N Athirah @ Siti Puteri Rawija: 1/12/09 - 1/01/10

Khamis, 31 Disember 2009

"HIDUP BERANI UNTUK GAGAL"

Saya tahu contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL" dari blog MY ADHA : http://myadha.blogspot.com/

Tahun 2010 kini menjelma sudah. Adakah anda sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sepanjang tahun 2010 ini? Beranikanlah diri anda untuk mengharungi cabaran dan dugaan pada tahun baru ini. Marilah kita sama-sama meransang 'minda bawah sedar' kita. Ingat! Kegagalan bukan punca utama untuk menyerah kalah. Oleh itu, beranikan diri anda untuk menghadapi kegagalan yang mungkin bakal diterima. Sesungguhnya kegagalan itu bukanlah punca kejatuhan kita. Tetapi adalah kekuatan untuk kita naik ke peringkat yang lebih tinggi dalam mencapai kejayaan.

"HIDUP BERANI UNTUK GAGAL"

Mungkin ada di antara pembaca blog ini yang tidak mengerti maksud di sebalik "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL". Dalam kita mengharungi kehidupan yang serba luas ini, tidak mustahil bagi kita untuk menghadapi kegagalan. Tetapi kita perlu ingat, dari kegagalan itu sepatutnya kita bangkit untuk mencapai kejayaan. Bukan seperti mereka yang gagal tetapi terus membiarkan diri mereka hanyut di dalam kegagalan.

Ingin saya huraikan mengenai "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL" dalam kehidupan seseorang pelajar. Oleh kerana saya sendiri merupakan pelajar sekolah menengah yang menjejakkan diri ke tahun 2010 untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), wajarlah untuk saya menghuraikan topik ini dari sudut kehidupan pelajar.

Sebagai pelajar sekolah, setiap daripada mereka pasti akan menghadapi peperiksaan besar yang bakal menentu masa depan mereka. Mungkin ada di antara mereka yang kecundang dalam salah satu atau lebih peperiksaan besar tersebut. Tidak mustahil juga ada yang gagal dalam kesemua peperiksaan yang mereka hadapi. Hal ini kerap menjadi masalah kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka kerana merasa diri mereka tidak mampu untuk menghadapi cabaran seterusnya. Seperti ada beberapa pelajar di sekolah saya yang sebaya dengan saya, setelah mereka menghadapi kegagalan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tidak mempunyai kelayakan untuk menempatkan diri mereka ke Aliran Teknikal mahupun Vokasional. Ada di antara mereka yang meneruskan pembelajaran mereka di sekolah menengah biasa dalam aliran biasa, dan ada yang menempatkan diri mereka di Aliran Kemahiran. Malangnya, disebabkan Aliran Kemahiran tidak menduduki SPM, mereka keluar dari aliran tersebut dan akhirnya tidak meneruskan persekolahan mereka. Menjadi kerugian bagi mereka tidak meneruskan pengajian dalam Bidang Kemahiran kerana aliran itu juga mampu memberi peluang kerjaya kepada mereka. Disebabkan tiada keyakinan di dalam diri mereka untuk berjaya selepas menghadapi kegagalan, mereka membiarkan kegagalan itu terus menyelubungi diri mereka.
Kita harus ingat, setiap yang kita lakukan perlulah difikir dan dipertimbangkan dari awal untuk menentukan kejayaan di masa hadapan walaupun sebelum ini kita pernah menghadapi kegagalan yang teruk. Keyakinan diri itu penting dalam kehidupan seharian kita.

Dari aspek lain pula, saya ingin menghuraikan mengenai kehidupan seseorang penulis kerana saya sendiri berada di peringkat awal menjejaki dunia penulisan. Untuk menjadi penulis yang profesional dan dapat menghasilkan pendapatan dari hasil penulisan mereka, kegagalan adalah tidak mustahil untuk mereka hadapi. Permulaan seseorang penulis itu menjejakkan diri ke dunia penulisan, mereka perlu banyak mempelajari selok-belok dalam menghasilkan penulisan yang baik. Karya mereka ditolak pada peringkat awal adalah perkara biasa untuk menambah baikkan lagi hasil yang mereka usahakan. Walau menghadapi banyak kegagalan, usaha untuk menonjolkan bakat di dalam diri mereka tetap perlu diteruskan untuk mencapai kejayaan yang telah lama mereka inginkan.

Oleh itu, jelas di sini menunjukkan kita perlu sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan walau apapun rintangan yang bakal ditempuh di hadapan. Kegagalan adalah salah satu aspek yang mungkin akan kita hadapi dan keberanian serta keyakinan diri perlu ada untuk menghadapinya. Sedarlah bahawa kegagalan juga adalah salah satu perkara yang boleh memberi kejayaan kepada kita.

Sematkan di dalam jiwa anda: "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL".

"Renungkanlah... fikirkanlah... huraikanlah hujah anda..." N Athirah.


Hujah di atas hanyalah mukadimah entri blog saya pada kali ini. Mungkin ada sesiapa yang berasa janggal apabila saya menggunakan kata ganti nama diri 'saya', tidak lagi menulis secara santai seperti sebelum ini dengan menggunakan kata ganti nama diri 'aku'. Untuk makluman, ini bukan permulaan gaya penulisan saya di blog ini untuk tahun 2010 ya.

Seperti yang tertulis di bahagian atas artikel saya ini, entri kali ini adalah untuk contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL".

Denaihati (Hidup Untuk Memberi) dengan berbesar hati menganjurkan contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL" atas sokongan sponsor yang sentiasa bermurah hati iaitu DSGClicks, Berani Gagal Network, One Malaysia Blogshops, Anisha Online Mall dan Saudacare.

Hadiah bernilai lebih RM4,000 disediakan untuk contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL"

Contest ini mudah sahaja iaitu di penghujung contest:

1. Blog yang tersenarai di sesawang pencarian google.com/ncr menggunakan page the web berdasarkan browser FireFox dengan kata kunci “HIDUP BERANI UNTUK GAGAL” pada ranking 1 – 5 akan memenangi hadiah bernilai RM400.

