Isnin, 28 Disember 2009

Mrdaha End Year Contest: KERANA SI HITAM

Contest lagi? Mrdaha End Year 2009 Contest! ini aku dapat dari blog Mrdaha. Contest ni akan berakhir pada 30 Disember 2009. So, sesiapa yang rajin nak join contest ni, cepat-cepatlah join. Click saja pada link yang aku dah sediakan tu. :-)


Cerpen santai: KERANA SI HITAM
Karya: N Athirah

Aku duduk di beranda rumah. Fikiranku berserabut. Aku baru sahaja lepas bertengkar dengan sahabatku tiga malam yang lepas melalui sms. Terasa tertekan apabila terkenang kembali pertengkaran kami itu. Sejak pertengkaran kami itu, aku langsung tidak melayan mesej yang dihantarnya. Perasaan marahku masih lagi bersisa di dalam diri.

Waktu petang ini aku berasa bosan. Telefon bimbitku sentiasa berada bersamaku. Untuk apa aku membawa telefon bimbit ini ke sana ke mari walaupun berada di rumah? Mesej daripada siapa aku tunggu? Panggilan daripada siapa aku nantikan? Pada waktu petang begini, biasanya aku akan setia menunggu mesej daripada sahabatku. Kami kerap berbalas sms. Tetapi, semenjak pertengkaran itu, kami tidak lagi saling berhubung. Aku kini sudah tidak punya teman. Terasa kesunyian.

Ketika aku dalam kebosanan itulah aku terpandang seekor anak kucing berbulu kelabu-kelabu hitam persis anak kucingku yang telah mati dilanggar kereta lebih kurang enam atau tujuh tahun yang lalu. Anak kucing itu bermain-main sendirian di taman berhadapan dengan rumah aku. Anak kucing siapakah itu? Bukan juga anak kucing jiran aku. Aku berjalan menghampiri anak kucing itu. Betul-betul mirip dengan anak kucing aku yang dulu. Anak kucing jantan juga. Rindunya aku dengan anak kucing ku yang dulu tu.

Aku angkat anak kucing itu, jinak. Tengah leka bermain-main dengan anak kucing itu, tanpa kusedari ada seseorang datang menghampiriku. Aku menoleh, berdiri seorang remaja lelaki lebih kurang sebaya denganku. Siapa lelaki ni? "Err... nak panggil apa ae?" Dia menggarukan kepalanya.

Peliklah dengan lelaki ni. Nak menguratkah dia? "Awak ada nak minta tolongkah?" Tanyaku.

"Awak? Eh, aku tak biasa la guna perkataan tu. Hehehe... Guna 'aku kau' boleh tak?" Katanya.

Erk! Tadi susah sangat nak bercakap. Peliklah budak ni. "Err... ada yang nak aku tolong?" Tanyaku lagi.

"Sebenarnya saja nak berkenalan. Aku tengok kau asyik sangat main dengan kucing ni tadi. Kau jumpa kucing ni kat mana?" Katanya.

Aik? Dia ni peramah juga rupanya. Tadi susah-susah nak bersuara. "Aku nampak kucing ni main sendirian kat taman ni. Kucing ni jinak, jadi aku suka main-main dengan kucing ni," beritahuku.

"Kucing ni sebenarnya kucing aku. Tadi kucing ni terlepas keluar dari pagar. Aku risau kucing ni kena makan anjing. Nasib baik kucing ni selamat," katanya.

Kucing dia rupanya. Tak ada harapan aku nak pelihara kucing ni. "Aku Hazim. Selamat berkenalan," dia senyum kepadaku. Aku membalas senyuman itu.

"Panggil aku Ira," jawabku.

"Kucing ni namanya Si Hitam. Kalau kau suka, kau boleh pelihara. Nanti aku bolehlah sekali-sekala jenguk kucing ni sambil jumpa kau," dia tersengih. Macam dia tahu saja apa yang sedang aku fikirkan waktu ni. Dah diberi lampu hijau tu, tentulah aku setuju.

Sejak petang itu, kami mulai akrab sehinggakan aku hampir terlupa dengan pertengkaran aku dengan sahabatku tempoh hari. "Ira, teman lelaki kau kah ni? Patutlah kau tak layan aku lagi sekarang, dah ada teman lelaki rupanya." Tersembur keluar air yang baru kuminum dari botol airku sebentar tadi. Tepat-tepat mengenai Kamal yang berada di hadapan aku waktu itu.

"Hei, basah baju aku!" Alamak, dahlah Kamal ni pemarah, air ni tersembur kat dia pula. Hazim kat sebelah aku ni pula asyik nak ketawakan orang saja. Si Hairul ni pun satu, kalau nak serbu aku tu, janganlah waktu aku tengah minum.

"Sorry Kamal, aku tak sengaja," lebih baik aku minta maaf dulu sebelum aku bercakap dengan Hairul tu.

"Kenapa dengan kau ni Hairul? Kau sendiri juga yang minta kat aku hari tu supaya tak balas mesej kau lagi. Senang-senang saja kau nak tinggalkan aku dengan masalah aku sendirian. Kau tak bantu aku pun. Sekarang bila aku dapat kawan lain, kau marah-marah pula," aku membentak.

