N Athirah @ Siti Puteri Rawija: 2015

Jumaat, 20 Mac 2015

Blog berwajah baru lagi ~ 2015

Assalamu'alaikum dan Salam Jumaat buat reader semua.

Berkurun lamanya aku tak menulis sembang-sembang dalam blog yang dah lama bernyawa tapi tak hidup. Lama rasanya blog ni tidur, baru sekarang nak bangun. Aisyyy... Ayat pun mau penuh simbolik.

Ini lah blog kisah aku. Sejak mula menulis di zaman sekolah menengah, sangat aktif. Ada sahaja yang hendak diceritakan. Kalau aku imbas semula kisah-kisah zaman sekolah, mana yang mencuit hati, mana yang menimbulkan rasa marah, kisah duka pun ada... terasa rindu pula. Mana-mana yang aku dah lupa, semua terimbau kembali. Tapi start aku masuk kolej, blogging pun dah tak aktif. Kisah-kisah yang ada dimuatkan pun sedikit. Boleh dikira dalam tempoh 3 tahun aku belajar di Selangor International Islamic University College, ada beberapa ja posting aku dalam ni. Selepas praktikal, mula bekerja sebagai fresh graduate yang tiada pengalaman kerja melainkan semasa latihan industri (praktikal) sahaja (pernah bekerja dalam tempoh tak sampai sebulan semasa cuti semester di Labuan sebagai promoter Shell dan semasa di kolej buat part time di kedai photostate, tetapi masa tu kerja tak serius dan tak profesional macam sekarang). Tapi sepanjang tempoh tu pun tak banyak juga entri yang aku tulis. Mungkin sebab tak banyak masa terluang. Ye la, kalau aku dah start menulis tu, tak suka berhenti di tengah jalan. Kena siapkan sampai publish dulu. Kalau tidak, jadi macam entri-entri aku dalam draft tu la, sampai ke sudah tak publish.

Sekarang ni pula, tup-tup aku dah berumahtangga pula. Header blog pun dah tak sendirian. Hahaha... Tiba-tiba ja kan. Baru-baru ni aku on balik Instagram aku yang dah lama tak digunakan disebabkan condition smartphone aku yang tak berapa nak smart tu, dengan memory yang sangat kecil sehinggakan tak boleh letak banyak application. Dah nak masuk 3 bulan nikah, baru aku post gambar hari pernikahan tu kat insta. Rupa-rupanya ada kawan yang dah lama tak on Facebook ternampak gambar aku tu di insta dan baru tahu aku dah bersuami. Hakhakhakhak... Sedih sungguh. Tapi bila terjumpa kawan-kawan yang aktif kat insta tu, terasa perlu aku guna juga insta aku sebab dah tak ramai yang aktif kat FB.


Berbalik pada wajah baru header blog aku dengan nama "Kembara Puteri Rawija ~ dari Tinta Digital Al-Labuani" beserta caption "Aku menulis kerana cinta...". Siapa Puteri Rawija? Maksud disebalik Kembara Puteri Rawija? Dan maksud disebalik caption tu?

Puteri Rawija tu aku la. Mesti confius kan, sebab nama pena aku 'N Athirah Al-Labuani'. Nama pena tu mewakili nama dan negeri kelahiran aku - Nurfatihah Athirah yang lahir di Labuan. Puteri Rawija tu pun nama aku sejak aku dalam kandungan lagi. Ada la kisah disebaliknya yang menamakan aku Siti Puteri Rawija. Tapi aku gunakan nama Puteri Rawija sahaja sebab aku buat research, nama 'Siti' kurang sesuai diletakkan pada nama manusia. Ada pendapat mengatakan Siti dalam bahasa arab membawa maksud 'nenek'. Tapi pendapat yang kuat bagi aku, nama Siti merupakan nama panggilan untuk wanita yang dah married. Macam panggilan 'puan' la. Yes, aku memang dah kahwin. Tetapi kan agak janggal kalau dalam kad pengenalan tertulis nama contoh, 'Puan Puteri Rawija'. Maksudnya nampak macam tu la. Sebab tu aku gugurkan nama Siti tu, tapi masih diguna-pakai pada nama yang aku letak di Facebook ~ N Athirah Al-Labuani (Siti Puteri Rawija).