2. Blog yang tersenarai di sesawang pencarian google.com.my menggunakan pages from Malaysia berdasarkan browser FireFox dengan kata kunci “HIDUP BERANI UNTUK GAGAL” pada ranking 1 – 5 akan memenangi hadiah bernilai RM400. Blog yang telah menang hadiah untung ranking 1-5 google.com/ncr tidak layak untuk menang.

Tarikh tutup penyertaan Contest HIDUP BERANI UNTUK GAGAL telah ditetapkan pada jam 20.20 pm pada 20.01.2010. Pemenang untuk semua HADIAH akan diumumkan 1 minggu selepas 03.02.2010.

Kepada pembaca blog ini yang memiliki weblog sendiri, sahutlah cabaran contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL" dan menangi hadiah lumayan. ^-^

Sebelum itu, ingin saya ingatkan kepada anda yang akan menyertai contest ini, jangan lupa letakkan ayat:
Saya dapat tahu contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL" dari blog: N ATHIRAH
(linkkan ke http://nathirah.blogspot.com/ dan letakkan ayat ini di bahagian atas artikel anda)
Untuk makluman lanjut mengenai syarat-syarat contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL", sila click sini.


"HIDUP BERANI UNTUK GAGAL"

Baca penuh >>

Rabu, 30 Disember 2009

"Memang cinta ada dalam jiwa kita..."

Entri kali ini adalah mengenai cinta. Kenapa mengenai cinta? Sebenarnya aku terbaca salah satu entri dari blog Zainal Alieff yang berlabel entri contest di link ini. Terasa juga nak menulis huraian mengenai ayat di bawah yang berwarna merah. Kan sebelum ni aku pernah tulis puisi jiwang (agaknya bukan sekadar puisi ja kot)... wakakaka...
Pada asalnya sekadar cuba-cuba... tak sangka pula huraian aku panjang berjela-jela. Hahahaha... jadi, aku kongsikan bersama pembaca di blog ini :D

Hendak tahu huraian dari aku mengenai cinta, bacalah entri ni sampai habis. ^-^

"Memang cinta ada dalam jiwa kita..." - Cinta Ada

Ya, cinta itu memang ada dalam jiwa manusia sejak azali lagi. Sesiapa yang berkata tidak pernah memiliki atau merasa cinta itu, bermakna fikiran mereka telah mendustai mata hati mereka. Begitu juga bagi sesiapa yang berkata mereka sudah tidak punya rasa cinta. Cinta itu tidak dapat difikirkan. Sesungguhnya cinta itu hanya dapat dirasai melalui hati kita.

Cinta itu fitrah manusia… Ianya telah lama berputik di dalam jiwa kita sejak kita masih belum wujud (sebelum kelahiran kita). Semakin hari cinta itu kian merimbun… semakin ianya kita cantas, semakin ia bertunas… Rasa cinta itu tidak boleh kita nafikan. Kehadirannya di jiwa bukanlah suatu paksaan. Tidak sempurna hidup kita tanpa rasa cinta itu… Maka, carilah cinta itu di hati kamu…

Cinta itu memiliki keindahannya… Ianya mendakap erat di dalam jiwa. Sebagaimana Adam dan Hawa yang bercinta ketika di Syurga… Angkara Iblis mereka terpisah. Kerana kuatnya perasaan cinta mereka, kuatnya simpulan kasih sayang mereka, akhirnya mereka bertemu jua di dunia.

Cinta di dalam jiwa itu memiliki kesuciannya. Kerana cinta, kita dapat mengenali Pencipta kita… Kerana cinta, bertambah kuatlah ketaqwaan kita kepada-Nya. Kerana cinta, kita taat akan suruhan-Nya. Kerana cinta, kita takut pada kemurkaan-Nya.
Kerana cinta jua kita mengenali Rasul kita… Kerana cinta, kita mengasihi baginda. Kerana cinta, kita mengikuti sunnah baginda. Kerana cinta, kita memohon syafaatnya.
Dan kerana cinta, kita saling kasih-mengasihi sesama insan, sesama keluarga, sesama saudara, sesama Islam.

Tanpa cinta, fitrah kita tidak sempurna.
Tanpa cinta Ilahi, kita hanyut tidak kembali.
Tanpa cinta Rasul kepada umatnya, kita hilang hala tuju.
Tanpa cinta keluarga, kita tidak berada di dunia ini atau kehidupan kita terabai tidak terpeduli.
Dan tanpa cinta sesama insan, kita tidak punya teman yang akan sama-sama mengharungi kehidupan sehingga ke hayat yang terakhir.

Manusia dijadikan untuk bertaqwa kepada Allah... Taqwa itulah cinta… Manusia hidup untuk berkasih sayang sesama insan… manusia yang dilahirkan telah ditentukan cinta hatinya…

Cinta manusia ada di dalam jiwa… Cinta lelaki pada wanita dipertemukan tulang rusuknya (merujuk pada kejadian Hawa daripada tulang rusuk Adam)… Tulang rusuk itu berada dekat dengan hati, dan berhampiran dengan jiwa… Wanita itu tulang rusuk lelaki. Jika seseorang lelaki kehilangan cinta dan wanita itu, umpama dia kehilangan cinta di dalam jiwa dan tulang rusuknya.

Cinta yang telah tersemat di dalam jiwa tidak boleh dipersiakan.
Mensia-siakan cinta terhadap Allah seumpama mensia-siakan agama kebenaran yang telah dikurniakan kepada makhluk di dunia ini…
Mensia-siakan cinta terhadap Rasulullah seumpama mensia-siakan risalah kebenaran yang telah baginda sampaikan kepada makhluk di dunia ini…
Mensia-siakan cinta sesama insan seumpama mensia-siakan cinta yang dianugerahkan Allah untuk makhluk yang telah diciptakannya berpasangan…

Cinta itu ada di dalam hati… carilah ia di situ. Jika kamu telah peroleh cinta itu, jagalah cinta itu dengan baik. Kita bukan manusia yang sempurna sepenuhnya. Sebagai insan, kita punya kekurangan. Oleh itu, jangan melihat seseorang itu dengan kecantikan atau ketampanan wajahnya, ketinggian darjatnya, harta kekayaannya, tetapi lihatlah dirinya dari hati budinya, agamanya, serta ketaqwaannya.

