Sabtu, 26 Disember 2009

AKU.. DIA.. & CAMERA

Entri kali ini pula adalah penyertaan untuk Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie. Contest ni dianjurkan bersempena dengan hari lahir empunya blog tu sendiri, Mohd Qardhawi Bin Mohd Yusof pada awal Januari 2010. Nak tahu lebih lanjut mengenai contest ini, click saja pada link kat atas tu, atau pada gambar utama cerpen yang aku sertakan kat bawah ni.


Selamat menghayati cerpen Aku.. Dia.. & Camera ^-^

Karya: N Athirah

Pamandangan di tepi pantai begitu mengasyikkan, terutamanya pada waktu senja sebegini. Seperti biasa aku hanya ditemani camera Nikon D3000 milikku untuk menangkap gambar-gambar pemandangan yang indah ini. Di kawasan sebeginilah tempat aku selalu berada pada setiap waktu senja untuk menyaksikan keindahan mentari yang terbenam di hujung laut sana.

Dalam keasyikkan menyaksikan keindahan senja di tepi pantai itu, tanpa sengaja aku terpandang seseorang yang sedang duduk bersendirian di atas tembok batu di hujung sana. Seorang gadis bertudung. Di dalam hati aku berkira-kira untuk menghampiri gadis itu atau tidak. Kerana perasaan ingin tahu mengapa gadis itu bersendirian di tempat sebegini kala ini, aku nekad menghampirinya. Dia yang menyedari akan kehadiran aku segera menoleh. Aku tersentak, terasa seolah-olah jantungku berhenti berdetak. Gadis di hadapanku ini adalah gadis yang kurindui selama lebih empat tahun setelah kami terputus hubungan ketika melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Kau... kau buat apa kat sini?” Tanyaku, sedikit gementar.

“Dawie?” Aku hanya mengangguk bagi menjawab pertanyaannya itu. “Kau buat apa di sini?” Dia mengembalikan pertanyaanku sebentar tadi.

“Aku sekadar menghayati pemandangan di sini sambil menangkap gambar. Kau pula?”

Dia diam, berpaling ke arah lain. “Sekadar menenangkan fikiran,” jawabnya ringkas.

“Kau menangis? Kau ada masalah?” Tanyaku lagi. Bekas air mata kelihatan di pipinya. Dia hanya menunduk tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

“Kau ada masalah dengan keluarga?” Tanyaku lagi. Dia sekadar menggelengkan kepalanya sahaja. “Dengan kawan-kawan?” Dia menggelengkan kepala lagi. “Di tempat kerja?” Sekali lagi dia menggelengkan kepala. “Kau kecewa kerana lelaki?” Pertanyaanku kali ini menyebabkan dia menoleh ke arahku.

“Aku sudah lama kenal kau. Kau suka pendam kesedihan kau sendiri. Beritahulah aku apa masalah kau sekarang ni. Aku sedia mendengar,” dia tunduk mendengar kata-kataku itu.

“Aku baru lepas putus dengan teman lelaki aku. Alasannya kerana aku tidak menepati ciri-ciri wanita idamannya. Sewaktu bercinta, bersungguh-sungguh dia katakan aku adalah wanita idamannya selama ini. Tapi sekarang, dia mendustai segala kata-katanya itu. Dia kata aku tidak seperti perempuan lain. Dan dia kata aku kelihatan seperti lelaki,” dia menceritakan segala-galanya kepadaku. “Dawie, betulkah aku ni seperti lelaki? Sejak zaman persekolahan lagi ada orang kata aku macam tu. Aku berasa seperti disindir. Betulkah aku ni sebenarnya kelihatan seperti lelaki? Betulkah?” Dia bertanya berulang-ulang kali. Hatiku sedikit terusik.

“Tidak. Kau tidak seperti lelaki. Tidak sama sekali. Kau jangan dengar semua tu. Mata mereka yang berkata sedemikian sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka tidak melihat bahawa kau sebenarnya seorang perempuan. Seorang muslimah yang sentiasa menjaga diri dan auratnya. Mereka tidak pernah nampak semua itu. Mereka hanya menilai kau dari sudut yang tidak benar. Yakinlah padaku, kau adalah seorang perempuan,” aku cuba menyakinkannya.

