan blog. Ketika itulah permulaan sakit aku semakin teruk, berterusan sehingga kini.

Aku sejenis kalau ada apa-apa perkara terlintas di kepala, mula lah nak bersembang, nak bercerita. Macam ketika aku sedang menaip ini lah. Akan tetapi, sukar nak ada teman untuk aku bersembang panjang, yang kadang-kadang aku melalut sambung menyambung pelbagai topik. Inilah keperluan blog pada aku sebenarnya. Kerana itu aku berharap aku dapat kembali membuat hantaran di blog ini, sebagai tempat aku bercerita.

#nathirah
Bipolar Survivor
Baca penuh >>