Sesungguhnya, apabila kamu menemui cinta kamu sesama insan itu, janganlah kamu cari lagi yang lebih baik daripada itu. Terimalah ia tanpa sekalipun menoleh kembali di belakang kamu. Kamu tidak mungkin akan peroleh cinta yang lebih baik dari yang kamu temui kerana cinta yang sempurna itu hanyalah cinta kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Ada sesiapa nak tambah atau tolak huraian aku ni? Tinggalkan pendapat atau/dan komen anda di ruangan komen bagi entri ini :-)


"Renungkanlah... fikirkanlah... huraikanlah hujah anda..." N Athirah.
Baca penuh >>

Isnin, 28 Disember 2009

Mrdaha End Year Contest: KERANA SI HITAM

Contest lagi? Mrdaha End Year 2009 Contest! ini aku dapat dari blog Mrdaha. Contest ni akan berakhir pada 30 Disember 2009. So, sesiapa yang rajin nak join contest ni, cepat-cepatlah join. Click saja pada link yang aku dah sediakan tu. :-)


Cerpen santai: KERANA SI HITAM
Karya: N Athirah

Aku duduk di beranda rumah. Fikiranku berserabut. Aku baru sahaja lepas bertengkar dengan sahabatku tiga malam yang lepas melalui sms. Terasa tertekan apabila terkenang kembali pertengkaran kami itu. Sejak pertengkaran kami itu, aku langsung tidak melayan mesej yang dihantarnya. Perasaan marahku masih lagi bersisa di dalam diri.

Waktu petang ini aku berasa bosan. Telefon bimbitku sentiasa berada bersamaku. Untuk apa aku membawa telefon bimbit ini ke sana ke mari walaupun berada di rumah? Mesej daripada siapa aku tunggu? Panggilan daripada siapa aku nantikan? Pada waktu petang begini, biasanya aku akan setia menunggu mesej daripada sahabatku. Kami kerap berbalas sms. Tetapi, semenjak pertengkaran itu, kami tidak lagi saling berhubung. Aku kini sudah tidak punya teman. Terasa kesunyian.

Ketika aku dalam kebosanan itulah aku terpandang seekor anak kucing berbulu kelabu-kelabu hitam persis anak kucingku yang telah mati dilanggar kereta lebih kurang enam atau tujuh tahun yang lalu. Anak kucing itu bermain-main sendirian di taman berhadapan dengan rumah aku. Anak kucing siapakah itu? Bukan juga anak kucing jiran aku. Aku berjalan menghampiri anak kucing itu. Betul-betul mirip dengan anak kucing aku yang dulu. Anak kucing jantan juga. Rindunya aku dengan anak kucing ku yang dulu tu.

Aku angkat anak kucing itu, jinak. Tengah leka bermain-main dengan anak kucing itu, tanpa kusedari ada seseorang datang menghampiriku. Aku menoleh, berdiri seorang remaja lelaki lebih kurang sebaya denganku. Siapa lelaki ni? "Err... nak panggil apa ae?" Dia menggarukan kepalanya.

Peliklah dengan lelaki ni. Nak menguratkah dia? "Awak ada nak minta tolongkah?" Tanyaku.

"Awak? Eh, aku tak biasa la guna perkataan tu. Hehehe... Guna 'aku kau' boleh tak?" Katanya.

Erk! Tadi susah sangat nak bercakap. Peliklah budak ni. "Err... ada yang nak aku tolong?" Tanyaku lagi.

"Sebenarnya saja nak berkenalan. Aku tengok kau asyik sangat main dengan kucing ni tadi. Kau jumpa kucing ni kat mana?" Katanya.

Aik? Dia ni peramah juga rupanya. Tadi susah-susah nak bersuara. "Aku nampak kucing ni main sendirian kat taman ni. Kucing ni jinak, jadi aku suka main-main dengan kucing ni," beritahuku.

"Kucing ni sebenarnya kucing aku. Tadi kucing ni terlepas keluar dari pagar. Aku risau kucing ni kena makan anjing. Nasib baik kucing ni selamat," katanya.

Kucing dia rupanya. Tak ada harapan aku nak pelihara kucing ni. "Aku Hazim. Selamat berkenalan," dia senyum kepadaku. Aku membalas senyuman itu.

"Panggil aku Ira," jawabku.

"Kucing ni namanya Si Hitam. Kalau kau suka, kau boleh pelihara. Nanti aku bolehlah sekali-sekala jenguk kucing ni sambil jumpa kau," dia tersengih. Macam dia tahu saja apa yang sedang aku fikirkan waktu ni. Dah diberi lampu hijau tu, tentulah aku setuju.

Sejak petang itu, kami mulai akrab sehinggakan aku hampir terlupa dengan pertengkaran aku dengan sahabatku tempoh hari. "Ira, teman lelaki kau kah ni? Patutlah kau tak layan aku lagi sekarang, dah ada teman lelaki rupanya." Tersembur keluar air yang baru kuminum dari botol airku sebentar tadi. Tepat-tepat mengenai Kamal yang berada di hadapan aku waktu itu.

"Hei, basah baju aku!" Alamak, dahlah Kamal ni pemarah, air ni tersembur kat dia pula. Hazim kat sebelah aku ni pula asyik nak ketawakan orang saja. Si Hairul ni pun satu, kalau nak serbu aku tu, janganlah waktu aku tengah minum.

"Sorry Kamal, aku tak sengaja," lebih baik aku minta maaf dulu sebelum aku bercakap dengan Hairul tu.

"Kenapa dengan kau ni Hairul? Kau sendiri juga yang minta kat aku hari tu supaya tak balas mesej kau lagi. Senang-senang saja kau nak tinggalkan aku dengan masalah aku sendirian. Kau tak bantu aku pun. Sekarang bila aku dapat kawan lain, kau marah-marah pula," aku membentak.

"Dah kau hari tu nak marah-marah. Aku bukannya suka kau marah-marah tu," balasnya.

"Aku sekadar tegur kau sajalah. Kau tu yang selalu salah sangka. Selama ni, betapa pedih sekali pun teguran kau kat aku, aku tak pernah kisah pun. Kenapa bila aku tegur kau sikit, kau buat aku sedih pula? Tertekan aku hanya kerana hal itu tau," kataku.