Ya, sewaktu zaman sekolah menengah dulu, dia pernah beritahu aku bahawa ada orang kata dia tidak seperti perempuan. Mulanya aku berasa hairan. Akhirnya barulah aku tahu kenapa dia dikatakan sebegitu. Sejak kecil lagi dia memiliki lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana kebanyakkan kawan-kawan perempuannya itu hanya berkawan dengannya ketika mereka memerlukan dia sahaja. Dia juga seorang yang bersifat tegas. Sifatnya ini menyebabkan dia tidak mudah terpedaya oleh orang lain. Tetapi di dalam dirinya tetap tersemat kelembutan dan kasih sayang. Mungkin dia dikatakan seperti lelaki kerana dia tidaklah sentiasa bersikap ayu seperti gadis-gadis yang lain, tetapi memang wajar dia bersikap sedemikian. Sebagai muslimah, dia perlu pandai menjaga dirinya dan auratnya sendiri. Menjadi satu dosa baginya jika dia membuat sesuatu yang boleh mendatangkan nafsu lelaki terhadapnya.

“Tetapi, bukan seorang sahaja yang berkata sedemikian...” katanya lagi. Mungkin dia kecewa apabila teman lelakinya sendiri mengatakan sedemikian terhadap dirinya. Sejak zaman persekolahan lagi dia sering dikecewakan sedemikian.

“Aku dah kata jangan dengar apa yang mereka cakap. Walau apa pun yang mereka katakan, kau ingatlah kata-kata aku. Kau tetap seorang gadis di pandangan mataku. Dan kau tetap puteri di hatiku.” Ikhlas aku katakan padanya. Pada mulanya dia masih berasa ragu. Aku terus berusaha menyakinkannya. Tidak lupa juga nasihat berguna untuknya, “selagi kau tak happy, mustahil aku dapat happy,” dia diam mendengar. “Bersabar sajalah. Kau mesti ingat, Allah sentiasa mendampingi orang-orang yang sabar. Ini hanya ujian daripada-NYA untuk menambahkan lagi keimanan di hati manusia,” akhirnya dia tersenyum selepas mendengar kata-kataku itu. Senyuman yang tidak dipaksa-paksa. Itulah senyuman yang aku rindui selama lebih empat tahun ini.

“Dahlah. Tirai malam dah mulai berlabuh ni. Lebih baik kita pulang sekarang,” kata-kataku yang bermadah itu telah membuatkan dia ketawa. Aku tersenyum.

Sejak pertemuan kami senja itu, aku dan dia sudah sering berjumpa. Hubungan kami akrab seperti waktu di sekolah menengah dulu. Dia tidak lagi bersedih seperti waktu aku terserempak dengan dia di tepi pantai senja yang lalu. Walaupun dia mudah mengalirkan air mata tatkala bersedih, tetapi dia juga seorang gadis yang tabah. Sejak dulu lagi dia sentiasa berusaha menyembunyikan kesedihannya di hadapan rakan-rakannya. Ramai yang mengenalinya sebagai gadis yang periang. Namun begitu, tidak kurang juga yang mengatakan dia seorang yang serius. Kadang-kala aku tergelak mendengar orang berkata sedemikian. Dia sememangnya mudah berlaku serius. Dia akan kelihatan ceria tatkala dia benar-benar gembira atau pada masa-masa dia berusaha melupakan kesedihannya.

Aku tidak mahu dia bersedih. Dia sering menyembunyikan kesedihannya sehingga aku mengetahuinya sendiri. Oleh itu, aku ingin sentiasa mengembirakan hatinya. Aku ingin menjaganya, tidak ingin dia dikecewakan lagi oleh orang lain. Keceriaannya adalah kegembiraanku, kedukaannya adalah kesedihanku. Semenjak aku bersama dia, sering bertemu dengannya, dia kerap menemani aku keluar menangkap gambar-gambar pemandangan, tidak kira atas urusan kerja mahupun untuk diri sendiri. Aku senang sering didampinginya.

“Nanti kalau dah siap gambar-gambar tu, macam biasa kau e-mel kat aku ya. Nanti aku edit design gambar terbaru lagi.” Itulah kata-kata yang sering diucapkannya setelah selesai aku membuat tangkapan gambar-gambar yang menarik. Terasa seronok bersama dengannya kerana kami memiliki minat yang sama.

“Kalaulah aku ada DSLR, dapatlah kita ambil gambar sama-sama kan.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya itu. Dia sepertinya telah dapat melupakan kekecewaannya.