"Dah kau hari tu nak marah-marah. Aku bukannya suka kau marah-marah tu," balasnya.

"Aku sekadar tegur kau sajalah. Kau tu yang selalu salah sangka. Selama ni, betapa pedih sekali pun teguran kau kat aku, aku tak pernah kisah pun. Kenapa bila aku tegur kau sikit, kau buat aku sedih pula? Tertekan aku hanya kerana hal itu tau," kataku.

Hazim yang melihat pertengkaran kami itu segera menyampuk. Sebelum ini aku sememangnya pernah menceritakan apa yang berlaku di antara aku dan Hairul. Cuma waktu tu Hazim tidak mengenali siapa Hairul. "Hairul, Ira, kamu berdua ni kawan karib. Kan tak elok bertengkar macam ni. Selesaikanlah elok-elok," kata Hazim. "Hairul, aku dengan Ira cuma kawan. Dan aku tidak pernah terfikir untuk memutuskan tali persahabatan kamu. Kau masih boleh berkawan dengan dia. Tapi, janganlah biar pertengkaran kamu ini berlanjutan," katanya lagi. "Ira, kau janganlah ikutkan perasaan kau tu. Aku dah berulang-kali beritahu kau, sahabat yang telah ditemui itu jangan disia-siakan. Jika sahabat itu melakukan kesalahan, maafkanlah dia. Jika kamu bertengkar dengan sahabat itu, segeralah selesaikannya. Bukannya terus-terusan bergaduh macam ni," giliran aku pula ditegur oleh Hazim. Hazim begitu memahami. Dia tidak pernah mementingkan dirinya sendiri. Sebarang silap aku pasti akan ditegurnya. Selama ini, dia selalu menasihati aku agar aku tidak lagi membiarkan pergaduhan antara aku dan Hairul berterusan. Cuma aku sahaja yang berdegil.

Akhirnya aku dan Hairul akur. Kami saling meminta maaf. Memang salah aku juga yang hanya memikirkan tentang diri sendiri tanpa mengendahkan sahabatku itu.

"Kamu berdua baguslah, happy ending. Aku pula, kena sembur air," kata Kamal. Berderai suara ketawa kami mendengar kata-katanya itu.

Aku dan Hairul telah lama mengenali Kamal. Tidak pula kusangka Hazim pun kawan Kamal juga. Aku mengetahui akan hal itu pun setelah aku dan Hazim akrab. Kamal dan Hazim setahun lebih tua daripada aku dan Hairul. Aku dan Hazim sering bertemu di taman ini, tempat kali pertama kami bertemu dan berkenalan. Ketika itu, aku akan membawa Si Hitam bermain bersama. Hazim amat menyayangi Si Hitam. Begitu juga aku. Tetapi Hazim benar-benar bersifat pemurah. Dia memberikan Si Hitam itu kepadaku untuk dipelihara. Kami sama-sama menjaga Si Hitam. Hazim sendiri yang akan membelikan makanan untuk Si Hitam. Dia tidak pernah menyusahkan aku untuk menjaga anak kucing kesayangan kami itu. Setiap kali pertemuan aku dan Hazim di taman itulah akhirnya aku mengetahui persahabatan di antara Kamal dan Hazim. Ini kerana Hazim pernah membawa Kamal untuk menemui aku di taman ini.

Kamal mempunyai sikap mudah marah. Sejak dua tahun yang lalu lagi kami sering bertengkar. Kadang-kala kerana hal kecil pun mudah berlaku pertengkaran di antara kami. Tetapi, semenjak aku dan Hazim akrab, aku dan Kamal jarang bertengkar. Keadaan inilah yang telah sekian lama aku harapkan. Namun, ianya termakbul pada hari-hari yang semakin menghampiri tahun baru. Apabila tahun baru menjelma, aku dan Kamal tidak lagi berada di sekolah yang sama kerana Kamal telah pun menamatkan tingkatan limanya pada tahun ini. Pada tahun baru nanti aku akan menghadapi SPM. Dan pada ketika itu, mungkin aku, Hazim dan Kamal sudah jarang untuk berjumpa seperti sekarang. Dan Si Hitam akan terus berada di bawah jagaanku.

"Hazim, tak sangka kerana Si Hitam kau ni, aku dan Ira jarang bergaduh macam dulu," Kamal tersengih selepas meluahkan kata-katanya itu.

"Aku juga tak sangka kerana Si Hitam ni aku akan berkenalan dengan dia. Kalau aku tak berkenalan dengan Ira, confirm kamu masih selalu bergaduh," kata Hazim.

"Macammana nak selalu bergaduh kalau dah susah nak jumpa," aku berseloroh.

"Kerana Si Hitam rupanya. Maksudnya, aku dan Ira berbaik semula kerana Si Hitam ni jugalah. Bagusnya Si Hitam," kata Hairul pula.

"Semua ini pun ketentuan Allah juga. Si Hitam hanya perantaraan dari-Nya sahaja. Rahmat menjelang tahun baru," kata Hazim.

Benar kata-katanya itu. Aku tersenyum. Si Hitam kupeluk. Terasa sayang untuk mengabaikannya. Aku berharap persahabatan kami ini berkekalan. Syukran jazilan ya Allah. Terima kasih Si Hitam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...