Hazim yang melihat pertengkaran kami itu segera menyampuk. Sebelum ini aku sememangnya pernah menceritakan apa yang berlaku di antara aku dan Hairul. Cuma waktu tu Hazim tidak mengenali siapa Hairul. "Hairul, Ira, kamu berdua ni kawan karib. Kan tak elok bertengkar macam ni. Selesaikanlah elok-elok," kata Hazim. "Hairul, aku dengan Ira cuma kawan. Dan aku tidak pernah terfikir untuk memutuskan tali persahabatan kamu. Kau masih boleh berkawan dengan dia. Tapi, janganlah biar pertengkaran kamu ini berlanjutan," katanya lagi. "Ira, kau janganlah ikutkan perasaan kau tu. Aku dah berulang-kali beritahu kau, sahabat yang telah ditemui itu jangan disia-siakan. Jika sahabat itu melakukan kesalahan, maafkanlah dia. Jika kamu bertengkar dengan sahabat itu, segeralah selesaikannya. Bukannya terus-terusan bergaduh macam ni," giliran aku pula ditegur oleh Hazim. Hazim begitu memahami. Dia tidak pernah mementingkan dirinya sendiri. Sebarang silap aku pasti akan ditegurnya. Selama ini, dia selalu menasihati aku agar aku tidak lagi membiarkan pergaduhan antara aku dan Hairul berterusan. Cuma aku sahaja yang berdegil.

Akhirnya aku dan Hairul akur. Kami saling meminta maaf. Memang salah aku juga yang hanya memikirkan tentang diri sendiri tanpa mengendahkan sahabatku itu.

"Kamu berdua baguslah, happy ending. Aku pula, kena sembur air," kata Kamal. Berderai suara ketawa kami mendengar kata-katanya itu.

Aku dan Hairul telah lama mengenali Kamal. Tidak pula kusangka Hazim pun kawan Kamal juga. Aku mengetahui akan hal itu pun setelah aku dan Hazim akrab. Kamal dan Hazim setahun lebih tua daripada aku dan Hairul. Aku dan Hazim sering bertemu di taman ini, tempat kali pertama kami bertemu dan berkenalan. Ketika itu, aku akan membawa Si Hitam bermain bersama. Hazim amat menyayangi Si Hitam. Begitu juga aku. Tetapi Hazim benar-benar bersifat pemurah. Dia memberikan Si Hitam itu kepadaku untuk dipelihara. Kami sama-sama menjaga Si Hitam. Hazim sendiri yang akan membelikan makanan untuk Si Hitam. Dia tidak pernah menyusahkan aku untuk menjaga anak kucing kesayangan kami itu. Setiap kali pertemuan aku dan Hazim di taman itulah akhirnya aku mengetahui persahabatan di antara Kamal dan Hazim. Ini kerana Hazim pernah membawa Kamal untuk menemui aku di taman ini.

Kamal mempunyai sikap mudah marah. Sejak dua tahun yang lalu lagi kami sering bertengkar. Kadang-kala kerana hal kecil pun mudah berlaku pertengkaran di antara kami. Tetapi, semenjak aku dan Hazim akrab, aku dan Kamal jarang bertengkar. Keadaan inilah yang telah sekian lama aku harapkan. Namun, ianya termakbul pada hari-hari yang semakin menghampiri tahun baru. Apabila tahun baru menjelma, aku dan Kamal tidak lagi berada di sekolah yang sama kerana Kamal telah pun menamatkan tingkatan limanya pada tahun ini. Pada tahun baru nanti aku akan menghadapi SPM. Dan pada ketika itu, mungkin aku, Hazim dan Kamal sudah jarang untuk berjumpa seperti sekarang. Dan Si Hitam akan terus berada di bawah jagaanku.

"Hazim, tak sangka kerana Si Hitam kau ni, aku dan Ira jarang bergaduh macam dulu," Kamal tersengih selepas meluahkan kata-katanya itu.

"Aku juga tak sangka kerana Si Hitam ni aku akan berkenalan dengan dia. Kalau aku tak berkenalan dengan Ira, confirm kamu masih selalu bergaduh," kata Hazim.

"Macammana nak selalu bergaduh kalau dah susah nak jumpa," aku berseloroh.

"Kerana Si Hitam rupanya. Maksudnya, aku dan Ira berbaik semula kerana Si Hitam ni jugalah. Bagusnya Si Hitam," kata Hairul pula.

"Semua ini pun ketentuan Allah juga. Si Hitam hanya perantaraan dari-Nya sahaja. Rahmat menjelang tahun baru," kata Hazim.

Benar kata-katanya itu. Aku tersenyum. Si Hitam kupeluk. Terasa sayang untuk mengabaikannya. Aku berharap persahabatan kami ini berkekalan. Syukran jazilan ya Allah. Terima kasih Si Hitam.
Baca penuh >>

Sabtu, 26 Disember 2009

AKU.. DIA.. & CAMERA

Entri kali ini pula adalah penyertaan untuk Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie. Contest ni dianjurkan bersempena dengan hari lahir empunya blog tu sendiri, Mohd Qardhawi Bin Mohd Yusof pada awal Januari 2010. Nak tahu lebih lanjut mengenai contest ini, click saja pada link kat atas tu, atau pada gambar utama cerpen yang aku sertakan kat bawah ni.


Selamat menghayati cerpen Aku.. Dia.. & Camera ^-^

Karya: N Athirah

Pamandangan di tepi pantai begitu mengasyikkan, terutamanya pada waktu senja sebegini. Seperti biasa aku hanya ditemani camera Nikon D3000 milikku untuk menangkap gambar-gambar pemandangan yang indah ini. Di kawasan sebeginilah tempat aku selalu berada pada setiap waktu senja untuk menyaksikan keindahan mentari yang terbenam di hujung laut sana.

Dalam keasyikkan menyaksikan keindahan senja di tepi pantai itu, tanpa sengaja aku terpandang seseorang yang sedang duduk bersendirian di atas tembok batu di hujung sana. Seorang gadis bertudung. Di dalam hati aku berkira-kira untuk menghampiri gadis itu atau tidak. Kerana perasaan ingin tahu mengapa gadis itu bersendirian di tempat sebegini kala ini, aku nekad menghampirinya. Dia yang menyedari akan kehadiran aku segera menoleh. Aku tersentak, terasa seolah-olah jantungku berhenti berdetak. Gadis di hadapanku ini adalah gadis yang kurindui selama lebih empat tahun setelah kami terputus hubungan ketika melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Kau... kau buat apa kat sini?” Tanyaku, sedikit gementar.