Apabila sering bersama dengannya, aku berasa terhibur. Aku tidak pernah berasa letih melayan karenahnya kerana dia tidaklah terlalu cerewet. Malah, aku berasa lebih senang apabila bersama dengannya. Dia tidaklah seperti gadis-gadis lain yang lebih suka berpakaian yang menampakkan keanggunan diri mereka dan tidak kurang juga seperti gadis-gadis yang suka menampakkan bentuk tubuh mereka. Dia lebih suka berpakaian simple, berseluar panjang, baju lengan panjang, dan bertudung. Yang penting baginya adalah menutup auratnya. Adakalanya dia akan mengenakan baju kurung apabila kami bertemu. Aku dapat merasakan ketenangan apabila melihat dirinya.

Namun begitu, kebahagiaan itu sepertinya hanya akan datang sementara. Jantungku terasa bagaikan disentap dengan kasar apabila aku mendapat tahu bahawa aku akan ditukarkan tempat kerja untuk kenaikkan pangkat. Aku gelisah memikirkan hal itu kerana aku tidak ingin berpisah lagi dengan dia. Aku tersepit di antara hendak memilih untuk menerima peluang kerjayaku itu atau memilih untuk melepaskannya. Aku bingung hendak memilih camera ataupun dia. Selama ini aku berusaha bersungguh-sungguh demi cameraku, minatku, kerjayaku. Tetapi, aku juga tidak ingin kehilangan dia yang telah lama aku rindui selama ini.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari dalam laci meja kerjaku. Benda yang ada di dalamnya itu baru sahaja aku beli tiga hari yang lalu. Benda yang ingin kuberikan kepada dia. Dapatkah aku memberikannya? Akankah dia terima pemberianku ini? Jawapan itu hanya akan kuperoleh setelah bertemu dengannya. Tetapi aku bimbang akan jawapan yang bakal aku terima.

Petang itu selepas waktu kerja, aku terus menuju ke tepi pantai tempat kali pertama aku dan dia bertemu setelah sekian lama terpisah. Seperti yang dijanjikan, dia sudah pun berada di sana. Kotak kecil yang aku simpan di laci meja kerjaku itu kini telah pun berada di dalam saku seluarku.

“Kenapa tiba-tiba kau nak jumpa aku di sini? Tidak seperti hari kebiasaannya,” dia bertanya.

Aku teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya itu, bimbang melukakan hatinya. “Aku akan ditukarkan tempat kerja ke luar daerah pada bulan hadapan. Mungkin kita tidak lagi dapat bertemu seperti selalu,” jawabku. Aku melihat reaksinya. Pada mulanya air mukanya kelihatan tenang. Tetapi kemudiannya dia memalingkan wajah ke arah lain. Marahkah dia?

“Tahniah!” Ucapnya sepatah. Aku berasa ragu-ragu dengan ucapan itu. Perlahan-lahan aku berjalan menghadap dirinya. Matanya berkaca. “Terima kasih kerana menjadi teman aku selama ini. Aku juga tidak tahu bila dapat menemui kau lagi. Akhirnya kau tetap akan meninggalkan aku juga seperti dulu.” Hatiku terusik mendengar kata-katanya itu.

“Aku tidak terniat untuk meninggalkan kau,” kataku.

Dia tidak bersuara. Aku melihat air matanya mengalir. Kali ni aku nekad untuk meluahkan isi hatiku kepadanya. Aku tidak ingin melihat dia terus-terusan bersedih. “Kau tahu apa itu ‘Syurga Cinta’?” Tanyaku.

“Kau juga menonton filem itu? ‘Syurga Cinta’... Maksud yang tidak pernah aku lupakan,” katanya dalam sebak. Kemudian dia menentang mataku, dan aku membalas tentangannya itu.

“Manusia memiliki tiga cabang cinta. Cabang yang pertama ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, dan kamu saling jatuh cinta. Kamu menjadi kekasihnya, dan berlakulah maksiat di antara kamu. Maka, itulah cinta dari syaitan.” Aku mendengar dengan diam tanpa menggangu penjelasannya itu.

“Cabang yang kedua ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis dan kamu jatuh cinta padanya. Tetapi gadis itu tidak menerima cinta kamu, maka kamu bomohkan dia. Maka, itulah dia cinta dari jin.” Dia masih menatap mataku dan aku tidak mengalihkan pandanganku. Aku terus mendengar tanpa memintas sebarang kata-katanya.