Adeih! Berbelit-belit rasanya penerangan aku tu. Tu baru terangkan nama. Untuk 'Kembara Puteri Rawija' tu, lama juga aku fikir-fikirkan untuk letak nama blog ni. Ada lebih sebulan kot. Tapi maksudnya, kisah-kisah yang aku muatkan dalam blog ni adalah kisah aku - Puteri Rawija, dan kembara tu kerana kiranya aku sekarang berada diperantauan. Berasal dari Labuan dan kini berada di Semenanjung Tanah Melayu Malaysia. Kalau kisah zaman dulu-dulu, macam mengembara la tu. Dah oversea antara Labuan dan Semenanjung.

Caption "Aku menulis kerana cinta..." tu berbalik pada diri aku sendiri sebagai penulis. Cinta itu adalah perasaan. Dan apabila aku nak menulis sesuatu tu, mesti lahir dari perasaan aku sendiri. Setiap bait-bait kata tu penuh makna, bukan sekadar coretan sia-sia. Sebab ianya adalah sastera dan aku cinta pada bait-bait sastera tu. ~Ahh... sudah... Agaknya mesti ada pembaca yang bingung baca ayat aku ni.

Akhir sekali "~dari Tinta Digital Al Labuani" yang membawa maksud coretan kisah-kisah dalam blog ni di tulis oleh anak Labuan. Bukan ditulis menggunakan pena nyata. Tapi menggunakan komputer (maya/digital). ~Pena Maya Anak Labuan~

Sekian dulu coretan kali ini. Sampai ketemu lagi di coretan akan datang yang tak tahu bila lagi. Hahahaha...

Wassalamu'alaikum...
Baca penuh >>

Jumaat, 13 Februari 2015

Perginya Sebutir Mutiara Islam #PerginyaTokGuru


Malam tadi kita dikhabarkan akan pemergian Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA). Perginya secara tiba-tiba yang tiada kembali. Sukar untuk dipercaya, namun, mati itu pasti, hidup insyaAllah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 2015, pukul 9.45 malam, di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Kelantan dibawa pulang ke rumahnya di Pulau Melaka kira-kira 8.55 malam tadi selepas berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 19 Januari lalu kerana kanser prostat.

Beliau dilihat diusung dengan menggunakan katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bantuan oksigen.

Difahamkan TGNA keluar daripada wad di HUSM Kubang Kerian kira-kira 8.40 malam.

Kelihatan orang ramai mula membanjiri perkarangan kediaman sejak 8 malam tadi.

-sumber berita

Pemergian seorang ulama yang ditangisi oleh ramai manusia. Perginya pada malam Jumaat yang penuh berkat. Semoga perjalanannya tenang menemui Ilahi yang dirindu. Redhakan pemergiannya, redhakan perjalanannya. Biarkan dia berehat dengan tenang dari perjuangan ini. Ramai yang tidak sempat menemui beliau, termasuk diri ini. Semoga kita bakal bertemu di Syurga kelak. Aamiin...

Awan Terlebih Dahulu Menangis Kerana Mengetahui Akan Hilangnya Seorang Ulama Hebat...
Bumi Pula Menerima Air Bagi Membersikan Dirinya Untuk Menerima Jasad Seorang Ulama Hebat...
Moga Tenang Roh Beliau Di Sana...

Dari DIA kita datang... Dan kepada-NYA kita kembali...

"Hidupmu berbakti... Pergimu ditangisi"

Innalillahi wa inna ilahi rojiun. Semoga ALLAH mencucuri Rahmat-NYA ke atas roh Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta tempatkan rohnya di Syurga bersama golongan para Anbiya... Amin Allahuma Amin...

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz... Semoga diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian dari-NYA ini...
Nota: Tarikh pemergian Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sama tarikhnya dengan hari Syahidnya Imam Hassan Al-Banna.
☆Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hassan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin.
☆Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.
☆Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut.
☆Walaupun terkena tujuh tembakan, Hassan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam’iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.
☆Setibanya di hospital Qasral ‘Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hassan al-Banna.
☆Pada pukul 12.50 tengah malam, Hassan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.
☆Peristiwa itu berlaku pada tanggal 12 Februari 1949 dan ia telah meninggalkan sejarah hitam serta pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama.
☆Pada tarikh itulah, dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya.
☆Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik pemerintah Mesir pada ketika itu.
Harga sebuah perjuangan...

Jika belum mengenali siapa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.


Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama: Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 10.1.1931
Tempat lahir: Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Pengajian:
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan:
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik:
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah:
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan:
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan:
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan:
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited:
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh:
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mantan Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.
Baca penuh >>