“Dawie?” Aku hanya mengangguk bagi menjawab pertanyaannya itu. “Kau buat apa di sini?” Dia mengembalikan pertanyaanku sebentar tadi.

“Aku sekadar menghayati pemandangan di sini sambil menangkap gambar. Kau pula?”

Dia diam, berpaling ke arah lain. “Sekadar menenangkan fikiran,” jawabnya ringkas.

“Kau menangis? Kau ada masalah?” Tanyaku lagi. Bekas air mata kelihatan di pipinya. Dia hanya menunduk tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

“Kau ada masalah dengan keluarga?” Tanyaku lagi. Dia sekadar menggelengkan kepalanya sahaja. “Dengan kawan-kawan?” Dia menggelengkan kepala lagi. “Di tempat kerja?” Sekali lagi dia menggelengkan kepala. “Kau kecewa kerana lelaki?” Pertanyaanku kali ini menyebabkan dia menoleh ke arahku.

“Aku sudah lama kenal kau. Kau suka pendam kesedihan kau sendiri. Beritahulah aku apa masalah kau sekarang ni. Aku sedia mendengar,” dia tunduk mendengar kata-kataku itu.

“Aku baru lepas putus dengan teman lelaki aku. Alasannya kerana aku tidak menepati ciri-ciri wanita idamannya. Sewaktu bercinta, bersungguh-sungguh dia katakan aku adalah wanita idamannya selama ini. Tapi sekarang, dia mendustai segala kata-katanya itu. Dia kata aku tidak seperti perempuan lain. Dan dia kata aku kelihatan seperti lelaki,” dia menceritakan segala-galanya kepadaku. “Dawie, betulkah aku ni seperti lelaki? Sejak zaman persekolahan lagi ada orang kata aku macam tu. Aku berasa seperti disindir. Betulkah aku ni sebenarnya kelihatan seperti lelaki? Betulkah?” Dia bertanya berulang-ulang kali. Hatiku sedikit terusik.

“Tidak. Kau tidak seperti lelaki. Tidak sama sekali. Kau jangan dengar semua tu. Mata mereka yang berkata sedemikian sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka tidak melihat bahawa kau sebenarnya seorang perempuan. Seorang muslimah yang sentiasa menjaga diri dan auratnya. Mereka tidak pernah nampak semua itu. Mereka hanya menilai kau dari sudut yang tidak benar. Yakinlah padaku, kau adalah seorang perempuan,” aku cuba menyakinkannya.

Ya, sewaktu zaman sekolah menengah dulu, dia pernah beritahu aku bahawa ada orang kata dia tidak seperti perempuan. Mulanya aku berasa hairan. Akhirnya barulah aku tahu kenapa dia dikatakan sebegitu. Sejak kecil lagi dia memiliki lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana kebanyakkan kawan-kawan perempuannya itu hanya berkawan dengannya ketika mereka memerlukan dia sahaja. Dia juga seorang yang bersifat tegas. Sifatnya ini menyebabkan dia tidak mudah terpedaya oleh orang lain. Tetapi di dalam dirinya tetap tersemat kelembutan dan kasih sayang. Mungkin dia dikatakan seperti lelaki kerana dia tidaklah sentiasa bersikap ayu seperti gadis-gadis yang lain, tetapi memang wajar dia bersikap sedemikian. Sebagai muslimah, dia perlu pandai menjaga dirinya dan auratnya sendiri. Menjadi satu dosa baginya jika dia membuat sesuatu yang boleh mendatangkan nafsu lelaki terhadapnya.

“Tetapi, bukan seorang sahaja yang berkata sedemikian...” katanya lagi. Mungkin dia kecewa apabila teman lelakinya sendiri mengatakan sedemikian terhadap dirinya. Sejak zaman persekolahan lagi dia sering dikecewakan sedemikian.

“Aku dah kata jangan dengar apa yang mereka cakap. Walau apa pun yang mereka katakan, kau ingatlah kata-kata aku. Kau tetap seorang gadis di pandangan mataku. Dan kau tetap puteri di hatiku.” Ikhlas aku katakan padanya. Pada mulanya dia masih berasa ragu. Aku terus berusaha menyakinkannya. Tidak lupa juga nasihat berguna untuknya, “selagi kau tak happy, mustahil aku dapat happy,” dia diam mendengar. “Bersabar sajalah. Kau mesti ingat, Allah sentiasa mendampingi orang-orang yang sabar. Ini hanya ujian daripada-NYA untuk menambahkan lagi keimanan di hati manusia,” akhirnya dia tersenyum selepas mendengar kata-kataku itu. Senyuman yang tidak dipaksa-paksa. Itulah senyuman yang aku rindui selama lebih empat tahun ini.

“Dahlah. Tirai malam dah mulai berlabuh ni. Lebih baik kita pulang sekarang,” kata-kataku yang bermadah itu telah membuatkan dia ketawa. Aku tersenyum.

Sejak pertemuan kami senja itu, aku dan dia sudah sering berjumpa. Hubungan kami akrab seperti waktu di sekolah menengah dulu. Dia tidak lagi bersedih seperti waktu aku terserempak dengan dia di tepi pantai senja yang lalu. Walaupun dia mudah mengalirkan air mata tatkala bersedih, tetapi dia juga seorang gadis yang tabah. Sejak dulu lagi dia sentiasa berusaha menyembunyikan kesedihannya di hadapan rakan-rakannya. Ramai yang mengenalinya sebagai gadis yang periang. Namun begitu, tidak kurang juga yang mengatakan dia seorang yang serius. Kadang-kala aku tergelak mendengar orang berkata sedemikian. Dia sememangnya mudah berlaku serius. Dia akan kelihatan ceria tatkala dia benar-benar gembira atau pada masa-masa dia berusaha melupakan kesedihannya.