“Cabang yang ketiga pula ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, melihat matanya dan rasa itu turun ke hati, kamu saling jatuh cinta. Kamu melamar dia dan menikahi dia. Maka, itulah dia cinta dari Allah, makna sebenar Syurga Cinta.” Dia menghabiskan kata-kata terakhirnya.

“Aku ingin mendapatkan cinta dari Allah itu,” kataku. Dia diam menunggu aku meneruskan kata-kataku.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari saku seluarku dan menyambung kata-kataku itu, “sekiranya kau sudi menjadi permaisuri hatiku.”

Dia diam memandang wajahku. Kotak kecil itu kuserahkan kepadanya. Perlahan dia membuka kotak kecil itu, di dalamnya tersimpan sebentuk cincin yang kubelikan untuknya. Dia tersenyum dan kembali menatap wajahku. Pipinya mulai kelihatan merah. Malu? Dan aku masih menunggu jawapannya. Dia mengangguk tersipu malu. Hatiku melonjak kegembiraan. Dia menerima lamaranku di hadapan senja yang kemerah-merahan itu. Senja yang indah itu menjadi saksi pengakuanku yang diterima olehnya. Walaupun pada mulanya cincin yang kubelikannya itu agak longgar pada jari manis tangan kirinya dan kami terpaksa pergi ke kedai cincin untuk mengecilkannya, dia tetap gembira dengan pemberianku itu.

Dua minggu kemudian rombongan keluargaku datang ke rumahnya untuk merisik dan meminang dia. Tidak lama selepas itu sebelum aku ditukarkan tempat kerja, kami segera ditunangkan. Dalam tempoh pertunangan itu, kami kerap berhubung. Aku juga selalu menghantar e-mel kepadanya yang disertakan gambar-gambar keindahan yang aku tangkap sendiri menggunakan DSLR milikku itu. Apabila ada kelapangan, aku akan pulang untuk menemuinya. Dia pula sentiasa mengambil-berat akan diriku walau di manapun aku berada. Terasa bahagia apabila merasa diri ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian.

Kata orang tua-tua, perkara yang baik itu sebaiknya dipercepatkan. Tidak elok dilambat-lambatkan, bimbang menjadi maksiat. Genap setahun kami bertunang dan aku ditukarkan tempat kerja, wang simpananku telah cukup untuk mengahwininya. Aku mengambil cuti untuk pulang. Kami diakad nikahkan di masjid dan bersanding di rumah dia, gadis yang menjadi idamanku selama ini untuk menjadi pelamin hidupku, permaisuri hatiku.

Kebahagiaan yang kuimpikan setelah sekian lama merindu itu akhirnya kukecapi jua. Aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia, seorang muslimah dan isteri solehah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami. Kerana camera aku dan dia bertemu kembali, dan kerana camera juga aku meluahkan hasratku kepadanya. Akhirnya, kerana camera jua lah aku dan dia dapat hidup bersama.

TAMAT
21:25 (Sabtu)
26 Disember 2009

Penulis tidak memberi nama untuk watak 'dia' di dalam cerpen ini. Terpulanglah kepada pembaca ingin memberi nama apa sekali pun. Sesungguhnya penulis sendiri menyimpan impian untuk mendapat kebahagiaan seperti yang 'dia' dapat di dalam kisah ini... Cerpen ini tidak ada kena-mengena dengan manusia yang masih hidup mahupun yang telah mati. Cerpen ini hanyalah imaginasi penulis sendiri dalam keinginan untuk mencapai impian dalam mencari kasih yang suci dan abadi...

Pengajaran buat kita bersama:

Sesungguhnya cinta dari Allah itu lambang kebahagian manusia. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha mendapatkan cinta dari Allah itu...



Komen dari anda adalah amat diharapkan oleh penulis. Mohon diberikan sedikit pandangan anda mengenai cerpen di atas.
Syukran jazilan...

2 ulasan:

  1. Salam...
    Nice cerpen..baru arini dpt bace..Ramainye blogger yg pandai wt cerpen..susah tau nk pilih pemenang..hehe

    BalasPadam
  2. Wassalam... blogger tu kan penulis juga... tentulah ada di antara blogger yg pndai buat cerpen... :)

    BalasPadam

Ulasan yang anda hantar akan menunggu masa untuk diapprove oleh penulis...
Harap maklum...