Sabtu, 12 September 2009

Semoga Perkasa Didampingi Rahmat Allah Di Sana...

Semalam, 11 September 2009 (Jumaat), aku menerima satu berita sedih daripada seorang rakan... Perkasa Bahadir, 16 tahun, bersekolah di SMK Labuan, W.P Labuan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 September 2009 bersamaan 21 Ramadhan 1430 Hijriah.
Berikut adalah berita daripada blog 3 Kreatif SMK Labuan 2009 pada 11 September 2009:

Takziah kepada warga SMK Labuan

AL-FATIHAH kepada seorang pelajar SMK Labuan, Perkasa dari kelas 4A kerana telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi Jumaat, 11 September 2009 b'samaan 21 Ramadhan 1430 Hijrah.

Arwah mengalami kemalangan jalan raya akibat kena langgar motor yang seterusnya mengakibatkan severe head injury yang memberikan simptom seperti koma. (arwah koma selama dua hari sebelum kembali ke rahmatullah pagi tadi).

Ada sumber yang mengatakan bahawa arwah kemalangan semasa mahu ke masjid untuk berbuka puasa. (tak tau la betul ka tak). Ada juga sumber lain yang cakap lain-lain la. *hanya dia dan Allah yang mengetahui sejauh mana kebenarannya.

Jom ramai-ramai sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa. Ya Allah, peliharalah dia dari seksa kubur, dan jauhkanlah dia dari bahang kepanasan api neraka. AMIN. AL-FATIHAH.



Berikut pula ialah kata-kata guru sekolah arwah:

"Cikgu selalu panggil budak ni sebab tau aja la dia suka sangat berfesyen.. satu hari tu cikgu panggil lagi (cikgu kan guru PDG), tertarik tengok beg sekolah dia... rupanya apa je hiasan yang ada dekat baju, beg, kasut dia tu, dia jahit sendiri!
So, cikgu cakap "kamu ni Perkasa, kreatif.. belajar rajin-rajin nanti jadi Fashion Designer"... Dia seronok sesangat sambil cakap, "terima kasih cikgu... cikgu orang pertama yang puji saya..." (pasal time tu tak larat nak tegur dah sebab sebelum ni banyak kali cikgu tegur pakaian dia tu).. bila dengar ni.. rasa macam ralat* jugak sebab dia cakap dia memang nak jadi fashion designer masa depan.. tapi ajal.. kan.... hmm" - Puan Noritah.

"Paling aku suka tengok semangat seorang anak aku ni si Perkasa Bahadir.. nama Perkasa tu.. power betul haha. Aku nampak dia ikhlas dan berharap nak belajar mengaji.." - Ustazah Jamaliah.



Banyak kenangan yang arwah tinggalkan. Arwah pergi secara mengejut tanpa meninggalkan sebarang pesan. Yang tinggal kini hanyalah kenangan di jiwa insan-insan yang mengenalinya. Semoga arwah Perkasa sentiasa didampingi rahmat Allah di sana...

Berita ini pertama kali aku terima daripada Nurazrinah melalui pesanan ringkas telefon bimbit. Pada mulanya aku hampir tidak percaya. Tetapi, apabila membaca berita sebenar di blog pelajar SMK Labuan, barulah aku percaya. Sesuatu hakikat itu terpaksa juga diterima walaupun ianya pahit.

Walaupun aku melihat wajah Azrinah kelihatan seperti wajah cerianya yang biasa, tetapi, di sebalik wajahnya itu tersembunyi kesedihan. Banyak kenangan dia bersama arwah (yang dipanggilnya dengan panggilan 'Kasa') terutamanya ketika kem Rakan Muda Jiran Muda (RMJM) di Karambunai, Sabah tempoh hari. Azrinah betul-betul shock selepas menerima berita tersebut. Aku sendiri, apabila mendapati kebenaran berita ini, wajah arwah sering terbayang di ruang mata.

Arwah seorang yang memiliki sikap bertanggungjawab. Sepanjang kem RMJM, dialah yang selalu menjaga Azrinah. Azrinah pernah bercerita kepadaku, ketika kem RMJM, Perkasa pernah merajuk kerana tidak dibenarkan melaungkan azan sebelum menunaikan solat. Hal ini disebabkan rambutnya yang diwarnakannya pada ketika itu.

Aku harap Azrinah dapat bersabar setelah menerima berita yang mengejutkan itu. Selain hanya kenangan yang tinggal bersamanya, juga ditinggalkan sebuah beg milik arwah yang arwah berikan kepada Azrinah. Beg itulah yang dibawa oleh Azrinah ke sekolah setiap hari. Hmm... Macam-macam lagi kenangan mereka yang mengenali diri arwah.

Kenangan kini hanya tinggal kenangan. Marilah kita sama-sama mendoakan kebahagiaan arwah di sana. Semoga arwah pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang aman dan tenang...

By: N Athirah
Rujukan: Takziah kepada warga SMK Labuan
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka:
* ralat:
kesal atau tidak sedap hati (kerana tidak dapat menunaikan hajat dll).

1 ulasan:

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...