Aku tidak mahu dia bersedih. Dia sering menyembunyikan kesedihannya sehingga aku mengetahuinya sendiri. Oleh itu, aku ingin sentiasa mengembirakan hatinya. Aku ingin menjaganya, tidak ingin dia dikecewakan lagi oleh orang lain. Keceriaannya adalah kegembiraanku, kedukaannya adalah kesedihanku. Semenjak aku bersama dia, sering bertemu dengannya, dia kerap menemani aku keluar menangkap gambar-gambar pemandangan, tidak kira atas urusan kerja mahupun untuk diri sendiri. Aku senang sering didampinginya.

“Nanti kalau dah siap gambar-gambar tu, macam biasa kau e-mel kat aku ya. Nanti aku edit design gambar terbaru lagi.” Itulah kata-kata yang sering diucapkannya setelah selesai aku membuat tangkapan gambar-gambar yang menarik. Terasa seronok bersama dengannya kerana kami memiliki minat yang sama.

“Kalaulah aku ada DSLR, dapatlah kita ambil gambar sama-sama kan.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya itu. Dia sepertinya telah dapat melupakan kekecewaannya.

Apabila sering bersama dengannya, aku berasa terhibur. Aku tidak pernah berasa letih melayan karenahnya kerana dia tidaklah terlalu cerewet. Malah, aku berasa lebih senang apabila bersama dengannya. Dia tidaklah seperti gadis-gadis lain yang lebih suka berpakaian yang menampakkan keanggunan diri mereka dan tidak kurang juga seperti gadis-gadis yang suka menampakkan bentuk tubuh mereka. Dia lebih suka berpakaian simple, berseluar panjang, baju lengan panjang, dan bertudung. Yang penting baginya adalah menutup auratnya. Adakalanya dia akan mengenakan baju kurung apabila kami bertemu. Aku dapat merasakan ketenangan apabila melihat dirinya.

Namun begitu, kebahagiaan itu sepertinya hanya akan datang sementara. Jantungku terasa bagaikan disentap dengan kasar apabila aku mendapat tahu bahawa aku akan ditukarkan tempat kerja untuk kenaikkan pangkat. Aku gelisah memikirkan hal itu kerana aku tidak ingin berpisah lagi dengan dia. Aku tersepit di antara hendak memilih untuk menerima peluang kerjayaku itu atau memilih untuk melepaskannya. Aku bingung hendak memilih camera ataupun dia. Selama ini aku berusaha bersungguh-sungguh demi cameraku, minatku, kerjayaku. Tetapi, aku juga tidak ingin kehilangan dia yang telah lama aku rindui selama ini.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari dalam laci meja kerjaku. Benda yang ada di dalamnya itu baru sahaja aku beli tiga hari yang lalu. Benda yang ingin kuberikan kepada dia. Dapatkah aku memberikannya? Akankah dia terima pemberianku ini? Jawapan itu hanya akan kuperoleh setelah bertemu dengannya. Tetapi aku bimbang akan jawapan yang bakal aku terima.

Petang itu selepas waktu kerja, aku terus menuju ke tepi pantai tempat kali pertama aku dan dia bertemu setelah sekian lama terpisah. Seperti yang dijanjikan, dia sudah pun berada di sana. Kotak kecil yang aku simpan di laci meja kerjaku itu kini telah pun berada di dalam saku seluarku.

“Kenapa tiba-tiba kau nak jumpa aku di sini? Tidak seperti hari kebiasaannya,” dia bertanya.

Aku teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya itu, bimbang melukakan hatinya. “Aku akan ditukarkan tempat kerja ke luar daerah pada bulan hadapan. Mungkin kita tidak lagi dapat bertemu seperti selalu,” jawabku. Aku melihat reaksinya. Pada mulanya air mukanya kelihatan tenang. Tetapi kemudiannya dia memalingkan wajah ke arah lain. Marahkah dia?

“Tahniah!” Ucapnya sepatah. Aku berasa ragu-ragu dengan ucapan itu. Perlahan-lahan aku berjalan menghadap dirinya. Matanya berkaca. “Terima kasih kerana menjadi teman aku selama ini. Aku juga tidak tahu bila dapat menemui kau lagi. Akhirnya kau tetap akan meninggalkan aku juga seperti dulu.” Hatiku terusik mendengar kata-katanya itu.

“Aku tidak terniat untuk meninggalkan kau,” kataku.

Dia tidak bersuara. Aku melihat air matanya mengalir. Kali ni aku nekad untuk meluahkan isi hatiku kepadanya. Aku tidak ingin melihat dia terus-terusan bersedih. “Kau tahu apa itu ‘Syurga Cinta’?” Tanyaku.

“Kau juga menonton filem itu? ‘Syurga Cinta’... Maksud yang tidak pernah aku lupakan,” katanya dalam sebak. Kemudian dia menentang mataku, dan aku membalas tentangannya itu.

“Manusia memiliki tiga cabang cinta. Cabang yang pertama ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, dan kamu saling jatuh cinta. Kamu menjadi kekasihnya, dan berlakulah maksiat di antara kamu. Maka, itulah cinta dari syaitan.” Aku mendengar dengan diam tanpa menggangu penjelasannya itu.

“Cabang yang kedua ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis dan kamu jatuh cinta padanya. Tetapi gadis itu tidak menerima cinta kamu, maka kamu bomohkan dia. Maka, itulah dia cinta dari jin.” Dia masih menatap mataku dan aku tidak mengalihkan pandanganku. Aku terus mendengar tanpa memintas sebarang kata-katanya.

“Cabang yang ketiga pula ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, melihat matanya dan rasa itu turun ke hati, kamu saling jatuh cinta. Kamu melamar dia dan menikahi dia. Maka, itulah dia cinta dari Allah, makna sebenar Syurga Cinta.” Dia menghabiskan kata-kata terakhirnya.

“Aku ingin mendapatkan cinta dari Allah itu,” kataku. Dia diam menunggu aku meneruskan kata-kataku.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari saku seluarku dan menyambung kata-kataku itu, “sekiranya kau sudi menjadi permaisuri hatiku.”

