Selasa, 5 Mei 2009

Kelas Banjir

5 Mei 2009 Masihi (Selasa)
10 Jamadilawal 1430 Hijriah

Imbas kembali:
Semalam, 4 Mei, pelajar kelas 4 Hibiscus yang berada di aras 2 blok Begonia sebaris dengan Bilik Guru, Kelas 4 Lavandula dan kelas 2 Chrysanthemum sedikit gempar dengan penemuan kaki ayam tanpa pasangan kakinya dan badannya berhampiran meja guru 4HBS. Kaki ayam tersebut terdapat darah beku. Yang menghairankan, bagaimana boleh terdapat kaki ayam tersebut di dalam kelas 4HBS...? Kaki ayam itu kemudiannya dibuang oleh pelajar yang bertugas menyapu sampah pada pagi itu.

Misteri itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Selepas waktu rehat ialah matapelajaran Bahasa Arab Tinggi / Pedagangan. Matapelajaran Pedangan tiada guru dan pelajarnya hanya duduk di dalam kelas. Pelajar Bahasa Arab Tinggi seperti biasa tidak akan berada di dalam kelas. Pelajaran BAT pada hari itu belajar di Bilik Kendiri (SAL). Masa matapelajaran BAT/PD itu, 3 orang pelajar PD (Firdaus, Raihanie & Azrina) terdengar bunyi pelik di bahagian belakang kelas. Mereka terdengar bunyi kocakan air seperti ikan yang berada di air cetek. Tetapi, mereka tidak nampak apa-apa di bahagian belakang kelas punca bunyi itu (puncanya di meja guru yang lama yang hanya digunakan sebagai tempat meletak peralatan menghias kelas). Misteri itu tidak terjawab pada hari persekolahan semalam.

Hari ini, 5 Mei, sekali lagi timbul kemisterian di minda pelajar kelas 4 Hibiscus kerana terdapat bau yang tidak menyenangkan di belakang kelas. Bau tersebut tidak dikenal pasti bau apa... tetapi bagaikan bau bangkai. Tetapi, tidak ada tanda-tanda terdapat bangkai di bahagian belakang kelas.

Matapelajaran pertama kelas 4HBS pada pagi itu ialah Pen. Syariah Islamiah. Pada ketika pembelajaran hendak dimulakan, tiba-tiba kelas menjadi gempar kerana di kawasan sebelah kiri kelas terdapat ulat (ulat yang berpunca dari telur lalat). Pada mulanya hanya terdapat seekor. Tiba-tiba ulat itu bertambah banyak. Kemudiannya, Ustazah Faizah membantu menyiasat punca datang ulat tersebut berpandukan bau bangkai di bahagian belakang kelas. Meja guru di bahagian belakang kelas itu di alihkan sedikit untuk melihat apa yang ada di belakangnya. Kelas bertambah gempar apabila menemui bangkai yang tidak dapat dikenal pasti binatang apa. Perut bangkai tersebut sudah pecah dan ulat-ulat berebut-rebut keluar. Kelihatan seperti spesis burung. Ada andaian mengatakan burung, dan tidak kurang juga membuat andaian bahawa bangkai tersebut ialah bangkau ayam berpandukan pada kaki ayam yang ditemui semalam.

Selepas bangkai tersebut ditemukan, kelas 4HBS dipenuhi dengan bau yang kuat dan busuk itu. Disebabkan tidak dapat bertahan lama, pelajar-pelajarnya keluar dari kelas dan berkumpul di koridor kelas. Awal pagi itu, pelajar dan ustazah Faizah bertungkus-lumus membersihkan kelas, membuang bangkai dan ulat-ulat yang banyak di bahagian kiri kelas dari belakang hingga ke meja guru, dan mencuci bahagian belakang dan hadapan kelas. Beberapa orang guru dan pelajar yang melihat apa yang kami lakukan berasa hairan dan bertanya. Masa matapelajara Pen. Syariah Islamiah bertukar menjadi masa mencuci kelas. Pada mulanya air di ambil dari paip hadapan Bengkel Kemahiran Hidup Bersepadu di blok Camelia tingkat bawah (ini disebabkan tidak ada air di dalam tandas). Kemudiannya, selepas Suhaimi yang merupakan ahli Bomba mencadangkan menggunakan hos bomba, dan aku (N Athirah) memberitahu Suhaimi bahawa terdapat hos bomba di luar kelas 4HBS, kami segera menggunakan hos tersebut. Mujurlah hos bomba itu ada airnya.

Selepas kerja-kerja membersihkan kelas selesai, kami kembali semula ke dalam kelas dan memanfaatkan masa yang tinggal sedikit itu untuk belajar matapelajaran PSI. Tetapi, sebelum pelajaran dimulakan, kami - pelajar-pelajar yang duduk di bahagian tengah kelas sekali lagi gempar kerana terdapat ulat di kawasan kami. Bahagian tengah kelas tidak dicuci kerana kebanyakan mereka memberi alasan terdapat meja dan kerusi. Ustazah mencadangkan kami pijak saja ulat-ulat yang dijumpai kerana jumlahnya tidak terlalu banyak. Selepas itu, barulah kami memulakan pembelajaran. Ketika belajar, aku, Azrina, Syafawati, dan Shahira (kami berempat duduk di dalam satu barisan meja melintang) duduk bersila di atas kerusi. Kasut kami diletakkan di bawah kecuali Azrina. Dia tidak berani membuka kasut kerana perasaan geli dan takutnya pada ulat. Kasutku pula diletakkan di atas kayu bersilang di tepi sebelah kanan meja (kayu melintang di bawah tengah-tengah meja aku tidak ada). Syafawati pula meletakkan kasutnya di bahagian tengah-tengah sebelah kiri pada kayu bersilang tersebut. Manakala Shahira hanya meletakkan kasutnya di lantai kerana kawasannya tidak didatangi ulat. (Entah pembaca faham atau tidak ni...)

Keadaan itu berterusan sehingga kami tidak menjumpai ulat yang berkeliaran dan sudah mula lupa dengan kejadian didatangi ulat tersebut. Semoga tidak ada lagi kejadian yang menggemparkan dan misteri pada hari esok. Walaubagaimanapun, kami masih tertanya-tanya bagaimana boleh terdapat bangkai binatang tersebut di dalam kelas. Terhimpit di belakang meja guru lama pula tu. Wallahualam...


Daripada: N Athirah, Pengawas Tingkatan 4 Hibiscus, SMK Mutiara, W.P Labuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...