Jumaat, 9 Julai 2021

Cerpen: SENSOR

"Hai, selamat datang!"

Begitulah bunyi dari loceng sensor setiap kali ada sesiapa melalui alat tersebut.

Haba yang dikesan akan memberi signal kepada sensor menandakan ada orang di situ. Memudahkan sesiapa yang berada di dalam rumah mengetahui kehadiran seseorang yang memasuki pintu rumah.

Ayah beli dua biji sensor. Salah satunya diletakkan di bahagian dalam rumah sebelah pintu utama, manakala satu lagi di garaj sisi rumah. Sensor di garaj itu ayah letak rendah, paras betis, mungkin untuk mengesan dan menakutkan kucing atau monyet yang datang.

Namun begitu, pernahkah terfikir, tatkala sensor itu berbunyi tanpa henti mengucapkan selamat datang, tetapi tidak kelihatan sesiapa pun berada berhampiran sensor tersebut.

Pada malam hari, setelah semua penghuni rumah berada di dalam bilik masing-masing untuk tidur, ibu memeriksa ruang tamu. Lampu dan kipas masih terpasang, segera ibu tutup.

Ketika ibu berlalu hendak ke bilik, tiba-tiba sensor yang sejak awal senyap, berbunyi. "Hai, selamat datang!"

Ibu menoleh, mata ibu melilau ke sekitar ruang tamu. Tiada angin. Putaran kipas mulai berhenti. Gelap. Tiada sesiapa melainkan ibu.

Pintu rumah bertutup. Kedudukan ibu berjarak tiga meter dari pintu rumah dan loceng sensor. Mustahil sensor itu mampu mengesan kehadiran ibu dengan jarak itu.

Malah, kedudukan suis kipas dan lampu juga tidak jauh dari pintu rumah. Sensor itu tidak berbunyi ketika ibu memetik suis, kerana sensor hanya mengesan kehadiran orang yang benar-benar berdiri atau melalui bingkai pintu rumah.

"Hai, selamat datang!"

Ibu memutarkan badan, tidak menghiraukan bunyi sensor yang berulang. Segera meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilik.

Pada waktu yang lain, di petang hari. Adik bongsu yang berusia tujuh tahun bermain di ruang tamu, sendirian. Pintu rumah dibiar terbuka, agar angin yang masuk dapat mengurangkan rasa bahang di dalam rumah.

"Hai, selamat datang!" Loceng sensor berbunyi lagi. Berulang kali, tidak berhenti. 

Tiada sesiapa yang berada di pintu rumah. Adik masih bermain di ruang tamu tanpa menghiraukan bunyi sensor itu. Dia mulai bermain lari-lari seorang diri.

Entah kali yang ke berapa sensor itu berbunyi, adik berlari ke pintu rumah dengan tangan kanannya membuat aksi seperti menangkap sesuatu.

Sensor yang bising sejak tadi tiba-tiba berhenti. Adik terus menyambung larian kecilnya menuju ke bilik ibu bersama genggaman tangan yang tidak dilepas.

"Kenapa ni tangan begini?" Soal ibu setelah melihat tangan kanan adik yang digenggam erat.

"Sshhh... jangan bising. Ada hantu," bisik adik.

Ibu yang terkejut mendengar jawapan adik segera bertanya, "Ada rasa apa di tangan?"

"Rasa sejuk-sejuk."

"Dah. Pergi buang cepat. Jangan pegang lama-lama."

Mendengar gesaan ibu, adik segera berlari ke pintu ruang tamu, melepaskan genggamannya ke luar rumah.

Pada waktu cuti semester universiti, aku pulang ke rumah. Itulah kali pertama aku disapa oleh loceng sensor di garaj. Aku terlompat hampir jatuh kerana terkejut.

"Eh, lama sudah tidak berbunyi ni! Kena sangka sudah habis bateri." Tegur ibu.

Aku malas memikirkan segala kemungkinan. Mungkin sahaja selama ini sensor itu tersumbat, fikirku.

Ketika kami duduk di ruang tamu rancak bersembang anak-beranak, sensor di garaj berbunyi lagi. Aku tidak hiraukan kerana menyangka ada kucing di sana. Namun, kali ketiga suara sensor itu kedengaran, ibu berdiri meninjau ke luar tingkap.

"Ha, main-main lagi kamu! Ada karang kena marah lagi. Pergi sana jauh-jauh, jangan datang sini." Bebel ibu.

"Apa tu?" Tanyaku.

"Tiada apa-apa di sana. Adalah tu yang datang bermain."

"Oh, kakak sangka kucing!" 

"Bukan. Ada yang halus. Sebelum ni sensor tu selalu bising macam ada yang melintas, tapi tiada apa-apa. Lama sudah senyap selepas ayah marah-marah hari tu. Ini selepas kakak balik, tiba-tiba ada lagi."

Aku tersentak. Ibu bercerita mengenai gangguan pada loceng sensor yang telah berlaku sebelum itu. Aku mendengar dalam keadaan mindaku menerawang memikirkan gangguan yang datang kembali setelah aku pulang bercuti.

Oleh: N Athirah Al-Labuani 

#nathirah

Cerpen Misteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...