Dia diam memandang wajahku. Kotak kecil itu kuserahkan kepadanya. Perlahan dia membuka kotak kecil itu, di dalamnya tersimpan sebentuk cincin yang kubelikan untuknya. Dia tersenyum dan kembali menatap wajahku. Pipinya mulai kelihatan merah. Malu? Dan aku masih menunggu jawapannya. Dia mengangguk tersipu malu. Hatiku melonjak kegembiraan. Dia menerima lamaranku di hadapan senja yang kemerah-merahan itu. Senja yang indah itu menjadi saksi pengakuanku yang diterima olehnya. Walaupun pada mulanya cincin yang kubelikannya itu agak longgar pada jari manis tangan kirinya dan kami terpaksa pergi ke kedai cincin untuk mengecilkannya, dia tetap gembira dengan pemberianku itu.

Dua minggu kemudian rombongan keluargaku datang ke rumahnya untuk merisik dan meminang dia. Tidak lama selepas itu sebelum aku ditukarkan tempat kerja, kami segera ditunangkan. Dalam tempoh pertunangan itu, kami kerap berhubung. Aku juga selalu menghantar e-mel kepadanya yang disertakan gambar-gambar keindahan yang aku tangkap sendiri menggunakan DSLR milikku itu. Apabila ada kelapangan, aku akan pulang untuk menemuinya. Dia pula sentiasa mengambil-berat akan diriku walau di manapun aku berada. Terasa bahagia apabila merasa diri ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian.

Kata orang tua-tua, perkara yang baik itu sebaiknya dipercepatkan. Tidak elok dilambat-lambatkan, bimbang menjadi maksiat. Genap setahun kami bertunang dan aku ditukarkan tempat kerja, wang simpananku telah cukup untuk mengahwininya. Aku mengambil cuti untuk pulang. Kami diakad nikahkan di masjid dan bersanding di rumah dia, gadis yang menjadi idamanku selama ini untuk menjadi pelamin hidupku, permaisuri hatiku.

Kebahagiaan yang kuimpikan setelah sekian lama merindu itu akhirnya kukecapi jua. Aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia, seorang muslimah dan isteri solehah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami. Kerana camera aku dan dia bertemu kembali, dan kerana camera juga aku meluahkan hasratku kepadanya. Akhirnya, kerana camera jua lah aku dan dia dapat hidup bersama.

TAMAT
21:25 (Sabtu)
26 Disember 2009

Penulis tidak memberi nama untuk watak 'dia' di dalam cerpen ini. Terpulanglah kepada pembaca ingin memberi nama apa sekali pun. Sesungguhnya penulis sendiri menyimpan impian untuk mendapat kebahagiaan seperti yang 'dia' dapat di dalam kisah ini... Cerpen ini tidak ada kena-mengena dengan manusia yang masih hidup mahupun yang telah mati. Cerpen ini hanyalah imaginasi penulis sendiri dalam keinginan untuk mencapai impian dalam mencari kasih yang suci dan abadi...

Pengajaran buat kita bersama:

Sesungguhnya cinta dari Allah itu lambang kebahagian manusia. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha mendapatkan cinta dari Allah itu...



Komen dari anda adalah amat diharapkan oleh penulis. Mohon diberikan sedikit pandangan anda mengenai cerpen di atas.
Syukran jazilan...
Baca penuh >>

Khamis, 24 Disember 2009

CONTEST:pja,belikan saya souvenir Turki!!

Hah?! Contest apa pulak kali ni???
Hahahaha... aku ni dah kemaruk contest kot. Contest kali ini adalah contest pja,belikan saya souvenir Turki!! Contest ini dianjurkan oleh blog DIARI BERGAMBAR MERAH JAMBOO. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai contest ini, click saja pada banner di atas tu.
Contest ini berakhir pada 26 Disember 2009

Gambar-gambar di bawah ini adalah penyertaan saya untuk contest ini:


"Terima kasih emak, keranamu aku di sini!"

Baca penuh >>

Selasa, 22 Disember 2009

BLACK & WHITE PHOTO Contest

Contest lagi??? Hahahaha... Ada orang kata aku ni dah 'gila contest'. Wakakaka... sekurang-kurangnya, terisi juga blog aku ni daripada sunyi ja kan.
Hmm... Ini pula contest gambar hitam putih (aku translatekan pula black & white tu :D) yang dianjurkan oleh blog For.Your.Eyes.Only. Anda boleh click banner kat atas tu untuk makluman lanjut mengenai contest ini atau untuk menyertai contest ini.


Inilah dia gambar aku:

Kenapa aku pilih gambar ini ya? Orang lain pilih gambar cun-cun, aku pula pilih yang ni ja.
Sebab aku suka simple. Aku tak suka keadaan yang banyak cerewet sangat. Gambar pun dah hitam putih. Kata orang, hitam itu menawan, dan aku sendiri memang minat dengan warna hitam... jadi kira cukuplah kan :D
Kat gambar aku tu menunjukkan aku pegang handphone aku yang warna hitam tu kan (memang warna hitam tau). Maksudnya, aku selalu main mesej guna handphone. Tidak lain, tidak bukan, dengan Khairul Anwar la... hehehehe...

Baca penuh >>

Isnin, 21 Disember 2009

AKU dan.....

Entri aku pada kali ini pula adalah untuk penyertaan Photo Contest AKU dan..... yang di anjurkan oleh VRDESIGN.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai contest ini, sila click banner contest kat bawah ni;

* Anda turut dijemput menyertai contest ini.




Berikut adalah gambar-gambar yang aku upload untuk penyertaan contest ini ^_^:


Untuk gambar pertama di atas ni, mungkin ada di antara pembaca blog ni yang pernah melihat gambar ini di entriku yang lepas dalam blog lama aku.
Pasti ada yang hairan kenapa aku letak gambar di atas dan menamakan 'AKU dan..... Sahabat'. Sedangkan gambar di atas menunjukkan aku sedang membaca buku, aku bersama buku.
Hakikatnya, buku juga adalah salah satu sahabatku. Sebagai remaja, pelajar sekolah dan juga penulis, minat membaca buku itu sentiasa ada dalam diriku. Bila aku membaca buku, terutamanya buku cerita seperti novel, aku sering menghayati jalan ceritanya. Aku ketawa, marah, mahupun menangis, semuanya berlaku di hadapan buku yang aku baca tu. Semua perasaan yang terbuku di hatiku, aku luahkan di hadapan buku tu. Jadi, wajarlah juga aku menggelar buku sebagai sahabatku kan?! :D


Gambar kedua di atas ini pula adalah gambar aku bersama sahabatku, Mohd Khairul Anwar. Kenapa aku pilih Khairul Anwar? Kerana dialah satu-satunya insan yang benar-benar layak aku gelar sebagai sahabatku. Kata orang, "kawan sama-sama ketawa mudah dicari, tetapi kawan sama-sama menangis sukar untuk ditemui." Sepanjang perkenalan aku dengan Khairul dari form 1 aku anggap dia kawan biasa ja. Tapi, setelah lama berkawan dengan dia, sekarang baru aku sedar dia adalah seorang sahabat yang baik. Suka mahupun duka dapat dikongsi bersama. Dia selalu kata kat aku, "you jump, I jump." hehehe... ada-ada saja.
Dia tidak seperti kawan-kawan aku yang lain yang hanya berkawan dengan aku ketika mereka perlukan aku, tetapi apabila aku tidak diperlukan, aku ni seperti tidak pernah wujud. Berbeza dengan Khairul, dia tidak pernah mensia-siakan sahabatnya. Sekali dia bersahabat (terutamanya dengan perempuan), dia akan jaga sahabatnya itu dengan baik. Andai sahabatnya itu mengalami masalah, nasihat tidak pernah lepas diberinya di samping berusaha menggembirakan sahabatnya. Walaupun adakalanya teguran yang diberikannya kepadaku itu agak pedas, aku tak pernah kisah sangat. Sebab tegurannya itu benar :-)
Yang bestnya, sehari kami tak bersms tu, tidak sah. Hehehe... ada saja yang nak dibualkan. Dan dia ni suka sangat nak kenakan aku. Ada-ada saja akalnya tu. Tapi, kalau dah sampai masa aku tak ada kredit, masing-masing mulalah bosan. Sebab tak dapat berbalas mesej. Huhuhu...

Nampaknya agak panjang cerita aku mengenai sahabatku yang satu ini. Aku harap persahabatan kami ini akan terus berkekalan. InsyaAllah...
Baca penuh >>

Sabtu, 19 Disember 2009

Menarik Untuk Anda!!! Contest Confirm Dapat Hadiah Untuk Blogger...

Tentu korang hairan kan, apa sakit aku tiba-tiba buat tajuk entri macam kat atas tu...?
Dahlah sebelum ni aku jarang nak tulis entri kat blog ni... tiba-tiba pula malam ni aku tulis entri macam ni... Agak-agak adik aku (Wathiqah) dalam gambar di atas tu pun tertanya-tanya juga kah? Hahahahaha...
Bukan apa sangat pun... aku nak sampaikan mesej kat bawah ni untuk para pembaca bertuah blog aku yang tak seberapa ni...

Hai. Kawan saya nama Adney ada buat contest. Contest dia ni pelik sikit. Apa yang saya tahu saya join saja dan saya kompem-kompem dapat hadiah. Dapat TOPUP FREE, dapat DUIT FREE, dapat TEMPLATE FREE.

Kalau nak tahu lagi pasal contest ni boleh rujuk sendiri di laman blog saudara Adney sendiri di sini.

Pelik tak mesej aku tu? Hehehe... jangan korang kata aku gila, sudah...
Marilah sama-sama kita meriahkan contest ni. Mudah saja tau... segala maklumat dah ada kat link di atas tu. Yang pasti korang tetap layak join. Nak tau sebabnya? Click sahaja link kat atas tu... ^_^
P/S: Kalau Wathiqah ada blog, Wathiqah pun confirm join sekali... Wakakaka...

Tengok tu, Wathiqah pun ajak join sekali... hehehe...
Sebab umur dia tahun ni dah masuk 3 tahun la... :D :p
Baca penuh >>

Isnin, 7 Disember 2009

Rusuhan Hati

Sejak 16 November lepas: Aku dah dapat kembali sahabatku... Syukur Alhamdulillah... rupa-rupanya dia tak marah aku (happy tidak terhingga)...

7 Disember 2009
Pagi: Aku terima mesej dari MKA... katanya sedang menunggu kawan-kawannya...

Pagi yang sama: Ada masalah dalam profile Tagged aku... Aku tension, berbaur sedih, geram, sakit hati, marah... dadaku sakit lagi... Aku buka profile tagged baru... tetapi itu profile aku yang bukan aku...

Petang: Rupanya MKA ke Pulau Daat... bermakna, dia bersama rakan-rakan Jemaah Tabligh lah tu...? MKA hantar mesej kat aku;
Alhamdulillah..smpai sdah aku.tp kt plau daat.smua org sni bgsa suluk..nsib ada kwnku pndai trjmahkan..nnti aku msj kau ya.jga dri baik2..klu lpas 3 hari aku x blik2,jgn kau cri aku ya.sdekahkan sja al-fatihah ya..assalamualaikum..
Sedih lagi...

"Khayy... aku tau kau keluar ke Pulau Daat (masih di area W.P Labuan) tu untuk melakukan 'usaha atas iman'... aku turut gembira untuk kau. Tapi, janganlah kau mengatakan sesuatu yang meragut ketenangan hatiku... tahukah kau pada bila lepas 3 hari itu? Itulah tarikh selepas ulang tahun kelahiran aku... tarikh yang kau tidak pernah lupa tu..."

Malam: MKA tak mesej aku lagi... :-( aku hanya tinggal menanti... tapi dia masih tidak hadir... akankah aku kehilangan lagi sahabatku ini...?

Malam yang sama: MKA mesej aku!!! Tapi, cuma ini;
Mat mlm my princess ^^..assalamualaikum..
Itu ja? Sedihnya aku... :_-( ... tak apalah...


Tiap detik dan langkahku
wajahmu mengisi ruang mataku
dalam ketenangan tidurku
seringkali dirimu menghiasi mimpiku
tatkala jiwaku merindu
kaulah yang bertakhta di ingatanku.

Dalam kerendahan hati
beserta kekurangan diri
tanpa ada kelebihan pada pandanganmu
namun hati ini tetap merindu
menanti kasih darimu
menunggu kehadiran cintamu
dalam keheningan jiwa merindu.

TyRa 4869
Puisi spontan di atas papan kekunci telefon bimbit
12.03 malam, 5 Disember 2009

Baca penuh >>